1st World Sama’ Fest tampil persembahan enam negara

Pertubuhan Tarekat Muktabar Malaysia (PERTAMA) yang baharu berusia dua tahun mempunyai visi untuk memperkenalkan semula tarekat dalam masyarakat Melayu di negara ini tetapi dengan cara hiburan yang dibenarkan dalam Islam.


Kaedah yang menjadi pilihan PERTAMA ialah menganjurkan sebuah persembahan berupa konsert berskala besar pada 28 Julai 2017 bertempat di Putrajaya International Convention Centre (PICC) pada pukul 8 malam.


Selain Malaysia selaku tuan rumah persembahan yang menampilkan artis-artis pilihan iaitu kumpulan nasyid kontemporari popular tanah air, Raihan, dua nama besar dalam industri seni suara: Datuk Hattan dan Datuk Nash, aktor Johan As’ari serta lima lagi negara iaitu Syria, Pakistan, Amerika Syarikat, Turki dan Maghribi turut mengambil bahagian dalam konsert yang julung-julung kali diadakan ini.


Khalwati Ushaqqi mewakili negara Turki, Nur Muhammadi (Maghribi), Hassan Khurshid (Pakistan), Rabitah An Nur (Syria) dan Chicago Mawleed Committee dari Amerika Syarikat pasti menggamatkan dewan PICC yang berkapasiti 2,800 tempat duduk.


Semestinya persembahan artis-artis Malaysia mencuri tumpuan. Bagaimanapun, untuk menyaksikan tarian Darwish yang bakal dipentaskan oleh barisan artis dari Turki menjadi salah satu persembahan yang mesti tonton.


Tiket-tiket dari RM89 sehingga RM489 boleh dibeli menerusi dalam talian dengan melayari www.tickethotline.com.my.
Pihak penganjur juga memaklumkan, bagi memudahkan khalayak penonton untuk pergi ke PICC, disediakan shuttle bus dari Masjid Besi Putrajaya. – UTUSAN ONLINE