Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Wanita UMNO 2000 (10 Mei)
Perhimpunan Agung UMNO 2000 (11-13 Mei)


 
 
 

 


MEMPERKASA GAGASAN BANGSA

MEMPERKASA GAGASAN BANGSA 

Ucapan Dasar

DATO' HISHAMMUDDIN TUN HUSSEIN
PEMANGKU KETUA
PERGERAKAN PEMUDA UMNO MALAYSIA
DI PERHIMPUNAN AGUNG TAHUNAN
PERGERAKAN PEMUDA UMNO MALAYSIA
10 MEI 2000 (RABU)
11.00 PAGI
DI DEWAN TUN HUSSEIN ONN
PUSAT DAGANGAN DUNIA PUTRA,
KUALA LUMPUR.


 

Bismillahirahmannirahim

 Yang Berhormat Pengerusi Tetap,
 Yang Berbahagia Timbalan Pengerusi Tetap,
Wakil-Wakil Majlis Tertinggi UMNO,
Yang Berbahagia Dato' Raja Ariffin Raja Sulaiman
Yang Berbahagia Tan Sri Dato' Haji Hussein Ahmad
Yang Berbahagia Dato' Seri Mohamed Rahmat
Ahli-Ahli Jawatankuasa Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia,

 

Para perwakilan dan pemerhati
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Alhamdulillah, kita bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah, kurnia, izin dan makbulNya, kita dapat dipertemukan dalam Perhimpunan Agung Tahunan, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Tahun 2000.  Selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhamad SAW  Dengan segala rendah diri dari sifat seorang hamba yang lemah dan bersedia mengabdikan diri kepada Allah yang maha besar,  Allah SWT yang telah menciptakan manusia sebagai khalifah di bumi ini, marilah kita sama-sama memohon keberkatan dan petunjuk, bimbingan dan panduan dariNya.

 

PERHIMPUNAN TAHUN 2000

Sidang perwakilan yang dihormati,

Kita yang hadir dalam perhimpunan ini mewakili lebih 750,000 ahli-ahli Pergerakan Pemuda UMNO di seluruh negara. Kita tidak sekadar membawa suara ahli-ahli Pergerakan Pemuda UMNO tetapi turut mewakili aspirasi dan suara 17.4 juta generasi muda negara yang berada di bawah usia 40 tahun yang merupakan 77% bilangan penduduk negara. Bagi pihak ahli-ahli Jawatankuasa Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, saya mengalu-alukan kehadiran wakil-wakil Majlis Tertinggi UMNO, para perwakilan dan pemerhati ke Perhimpunan ini. Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda Tahun 2000 menyaksikan buat pertama kali semua Naib Ketua Pemuda Bahagian menjadi perwakilan secara automatik. Bagi pihak Jawatankuasa saya juga merakamkan penghargaan kepada semua pimpinan pemuda di peringkat bahagian dan cawangan yang telah dapat menyempurnakan persidangan agung tahunan masing-masing hingga membolehkan cawangan-cawangan menghantar wakil ke mesyuarat-mesyuarat di peringkat bahagian dan bahagian-bahagian pula menghantar perwakilan ke perhimpunan ini.

Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Tahun 2000 dengan ini melafazkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada Yang Amat Berhormat Dato' Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi yang telah menyampaikan amanat sewaktu merasmikan Perhimpunan kita pada awal pagi tadi.  Insya-Allah, pandangan, saranan, teguran dan nasihat Dato' Seri Abdullah akan kita hayati dan jadikan panduan dalam kita mengaturkan rancangan dan melaksanakan tindakan. Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia akan terus mempertahan dan menjulang sumpah setia yang dilafazkan untuk berdiri teguh di barisan hadapan, menjaga nama baik UMNO dan meneruskan perjuangan UMNO untuk bangsa, negara dan agama.

