Banjir di Hulu Langat menyusahkan penduduk

Hujan lebat berterusan selama lebih dua jam petang semalam menyebabkan penduduk di sekitar kawasan Batu 11, Sungai Serai, dan di kawasan Batu 14, Hulu Langat, Selangor terpaksa berpindah ke Balai Raya Sungai Serai yang dibuka sebagai Pusat Pemindahan Banjir sementara bagi menampung mangsa-mangsa banjir untuk menumpang teduh sehingga keadaan air banjir yang melanda rumah mereka kembali reda.

Rata-rata mangsa banjir yang ditemui memberitahu wartawan UTUSAN ONLINE, HASNURUL MOHAMED yang membuat tinjauan ke atas mangsa banjir bersama juruvideo, AZMAN AHMAD memberitahu, air naik secara mendadak menyebabkan mereka tidak dapat menyelamatkan harta benda termasuk dokumen penting.

Ada kawasan yang dinaiki air sehingga paras dada dan paling rendah, menurut mangsa banjir, air naik sehingga ke paras pinggang orang dewasa.

Kerja-kerja membersihkan rumah yang dilanda banjir sememangnya amat meletihkan. Apatah lagi di bulan Ramadan namun mangsa-mangsa banjir ini reda dengan musibah kecil yang menimpa. Cuma, sambutan Aidilfitri yang bakal menjelang tidak berapa lama lagi, tidak semeriah tahun-tahun yang lalu.

Sebagai rekod, kali terakhir penduduk di sekitar Hulu Langat dilanda musibah banjir ialah pada tahun 2012. - UTUSAN ONLINE