Elemen budaya perlu diterapkan dalam TN50

KUALA LUMPUR 4 April - Elemen budaya dalam masyarakat berbilang kaum khususnya Melayu dan etnik pribumi di Malaysia perlu diterapkan menerusi perlaksanaan Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Penasihat Sosiobudaya Kerajaan Malaysia, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, elemen budaya harus diwarisi oleh generasi masa depan bagi mengekalkan khazanah bernilai ini.

Sehubungan itu katanya, rumusan daripada Pra Kongres Budaya hari ini bakal dibentangkan kepada Perdana Menteri tidak lama lagi supaya diteliti semula sebelum dibawa ke Kabinet bagi membolehkan resolusi yang dicapai dijadikan asas pembudayaan hidup rakyat di negara ini.

“Amalan berbahasa Melayu yang merupakan bahasa kebangsaan tidak lagi membasahi bibir, tulisan Jawi semakin nazak, kesenian hanya menjadi pameran kepada para pelancong luar, tapak-tapak warisan tidak dijaga malah dilupuskan, politik tidak berlandas kesopanan dan kesusilaan, perpaduan masih menjadi kata retorik dan budi pekerti mulia tidak lagi satu amalan.

“Setelah 60 tahun merdeka, kenapa tandas awam kita masih kotor dan berbau? Ini soal yang orang tidak mahu perkatakan tetapi berlaku dalam masyarakat kita. Tentu sekali ada sesuatu yg tak kena,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas sesi khas Pra Kongres Budaya “Pembudayaan Tamadun Tinggi Dalam TN50” di sini hari ini.

Beliau turut menasihatkan agar ahli politik dan Majlis Raja-raja untuk mengambil berat tenatang isu budaya yang kini kian dilupakan.

Katanya, kepimpinan tertinggi terlalu sibuk berusaha mengejar kemajuan fizikal, wang ringgit, membina bangunan pencakar langit tertinggi, merancak pelaburan, sehingga melupakan aspek terpenting dalam kehidupan sebagai manusia Timur lebih-lebih lagi berbangsa Melayu.

“Budi makin lama makin tidak ada dalam amalan kita. Masing-masing menerpa dan mencari jalan bagaimana untuk lebih kaya, bagaimana lebih mempunyai sifat-sifat rakus dan sifat-sifat yang tidak dapat membantu kita membina masyarakat yang ulung diidamkan oleh pengasas tanah air kita,” ujarnya.

Kongres tersebut yang bakal berlangsung di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi pada 15 April April ini dijangka dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan mempertemukan para cendekiawan, budayawan, dan ilmuan serta wakil-wakil badan kerajaan dan bukan kerajaan, juga institusi pengajian tinggi awam (IPTA).-UTUSAN ONLINE