Beg mewah pelaburan Datuk Vida

IPOH 12 Jan. - Louis Vuitton, Channel, Miu Miu, Dior dan Alexander Mcqueen, antara jenama beg tangan yang dimiliki oleh jutawan kosmetik Datuk Seri Dr. Hasmiza Othman atau lebih dikenali sebagai Datuk Vida.

Utusan Online yang berkunjung ke kediamannya di Meru Height, di sini melihat sendiri terdapat lebih  kurang 200 beg tangan mewah  yang disimpan rapi di dalam bilik tidurnya. 

Jelas Datuk Vida, beg tangan sememangnya tidak dapat dipisahkan dengan wanita dan beliau tidak  terkecuali, mudah 'jatuh cinta' setiap kali melihat koleksi terbaharu yang berada di pasaran.

"Koleksi beg tangan ini antara 'pelaburan' saya dan kebanyakannya merupakan edisi terhad yang  dibeli untuk menghargai diri sendiri.

"Beg tangan adalah pelengkap penampilan saya di mana-mana saja kerana ia antara aksesori yang  perlu ada pada wanita," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Selain daripada koleksi beg tangan, Datuk Vida turut mempunyai koleksi kasut dan baju berjenama. 

Katanya, untuk memiliki semua ini, setiap orang perlu berusaha kerana kemewahan yang dimilikinya  hari ini tidak datang bergolek. UTUSAN ONLINE