Perhimpunan ini adalah tempat untuk kita menyuarakan secara ikhlas dan berani isu-isu penting yang berkaitan dengan maruah bangsa, kedaulatan negara dan kesucian agama Islam.  Perhimpunan ini adalah gelanggang untuk mencambah fikiran dan menyuarakan tuntutan yang dicetus dari desa dan kota, dari bilik darjah dan bilik kuliah, dari ruang rumah dan tempat  kerja. Sampaikan suara rakyat dari pelbagai lapisan - mahasiswa di kampus atau pelajar di sekolah pondok; tenaga kerja muda atau yang masih menganggur; nelayan, petani dan peniaga; pekerja sokongan dan eksekutif di pelbagai peringkat. Perhimpunan ini akan kita jadikan forum untuk menyuarakan teguran membina dan menyampaikan maklum balas secara bertanggung jawab terhadap dasar-dasar Parti dan Kerajaan demi kebaikan bangsa, negara dan agama. Jadikan juga Perhimpunan ini sebagai perhimpunan yang dapat mempererat semangat persaudaraan dan mengakrabkan hubungan silaturahim sesama kita.

ANCAMAN TERHADAP PERPADUAN

 Sidang perwakilan yang dihormati,

 Kongres Melayu pertama yang berlangsung di Kelab Sultan Sulaiman di Kampung Baru, pada 1 hingga 4 Mac 1946 telah merakamkan detik paling bersejarah kepada politik bangsa Melayu. Empat puluh satu pertubuhan Melayu termasuk wakil-wakil dari kalangan orang asli telah hadir. Allahyarham Dato' Onn Jaafar di dalam Kongres tersebut telah melafazkan kata-kata berikut:-

Petikan:
"Kepercayaan tuan-tuan atas saya ialah suatu benda yang tidak dapat saya lafazkan dengan lidah.  Perbuatan tuan-tuan atas saya ialah suatu lafaz kepercayaan tuan-tuan atas mustahaknya  persidangan sebagaimana adanya perkumpulan di sini hari ini, dan atas kemahuan dan keazaman tuan-tuan, dari rundingan-rundingan dan keputusan-keputusan hari ini hendak menciptakan tapak-tapak bangunan yang akan menghasilkan dan membuktikan cita-cita bangsa kita yang telah lama diidam-idamkan, iaitu persatuan di antara kita sesama sendiri."

 Ungkapan tersebut dipetik untuk mengingatkan bangsa kepada keadaan orang-orang Melayu sebelum merdeka. Bangsa Melayu ketika itu dipermainkan melalui dasar pecah dan perintah kuasa penjajah.  Bangsa Melayu dipetak-petakkan mengikut negeri, daerah dan keturunan, diasingkan mengikut latar belakang pengajian Arab, Melayu dan Inggeris, dipisahkan mengikut keturunan, darjat dan pekerjaan. Memisahkan negeri-negeri Melayu secara pentadbiran kepada Negeri-Negeri Bersekutu, Negeri-Negeri Tidak Bersekutu dan Negeri-Negeri Selat adalah untuk kepentingan kuasa penjajah.  Dasar pendidikan penjajah sengaja membezakan prasarana pendidikan di antara kumpulan aristokrat dengan rakyat biasa, dan sengaja membezakan  kurikulum di antara sekolah  kelolaan Kerajaan dengan sekolah agama supaya jurang perbezaan sesama bangsa dapat dilebarkan.  Bahasa pengantar di institusi pendidikan dibezakan.  Lokasi sekolah terpisah, aliran Melayu di desa, aliran Tamil di ladang, aliran Cina di Kampung Baru dan bandar dan aliran Inggeris di kota besar.  Bangsa dan rakyat yang terpisah lebih mudah di adu dombakan.

 Susulan dari Kongres Melayu Pertama, Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu ditubuhkan pada 11 Mei 1946, bertempat di Istana Besar di Johor Bahru. Kita lalu bersatu dalam satu barisan, dalam satu angkatan, dalam satu gerakan dan dalam satu jemaah.  Kita mula bersuara dalam satu nada dan bertutur dalam satu bahasa.  Gabungan tenaga dan cantuman fikiran kita telah memberikan bangsa satu kekuatan. Atas desakan Pemuda UMNO pada tahun 1951, UMNO mengubah seruan perjuangan dari 'HIDUP MELAYU' kepada 'MERDEKA'.

