Cempaka Sari akhiri Istiadat Menziarahi Makam Almarhum Sultan-Sultan Perak

TELUK INTAN 13 Mei - Tradisi menggunakan Balai Gambang bagi menziarahi makam Almarhum Sultan-Sultan Perak di sepanjang Sungai Perak bermula di Pasir Salak menghilir ke Teluk Intan diteruskan hari ini.

Bot khas yang dinamakan Cempaka Sari dan menjadi simbolik kepada kesultanan Perak itu, dinaiki Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada hari terakhir istiadat menziarahi makam-makam.

Sultan Nazrin ditemani Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim dan dua anakanda baginda, Raja Azlan Muzzaffar Shah dan Raja Nazira Safya serta rombongan diraja menaiki Cempaka Sari di Jeti Kompleks Sejarah Pasir Salak pada pukul 9.40 pagi.

Makam yang akan diziarah di sepanjang Sungai Perak ialah Makam Almarhum Sultan Mahmud Shah (Sultan Perak ke-16) di Kampung Pasir Pulai; Almarhum Sultan Abdul Malik Mansur Shah (Sultan Perak ke-19) di Kampung Bandar Baru; Almarhum Sultan Alauddin Mansur Shah Iskandar Muda (Sultan ke-17) di Kampung Teluk Memali; Almarhum Sultan Shahabuddin Riayat Shah (Sultan ke-21) di Tanjung Penangguh; dan Sultan Iskandar Dzulkarnain (Sultan ke-15) di Pulau Indera Sakti, Pasir Panjang Ulu.

Cempaka Sari dibina khas bagi Istiadat Pertabalan Sultan Perak Ke-35 oleh 35 kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak serta 13 tenaga pakar dan pelajar Institut Teknologi Kejuruteraan Marin, Universiti Kuala Lumpur Malaysia (UniKL MIMET) Lumut.

Bot khas ini berukuran 12.2 meter panjang dan 6.1 meter lebar dengan berat 4.5 tan serta mampu membawa 10 hingga 15 penumpang pada satu-satu masa, dan digerakkan oleh tiga buah enjin sangkut yang masing-masing berkuasa kuda 150cc.

Balai Gambang dikatakan diperkenal oleh Sultan Iskandar Dzulkarnain, Sultan Perak ke-15, semasa baginda berpindah tempat bersemayam dari Pulau Cempaka Sari ke Pulau Indera Sakti di daerah Perak Tengah pada tahun 1754.

Bagaimanapun, hanya pada tahun 1770 ia mula diguna sebagai alat kelengkapan khusus untuk istiadat pertabalan iaitu semasa pertabalan Sultan Perak ke-16, Sultan Mahmud Shah atau Marhum Muda.

Sejak mula diperkenal sehingga tahun 1948, Balai Gambang diperbuat daripada buluh kuning atau buluh gading.

Bagaimanapun, semasa pertabalan Sultan Idris Shah pada tahun 1963, kayu dan besi diguna bagi menggantikan buluh sekali gus menjadikan Balai Gambang sebuah binaan yang lebih teguh dan kemas.

Cempaka Sari ini akan turut digunakan Sultan Nazrin bagi menyempurnakan istiadat menziarah serta mencelupkan kaki baginda di Beting Beras Basah yang terletak di pesisir sungai di Bagan Datoh berhampiran muara Sungai Perak.

Terdahulu pada awal pagi, baginda berdua telah menziarahi makam Sultan ke-20, Sultan Abdullah Mu'azzam Shah dan makam Sultan Ja'far Mua'azzam Shah terletak di Kampung Pulau Juar selain turut menziarahi batu peringatan Raja Kecil Tengah, Almarhum Raja Ahmad Wallullah yang terletak di Kampung Pulau Besar.

Sultan Nazrin dan Tuanku Zara tiba di makam terakhir iaitu makam Sultan ke-22, Almarhum Sultan Abdullah Muhammad Shah I di Kampung Durian Sebatang di sini kira-kira pukul 2.45 petang.

Istiadat Menziarahi Makam bermula pada 8 Mei lalu dengan Baginda berdua menziarahi 32 makam dan dua batu peringatan Almarhum Sultan-Sultan Perak. - UTUSAN ONLINE