Celik kewangan dengan papan interaktif Praxis

KUALA LUMPUR 15  Mac - Celik kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia mungkin dilihat sebagai perkara remeh dan ada yang menganggap ia tidak penting kerana mereka bijak mengurus kewangan sendiri.

Tetapi, tahukah anda bahawa sebanyak 59 peratus rak­yat Malaysia tidak mempunyai simpanan yang mencukupi untuk bertahan selama tiga bulan tanpa pendapatan?

Berdasarkan Kaji Selidik Literasi Kewangan Malaysia yang dijalankan RinggitPlus, lebih separuh daripada 2,996 res­ponden didapati tidak mampu menyimpan lebih RM500 sebulan.

Mengapa situasi ini boleh berlaku jika orang ramai tahu menyimpan duit? Bagaimana mahu membina keupayaan dan kecelikan kewangan? 

Praxis. Sekali lihat, ia seperti papan permainan hartanah popular satu ketika dahulu iaitu ‘monopoly’. Tetapi jika dibelek betul-betul, Praxis merupakan penyelesaian kewangan.

Diasaskan oleh Ketua Pegawai Eksekutif The Praxis Company (Singapura dan Malaysia), Hemant Doshi yang melihat tahap kecelikan kewangan yang rendah dalam kalangan orang ramai sebagai satu kebimbangan.

Beliau berkata, Ia mengajar anda proses kewangan asas seperti belanjawan dan penjimatan, dan juga perkara lebih rumit seperti pelaburan dalam saham dan perancangan perlindungan.

“Apa yang membuat ia lebih menarik, terdapat peristiwa hidup sebenar simulasi semasa bermain Praxis seperti promosi pekerjaan yang lebih baik, berdepan kemalangan dan kehilangan pekerjaan.

“Ini seterusnya memerlukan peserta untuk membuat keputusan kewangan dengan berwaspada di tengah-tengah kitaran ekonomi yang berlainan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.