 Parti Islam SeMalaya ataupun PAS dilahirkan dalam tahun 1951 pada ketika UMNO mula melaungkan seruan 'MERDEKA'. PAS ditubuhkan dari kumpulan serpihan UMNO di bawah pengaruh Allahyarham Haji Ahmad Fuad bin Hassan setelah Allahyarham gagal mengambil alih pimpinan UMNO. Kelahiran PAS dijadikan persaingan ketika usia UMNO masih begitu muda dan ianya adalah usaha untuk menggugat perpaduan bangsa.  Persaingan sesama bangsa tentunya akan melemahkan gerakan memperjuangkan agenda kemerdekaan negara.   

Kita bersyukur kerana bangsa kita ketika itu tidak terpesong natijah perjuangan.  Kerana itu dalam pilihan raya umum tahun 1955, PERIKATAN yang diterajui oleh UMNO mendapat sokongan menguasai 51 daripada 52 kerusi Parlimen yang dipertandingkan.  Sokongan padu rakyat terutama dari bangsa Melayu memberikan mesej jelas kepada penjajah bahawa kemerdekaan Tanah Melayu tidak boleh ditangguh lagi.  Namun kerosakan yang dilakukan oleh PAS dengan menghasut bangsa untuk berpecah terpaksa ditanggung sepanjang masa. Usaha UMNO sentiasa dibantah, diselar, diperkecil dan dimomok oleh PAS. Amat pilu bila mengenang perjuangan suci kita ditentang oleh kumpulan yang sebangsa, seagama.

 Setelah 43 tahun negara mencapai kemerdekaan, PAS masih dengan gaya dan pendekatan perjuangan yang sama.  Ketika negara mencipta nama di persada dunia melalui kejayaan pembangunan yang dapat menyaingi negara maju, perpaduan bangsa semakin diancam malah pada peringkat yang lebih hebat.  PAS meningkatkan usaha dengan segala cara dan sanggup membayar dengan apa juga harga termasuk rela menghancurkan perpaduan bangsa kerana matlamat politik mereka.

Kegiatan ekstrimis PAS yang memecahbelahkan bangsa adalah kegiatan yang berunsur subversif. Kerajaan sudah terlalu lama berlembut.  Kerajaan sudah terlalu lama bersabar, terlalu panjang tali yang dilepaskan untuk PAS menjerut leher bangsa Melayu di bumi ini. Pergerakan Pemuda mengingatkan bahawa berbaik biarlah berpada - berlembut biarlah bertempat. Jika kegiatan PAS selama ini dibiarkan berlarutan, kita bimbang bangsa Melayu akan kembali berpecah, negara akan huru hara dan syiar Islam tidak dapat dimuliakan. Kita menyeru kepada Kerajaan supaya bertindak tegas, bertindak pantas supaya bangsa, negara dan agama tidak hancur lebur sampai ke peringkat nasi menjadi bubur.

 Kini terdapat pula puak yang kecewa kerana gagal mencapai matlamat sempit organisasi, terdorong menganjurkan kegiatan yang menjejaskan ketenteraman awam.  Puak ini memilih masjid untuk dijadikan tempat mengadakan tunjuk perasaan dan jalan-jalan raya tempat menganjurkan perarakan.  Perbuatan mereka tidak menghiraukan gangguan yang berlaku kepada rakyat untuk menjalankan urusan mencari nafkah hidup harian. Malah mereka gembira melihat imej negara diberikan gambaran buruk di peringkat antara bangsa. 

 Sesungguhnya, Pergerakan Pemuda bimbang dengan fenomena ini. Pemuda kecewa dan sedih melihat gelagat beberapa individu yang tiada langsung rasa kasih dan setia kepada bumi tempat mereka berpijak. Matlamat perjuangan sempit mengatasi kepentingan yang lebih besar. Sedangkan suatu ketika dahulu mereka pernah menumpang teduh di rumah UMNO. Mereka mendapat hasil dari perjuangan UMNO dan pernah menikmati feadah besar dari UMNO. Mereka bukan sahaja tidak mengenang budi, malah sanggup menggigit tangan yang pernah  menyuap mereka. Mereka adalah pengkhianat kepada bangsa dan negara.

