Celcom jadikan media sosial platform khidmat pelanggan

KUALA LUMPUR 6 Nov. - Celcom Axiata Berhad (Celcom) bersedia untuk layan ribuan pengguna setiap hari menerusi rangkaian media sosial secara langsung.

Perkhidmatan tersebut merupakan pembaharuan dalam khidmat pelanggan yang dilakukan oleh syarikat rangkaian telekomunikasi itu selepas melancarkan Hab Pengalaman Media Sosial untuk memanfaatkan 1.2 juta capaian dalam media sosial.

Menurut Ketua Pegawai Perkhimatan dan Pengalaman Pelanggannya, Rene Werner, Hab Pengalaman Media Sosial menggabungkan pemasaran, jualan dan aktiviti perkhidmatan dalam media sosial serta menyediakan maklumbalas terpantas kepada pelanggan.

“Pengalaman pelanggan yang hebat serta kepuasan pengguna merupakan panduan kami untuk memberi kelainan kepada perkhidmatan yang ditawarkan.

“Justeru, hab berkenaan menjadi saluran untuk kami mendengar suara pelanggan kemudian membuat maklumbalas segera sekali gus memberi pengalaman baharu kepada mereka dalam media sosial.

“Model hab itu dijangka beroperasi sepenuhnya pada Disember ini bakal menjadi satu anjakan paradigma dalam khidmat pelanggan kami, dari sudut seperti keputusan yang autonomi, kepantasan dalam pembelajaran dan eksperimen dengan inovasi terkini,” katanya kepada Utusan Online.

Hab itu bakal membawa hampir 10 juta pengguna Celcom ke satu pengalaman baharu dalam khidmat pelanggan apabila media sosial seperti Instagram, Facebook, Twitter, Youtube dan platform lain yang popular dimanfaatkan sepenuhnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Celcom, Michael Kuehner berkata, kewujudan hab itu sejajar dengan hasrat kerajaan dalam menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara digital.

“Saya berbesar hati mengumumkan Hab Pengalaman Media Sosial sebagai salah satu inisiatif Celcom yang mendukung pendigitalan.

“Komitmen kami dalam khidmat pelanggan sebelum ini juga diikitiraf selepas memenangi anugerah Best Consumer Satisfaction oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

“Jadi untuk tambah baik kualiti khidmat pelanggan, Celcom memanfaatkan sepenuhnya keupayaan media sosial dengan mewujudkan Hab Pengalaman Media Sosial yang akan memberi maklum balas pantas ke atas setiap aduan pengguna,” katanya. - UTUSAN ONLINE