Hanya yang terbaik daripada Sheila Majid: The Concert Kuala Lumpur 2017

TIGA puluh tahun dalam industri muzik tanah air, nama Datuk Sheila Majid bukan hanya diminati dalam kalangan peminat Melayu tetapi pelbagai bangsa dan usia meminati lagu-lagu dendangan beliau sejak dari tahun 1980-an sehingga ke hari ini.

Walaupun selama 13 tahun kebelakangan ini, Sheila seakan-akan tidak tampil dengan apa-apa cerita baharu sehinggalah beliau melahirkan album terbaharu beliau berjudul Boneka, Sheila melangkah pantas dengan bakal mengadakan konsert solonya berskala besar pada 5 Ogos 2017 ini nanti.

 

Bagi Sheila yang sudah pun masuk lima siri usianya, beliau tetap akan menyajikan persembahan terbaik pada malam konsert solonya yang akan diadakan di Stadium Negara, Kuala Lumpur.

 

Sheila mengharapkan para peminat dan pendokong karier seninya yang tiga dekad, tampil memberi sokongan kepada konsert solonya itu dengan hadir beramai-ramai. 

 

Walaupun sindrom persembahan percuma sudah lama melekat di benak masyarakat di negara ini, tetapi kata Sheila, dengan penjualan tiket konsertnya (RM388 dan RM888) habis dijual, sekurang-kurangnya mentaliti mahu menyaksikan persembahan percuma dalam kalangan masyarakat di negara ini, boleh dikikis.

 

Kata Sheila, peminat di Malaysia mesti dapatkan tiket awal-awal sebab mereka perlu bersaing dengan para peminat dari luar negara yang berkemungkinan besar, hadir untuk menyaksikan persembahan beliau nanti.

 

Bagi anda yang ingin mendapatkan tiket untuk menyaksikan konsert, boleh layari www.ticketcharge.com.my. - UTUSAN ONLINE