 Pemuda UMNO ingin melafazkan suara majoriti rakyat yang cintakan keamanan, suara majoriti rakyat yang mahukan kestabilan, suara majoriti rakyat yang tidak mahu urusan harian mereka diganggu. Pergerakan Pemuda UMNO juga boleh menunjukkan kekuatan dengan cara yang tidak bertamadun  jika kita memilih berbuat demikian.  Jika sepuluh peratus Pemuda UMNO hari ini diseru untuk mengadakan tunjuk perasaan, kita juga boleh memenuhi ruang masjid dan menyesakkan jalan raya.  Ahli-ahli Pergerakan Pemuda boleh bersaing dan menguji kekuatan dengan mengadakan tunjuk perasaan yang sama, di tempat yang sama, pada waktu yang sama dan berpidato atas isu yang sama. Tetapi apakah ini imej generasi muda yang ingin kita pamerkan? Berbanggakah kita melihat anak-anak Melayu bersengketa sesama kita? Berjayakah kita sekiranya kita melihat anak-anak Melayu terlompat-lompat dan menjerit-jerit memenuhi jalan raya? Inikah cara anak-anak Melayu di alaf baru bertindak mengisi kemerdekaan yang diperjuangkan oleh bapa-bapa dan datuk-datuk kita? 

Telah terlalu lama kesabaran diuji.  Telah terlalu lama puak ini melakukan provokasi mencabar kedaulatan undang-undang negara.  Telah terlalu lama mereka ini mengambil undang-undang di tangan sendiri. Demi keamanan dan ketenteraman, atas nama keadilan demi kesejahteraan rakyat majoriti, kita menyeru Kerajaan untuk menguatkuasakan undang-undang tanpa kompromi. Pada masa yang sama, kita menyeru dan merayu agar rakyat bangkit menolak kumpulan ini. Jangan dibiarkan sistem rimba diamalkan dalam masyarakat yang sudah lama bertamadun.

 MENGHADAPI CABARAN

Cabaran Ekonomi

 Sidang perwakilan yang dihormati,  

Pergerakan Pemuda amat menghargai keprihatinan Kerajaan dalam meneruskan Dasar Ekonomi Baru supaya kemiskinan dapat dibasmi dan jurang masyarakat dapat disusun semula. Walau bagaimanapun, kita belum berjaya mencapai hasrat dan tujuan ini. Pemuda UMNO akan berusaha meningkatkan jumlah golongan menengah Melayu yang mampu dan berupaya bersaing dengan sesiapa sahaja sehingga ke peringkat antarabangsa. Kita akan juga menyusun langkah membela dan membangunkan usahawan-usahawan muda khususnya dalam industri kecil dan sederhana. Pemuda UMNO perlu membimbing dan menggalakkan penglibatan aktif generasi muda Melayu dalam program sedia ada seperti vendor, mentor dan francais.

 Pada masa yang sama, abad ke 21 memperlihatkan perubahan sumber kuasa. Dunia kini berada dalam era revolusi baru berteraskan maklumat. Kuasa ekonomi, perdagangan dan politik bergantung kepada penguasaan ilmu. Dalam era ekonomi yang berubah dari ekonomi pengeluaran kepada ekonomi pengetahuan atau K-ekonomi, ilmu dan maklumat menjadi faktor pengeluaran terpenting.  

Revolusi teknologi maklumat telah memacu pergerakan modal, perdagangan, perkhidmatan, idea dan maklumat yang bergerak pantas ke seluruh dunia. Era teknologi maklumat membawa kehidupan baru yang dirangkaikan secara internet dan berpaksikan ilmu.  Kini terdapat lebih 250 juta manusia yang menjadi pelayar Internet di dunia. Malaysia sendiri mempunyai lebih 800,000 pengguna Internet, dan dijangka bertambah kepada 2.7 juta orang menjelang tahun 2003 nanti.

 Bangsa Melayu janganlah sekadar menjadi penonton dalam ledakan revolusi baru ini.  Bangsa Melayu wajib berada di barisan hadapan, memburu peluang dan kesempatan baru yang lahir dari cetusan revolusi ini. Sesuai dengan kalimah 'iqra' yang diwahyukan kepada junjungan besar kita Nabi Muhamad SAW, bangsa Melayu hendaklah mentafsirkan bahawa menuntut ilmu dan memperkayakan diri dengan ilmu itu adalah satu jihad dalam meningkatkan daya tahan dan daya mampu anak bangsa menghadapi perubahan semasa.

