Hualien, tawar ekopelancongan bertaraf dunia

Taiwan. Ramai yang mengenali Taiwan hanya dengan pelbagai produk komputer terutama Asus. Atau mungkin skuter SYM dan Kymco.

Namun hakikatnya Taiwan menyimpan lokasi ekopelancongan yang jarang terdapat di negara lain.

Kami sekumpulan wartawan dari Asia Tenggara, Asia Selatan dan New Zealand berkesempatan untuk melawat salah satu daripada 13 wilayah Taiwan yang terletak di timur republik itu iaitu, Hualien.

Antara program pelancongan menarik di Hualien ialah pakej melihat ikan lumba-lumba liar Lautan Pasifik yang hanya terdapat di Teluk Hualien.

Menariknya di sini, dalam 20 spesies lumba-lumba yang ada di dunia, lima daripadanya mudah dilihat oleh pengunjung yang mengikuti program melihat lumba-lumba oleh Turumoan.

Taiwan merupakan sebuah pulau di Asia yang dikelilingi oleh pelbagai lautan yang menyebabkannya mempunyai kedalaman yang bebeza dan sesuai untuk habitat ikan lumba-lumba dan juga pelbagai spesies paus.

Selain lumba-lumba, Hualien juga terkenal dengan kawasan gunung-ganang, dan yang paling menarik, ia juga menjadi laluan kenderaan melalui lebuh raya rentas tengah pulau.

Lebuh raya itu akan melalui terowong-terowong yang ditebuk ke dalam gunung-ganang yang ada di Taman Nasional Taroko atau pun melalui lereng-lereng yang mempunyai tebing yang tinggi.

Di dalam Taman Nasional Taroko inilah terletaknya Swallow Grotto atau gua-gua kecil burung layang-layang di dalam gua besar.

Di sini juga terletaknya gaung Swallow yang menjadi trademark kepada logo Taman Nasional Taroko.

Suku kaum Asli Taiwan, Truku mendiami sebahagian kawasan Taman Nasional Taroko dan menjadikan kawasan hutan simpan itu sebagai lokasi mempromosikan budaya mereka yang kini semakin berkurangan akibat pembangunan dan penghijrahan generasi muda ke bandar.