Jelas Mawi, filem tersebut adalah rentetan daripada telefilem arahannya, Rock Sangkut yang dijayakan oleh Hazama, Joey dan Along Cham sebelum itu.

Untuk filem yang dijangka disiarkan pada hujung tahun ini, Mawi masih mengekalkan barisan pelakon yang sama untuk watak-watak seperti Abadi, Rumi dan Kuswadi.

Filem yang skrip ditulis oleh Mawi sejak tiga tahun lalu itu lebih menjurus kepada kisah tiga pemuda yang berlainan karakter tapi mempunyai misi yang sama iaitu menjadi penyanyi terkenal.

Kata Mawi, dia sedar ada suara-suara di luar sana yang tidak yakin dengan kebolehannya mengarah filem menerusi produksi Mawi World Entertainment.

"Sebelum filem ini, saya sudah mengarah beberapa buah drama seperti Pak Nil, Ibu Kirim Salam dan Siapa Dapat Lisa? Filem ini pun saya arah selepas melihat sambutan yang diberikan terhadap telefilem Rock Sangkut.

"Saya tak peduli orang nak kata apa. Bagi saya kalau kita ada kemahuan dan disertakan dengan usaha, apa saja boleh dilakukan. Memang saya tak ada kelulusan secara rasmi dalam bidang pengarahan tapi saya belajar daripada orang dan banyak membuat rujukan terhadap filem-filem lain. Tengok dulu baru komen," katanya.

Sementara itu, Hazama, Joey dan Along Cham ditanya kenapa bersetuju untuk berlakon filem arahan Mawi sedangkan dia tidak ada latar belakang dalam bidang pengarahan filem.

Jawapan mereka mudah saja, kami percaya dengan kebolehan Mawi kerana bakatnya itu telah dibuktikan menerusi telefilem Rock Sangkut.

"Bestnya pasal Mawi sebagai pengarah, dia tidak tegur terang-terangan kalau tak  puas hati dengan apa yang kami persembahkan. Dia akan berbisik tentang apa yang dia mahu. Tak ada nak tengking-tengking atau tegur di depan orang ramai. Sikapnya yang menjaga emosi pelakon buat kami semua gembira bila berada di set. 

"Selalunya di set filem ini banyak gelak daripada diam. Bayangkan semua yang ada 'gila-gila', jadi tak ada rasa bosan atau penat, biarpun kadang-kadang tu penggambaran hampir seharian," jelas Hazama.

Ikuti video di sebalik fotografi Mawi bersama Hazama, Joey dan Along Cham, baru-baru ini.