 Pemuda UMNO haruslah mempelopori usaha-usaha untuk bergiat aktif di dalam era K-ekonomi. Kita perlu berusaha untuk memperkenal dan menyesuaikan generasi muda Melayu dengan komputer, Internet dan teknologi maklumat. Dalam keadaan ketidakseimbangan agihan sumber yang masih ketara, Pemuda UMNO berpandangan Dasar Ekonomi Baru wajar diteruskan bukan sahaja dari segi pengupayaan kuasa ekonomi, tetapi juga pengupayaan ilmu dan maklumat untuk membantu orang-orang Melayu. Pendekatan kita mestilah menjurus kepada usaha merapatkan jurang ekonomi dan penguasaan ilmu.   

Cabaran Pendidikan

 Sidang perwakilan yang dihormati,  

Pergerakan Pemuda UMNO menyedari bahawa prestasi orang-orang Melayu di bidang pendidikan perlu dipertingkatkan. Prestasi pencapaian pelajar Bumiputera di dalam mata pelajaran sains dan matematik belum lagi memuaskan. Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menunjukkan perbezaan yang ketara. Di dalam SPM 1998, peratusan pelajar Bumiputera yang mendapat tahap cemerlang dan kepujian di dalam bidang Sains kurang daripada 40%, berbanding 67% bagi bukan Bumiputera. Manakala di dalam mata pelajaran Matematik Tambahan, tahap cemerlang dan kepujian yang dicapai pelajar Bumiputera hanya 39% berbanding 61% yang dicapai oleh bukan Bumiputera. Dalam pada itu, tahap penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan pelajar Melayu amat membimbangkan dalam era teknologi maklumat. Internet yang kaya dengan ilmu dan maklumat memperlihatkan 80% daripada kandungannya di dalam Bahasa Inggeris. Dalam ketegasan kita mendaulatkan Bahasa Kebangsaan, usaha meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris perlu dilihat dari konteks penimbaan ilmu agar bangsa kita tidak terus ketinggalan.

 Sidang perwakilan yang dihormati,

 Pergerakan Pemuda melihat bahawa penyediaan prasarana ilmu yang cukup dengan kadar yuran pengajian yang mampu dibayar oleh masyarakat berpendapatan rendah, merupakan tanggungjawab yang perlu dipenuhi oleh Kerajaan. Pergerakan Pemuda mengikuti secara teliti perkembangan program pendidikan negara ketika ini. Kita amat menghargai dasar liberal pendidikan dalam usaha memperbanyakkan kemudahan pusat pengajian tinggi untuk rakyat. Sehingga ini sebelas institusi pengajian tinggi awam telah dibangunkan oleh kerajaan, enam institusi pengajian tinggi diusahakan oleh pihak swasta, tiga kampus cawangan universiti dari luar negara sedang dimajukan dan hampir enam ratus kolej-kolej swasta diluluskan penubuhannya.  

Dasar Kerajaan mahu menjadikan Malaysia sebagai Pusat Kecemerlangan Pendidikan adalah satu usaha terpuji dalam hasrat mahu mengujudkan persekitaran keilmuan di negara kita.  Kita percaya persekitaran keilmuan akan dapat merangsang warga di negara kita menghargai nilai dan kepentingan ilmu. Walau bagaimanapun, kita juga prihatin terdapat rungutan yang lahir dari perkembangan ini.  Kepentingan komersial dikhuatiri boleh menjejaskan kualiti penyampaian dan penyebaran ilmu.  Kepentingan komersial ditakuti tidak akan membolehkan rakyat berpendapatan rendah untuk sama-sama menyertainya.  Kepentingan komersial dikhuatiri akan melahirkan suasana yang bercanggah dengan budaya tulen perkembangan ilmu. Sekiranya satu pendekatan bijak tidak segera dilakukan, kita bimbang perkembangan ini boleh menjejaskan pencapaian matlamat penyusunan semula masyarakat dan pengagihan peluang yang lebih seimbang mengikut hasrat yang terkandung dalam Dasar Ekonomi Baru.

Kecenderungan meletakkan yuran pengajian terlalu tinggi oleh Institusi Pengajian Swasta dan kecenderungan Institusi Pengajian Awam menaikkan yuran pengajian perlu dipantau dengan teliti. Meskipun tabung pinjaman pendidikan disediakan, kesan kepada peminjam amatlah penting dilihat supaya para graduan tidak dibebani dengan hutang yang terlalu tinggi setelah menamatkan pengajian.  

