Azhar jawab penglibatannya dalam Konsert Unplugged Ella

KUALA LUMPUR - Buat julung kalinya Jom Chat menampilkan secara serentak Ratu Rock Negara, Ella dan suaminya, Azhar Ghazali sebagai artis undangan segmen bual santai mingguan di Utusan Online.

Jom Chat yang berdurasi selama satu jam, setiap hari Rabu, 9 malam hingga 10 malam berpeluang untuk melontarkan soalan kepada Azhar tentang kehadirannya di atas pentas, bergandingan dengan Ella pada setiap persembahan Ella.

Mungkin kali pertama penampilan Azhar diterima sebagai gimik tetapi apabila Azhar kerap kali muncul di pentas, ada yang berpendapat, Azhar umpama Superstar.

Kata Azhar, kata-kata yang dilemparkan terhadap dirinya sekadar persepsi individual manakala Ella pula menerima dengan baik kehadiran suaminya di atas pentas persembahan kerana suaminya itu juga berbakat dalam bidang muzik.

Menjelang akhir bulan Mac ini, pada 29, 30 dan 31 Mac, Ella bakal mengadakan Konsert Unpluggednya di Istana Budaya.

Sejauh manakah penglibatan Azhar dalam persembahan berskala besar Ella, jawapannya akan anda peroleh apabila menonton video yang telah disunting sewaktu berlangsungnya Jom Chat secara live pada minggu lepas. - UTUSAN ONLINE