Adnan Hassan kongsi ilmu rekaan fesyen

Industri rekaan fesyen tidak pernah statik. Ia berkembang mengikut peredaran masa dan zaman. Walaupun dalam industri rekaan fesyen tanah air, telah ada nama-nama besar seperti Datuk Bernard Chandran, Michael Ong, Datuk Rizalman Ibrahim dan Wan Huzairil (sekadar menyebut beberapa nama) namun pereka pelapis juga ingin tampil setanding dengan nama-nama besar agar interpretasi industri fesyen Malaysia terus berkembang maju.

Bagi Adnan Hassan, pengalaman sebagai seorang pereka fesyen membuatkan dirinya terpanggil untuk berkongsi ilmu dalam dunia rekaan fesyen dengan mereka yang berminat dalam bidang jahit menjahit.

Cara Adnan berkongsi ilmu adalah dengan membuka akademi fesyennya iaitu Adnan Hassan Fashion Academy. Selain daripada membuka akademi, beliau juga melancarkan butik miliknya baru-baru ini.

Sempena dengan pelancaran Adnan Hassan Fashion Academy Designers' Boutique yang terletak di Bangi, Selangor, 12 anak didiknya berjaya mengharungi kursus jangka pendek iaitu selama tiga bulan di akademi tersebut.

Pada majlis yang sama, kesemua 12 graduan fesyen ini tampil dengan rekaan pakaian bermotif kepelbagaian untuk diperagakan oleh para peragawati amatur.

Antara motif yang menarik perhatian hadirin ialah obor-obor, cengkerang siput, star wars, matador dan floral.

Saksikan rakaman pertunjukan fesyen yang dizahirkan oleh 12 anak didik Adnan Hassan. - UTUSAN ONLINE