Cabaran Politik

 Sidang perwakilan yang dihormati,

Pilihan raya 1999 telah berlangsung.  Enam calon dari Pergerakan Pemuda UMNO diberikan kepercayaan bertanding kerusi Parlimen sementara dua puluh calon diberikan kepercayaan bertanding kerusi Dewan-Dewan Undangan Negeri. Tiga daripada calon Pergerakan Pemuda berjaya menjadi ahli Parlimen dan sepuluh calon Pergerakan Pemuda berjaya menjadi ahli Dewan Undangan Negeri. Dalam pembentukan Kerajaan selepas pilihanraya, Pemuda diberikan kepercayaan oleh YAB Perdana Menteri untuk menduduki satu kerusi ahli Jemaah Menteri, seorang Timbalan Menteri, seorang dilantik Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri sementara empat orang lagi dilantik menjawat jawatan Setiausaha Politik.   Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia merakamkan penghargaan di atas kepercayaan pucuk pimpinan memberi penghormatan dan pengiktirafan kepada ahli-ahli Pergerakan Pemuda. Kita berjanji untuk memenuhi harapan dan kepercayaan tersebut dengan penuh tanggungjawab, jujur dan amanah. 

Saya sedar dari segi bilangan dan peratus, calon-calon dari kalangan Pergerakan Pemuda UMNO adalah kecil. Saya memahami rasa kecewa dan jauh hati yang berlaku di kalangan ahli-ahli Pemuda. Pemuda berpandangan adalah penting bagi Parti menggariskan secara telus dan jelas syarat-syarat yang perlu dipenuhi untuk melayakkan seseorang ahli Parti untuk dicalonkan. Walaupun demikian, saya amat menghargai sifat kematangan yang dipamerkan oleh ahli-ahli Pemuda yang tetap cekal, setia dan komited terhadap parti dan perjuangan.  Pergerakan Pemuda UMNO telah bekerja secara bersungguh-sungguh untuk memastikan kejayaan calon-calon BARISAN NASIONAL sehingga membolehkan kita kekal berkuasa menubuhkan kerajaan dengan majoriti lebih dua pertiga.  

Sidang perwakilan yang dihormati,

Kita menang di dalam Pilihanraya tetapi kita mengalami kemerosotan undi yang ketara. Kita kehilangan Terengganu dan gagal merampas Kelantan. Kita kehilangan beberapa kerusi di Kedah, Pahang, Perlis, Pulau Pinang, Selangor dan Perak. Di peringkat Dewan Undangan Negeri keseluruhannya, parti-parti pembangkang dapat menawan 113 daripada 394 kerusi yang dipertandingkan. Gabungan parti-parti pembangkang telah menambahkan bilangan kerusi di Parlimen dengan menawan 45 daripada 193 kerusi yang dipertandingkan. UMNO yang menguasai 89 kerusi di Parlimen sebelum Pilihanraya 1999 kini hanya tinggal 72 kerusi.

 Keputusan Pilihanraya 1999 perlu diteliti secara terperinci.  UMNO harus membaca mesej yang telah disampaikan oleh rakyat melalui peti undi. Pengundi-pengundi Melayu terutama dari kalangan generasi muda bertambah  kritikal terhadap UMNO.  Pembangunan fizikal tidak lagi memberi jaminan bahawa UMNO akan terus mendapat sokongan rakyat. Pengundi dahagakan khidmat langsung daripada wakil-wakil rakyat yang mereka pilih.  Pengundi menuntut agar wakil-wakil rakyat menyuarakan rintihan mereka kepada Kerajaan. Program-program besar kerajaan tidak ada ertinya jika rakyat tidak memahami. Rakyat meneliti nilai-nilai moral pemimpin dan merasa mual dengan gelagat pemimpin yang mempamerkan kemewahan secara berlebihan.  Budaya telus dan terbuka, ikhlas dan jujur, rendah diri dan sedia berkhidmat, menjadi syarat yang wajib dipenuhi.

