Haqiem Rusli dan Micam tidak bersaing

KUALA LUMPUR - Nama Haqiem Rusli dilukis di atas kanvas seni dan hiburan tanah air sejak dia berusia 10 tahun. Kini dalam usia 20 tahun, Jatuh Bangun Haqiem untuk terus mengukuhkan tapaknya dalam industri muzik membawanya ke alam roller coster.

 

Tidak mahu Tergantung Sepi daripada terus melangkah sebagai penyanyi lelaki pelapis, Haqiem tampil tabah kerana memahami bahawa dunia hiburan penuh onak dan  duri.

 

"Benar kita perlu kuat semangat dan sokongan daripada para peminat dan keluarga amat dihargai. Jadi, saya tidak rasa keseorangan apa tah lagi, sahabat baik saya, Ismisham atau nama panggilannya, Micam turut cuba melangkah untuk menjadi seorang penyanyi." katanya ketika menjadi artis jemputan segmen bual santai, Jom Chat minggu ini.

 

Mengakui tidak meniru gaya Haqiem Rusli, Micam yang enam tahun lebih senior usianya daripada Haqiem berkata, kali pertama beliau mengenali Haqiem ialah ketika penyanyi dan komposer muda itu melangkah kaki ke kedai salon rambutnya.

 

"Dia kata, susah nak cari tukang guting rambut yang faham kehendaknya sebab dia nak potongan rambut yang berbeza. Lain daripada yang lain. Jadi apabila saya menggunting rambutnya, dia suka dan kami mula berkawan sehinggalah ke hari ini," kata Ismisham.

 

Masih lagi dalam dilema sama ada mahu menggunakan nama Ismisham atau Micam sebagai nama pentas apabila single pertamanya berada di pasaran tahun depan, Ismisham yang juga memiliki paras rupa yang hampir sama dengan Haqiem Rusli tidak terkesan dengan kecaman segelintir masyarakat di luar sana kerana antaranya dengan Haqiem Rusli, tiada persaingan. - UTUSAN ONLINE