Chicken Chop RM5

Makan mana kali ini, hidangan chicken chop termurah di Achamm Chicken Chop, Lorong Hj. Said, Jalan Kebun, Shah Alam.

 

Achamm Chicken Chop bukanlah restoran yang asing lagi bagi penduduk di Kampung Batu 7, Jalan Kebun, Shah Alam.

Restorannya itu menawarkan hidangan makanan barat seperti Chicken Chop, Lamb Chop, Mix Grilled, Fish & Chip dan banyak lagi pada harga serendah RM5.

Oleh kerana harga yang murah, restoran milik Ahmad Zamri itu tidak pernah lengang dan sentiasa dipenuhi pelanggan dari dekat dan jauh.

Sedikit info mengenai Achamm Chicken Chop, restoran itu dibuka sejak Oktober 2016 dengan hanya sebuah gerai kecil di hadapan rumah Ahmad Zamri.

Sebelum itu, Ahmad Zamri sudahpun mempunyai gerai jual makanan barat tetapi secara sambilan dan hanya menumpang di sebuah restoran besar di Johan Setia, Klang.

Sejak 2013 berniaga di Johan Setia, beliau kemudian membuat keputusan untuk membuka kedai dihadapan rumahnya setelah berbincang dengan isteri.

Beliau yang sebelum itu bekerja di sebuah kilang elektronik di Seksyen 20, Shah Alam akhirnya membuat keputusan untuk berhenti bekerja dan memberi tumpuan sepenuhnya kepada perniagaan.

Usahanya membuahkan hasil, restoran Achamm Chicken Chop kini memang jadi tumpuan orang ramai untuk menikmati hidangan barat pada harga murah. - UTUSAN ONLINE