 

GAGASAN BARU PERJUANGAN

Sidang perwakilan yang dihormati,

Keahlian Pemuda UMNO melebihi 750,000 ahli, merangkumi 40% daripada pemuda Melayu di antara 18 hingga 40 tahun. Pemuda adalah sebuah gerakan yang besar dan kuat. Pemuda UMNO hari ini teguh dan bersatu. Ahli-ahli Pergerakan Pemuda memperlihatkan kesetiaan kepada Parti dan perjuangan. Dalam waktu menghadapi tekanan dan cabaran, Pemuda UMNO secara matang berupaya menganalisa keadaan sebenar dan tetap mengutamakan Parti daripada kepentingan individu atau kumpulan.

 Kejayaan yang dicapai oleh Pemuda UMNO sebelum ini adalah atas keprihatinan Pergerakan Pemuda memenuhi tuntutan perjuangan secara berani. Tokoh-tokoh terdahulu banyak berjasa memantapkan imej Pergerakan kita melalui keberanian mereka membawa perubahan. Sekarang giliran kita pula. Kita mesti tangkas dan sanggup mengubah agenda dan pendekatan untuk disesuaikan dengan tuntutan zaman. Pemuda UMNO perlu mempunyai agenda baru, merangka rancangan dan melaksanakan program sehingga ke akar umbi.  

Pemuda harus diperlengkapkan untuk berupaya mengemudi bahtera generasi muda mengharungi ombak dan gelombang perubahan.  Untuk itu Pergerakan Pemuda bercadang memberikan tumpuan kepada lapan gagasan utama untuk kita jadikan program nasional.

 Pertama, untuk kita menyelami diri dalam usaha memberi erti kepada perjuangan kita. Sejarah, falsafah, matlamat, pengorbanan dan sumbangan parti didokumentasi secara rapi untuk dijadikan rujukan semoga setiap ahli disemaikan rasa bangga menjadi ahli parti. Pernyataan misi Pergerakan Pemuda di kemas kini untuk dijadikan pegangan dan pedoman supaya setiap ahli memiliki identiti kita.

 Kedua, berusaha menanamkan budaya berasaskan nilai-nilai murni, luhur, bersopan dan bertertib, bertiangkan agama dan bersendikan adat. Kecemerlangan, perkhidmatan, pengorbanan dan kewibawaan dijadikan budaya di kalangan barisan Pemuda.  

Ketiga, berani berada di barisan hadapan mempelopori kebangkitan Islam dan membawa perspektif Islam yang sebenar.  Berupaya memimpin jemaah dalam menunaikan tuntutan fardhu ain melalui program-program yang dapat meningkatkan iman dan takwa disamping meningkatkan peranan memenuhi tanggungjawab fardhu kifayah.

Keempat, mengembalikan peranan Pergerakan Pemuda sebagai juru bicara menyampaikan tuntutan dari hati nurani rakyat.  Pemuda UMNO perlu berani dan tegas menyampaikan teguran-teguran ikhlas dan jujur dengan cara bersopan,  membina dan bertanggung jawab.

Kelima, menumpukan usaha meningkatkan prestasi pencapaian anak-anak Melayu di dalam bidang pendidikan terutama dalam hasrat melahirkan anak bangsa yang mampu menguasai ilmu dan kemahiran. Memastikan jurang penguasaan ilmu dan pengetahuan akan dapat dirapatkan.

Keenam, berusaha menentukan matlamat Dasar Ekonomi Baru dari segi milik ekuiti dan penyusunan semula masyarakat tercapai melalui pelan  tindakan yang lebih berkesan. Memperkukuh golongan menengah Melayu yang berkemampuan dan berkeupayaan untuk dapat merebut peluang-peluang dalam era ekonomi yang berpaksikan pengetahuan.

Ketujuh, menyuntik bakat-bakat muda baru ke dalam Pergerakan Pemuda agar Pemuda UMNO sentiasa segar menghijau, sepanjang zaman sepanjang masa. Berpegang  bahawa UMNO akan terpelihara dan negara akan bertambah makmur jika pimpinan mempunyai iman dan takwa, dan insaf bahawa urusan dunia akan turut di persoalkan oleh Allah SWT.

Kelapan, memastikan kepimpinan Pemuda berupaya mentafsir dan menterjemahkan demokrasi yang merangkumi hak asasi manusia, kebebesan bersuara, kebebasan media dan kebebasan kehakiman mengikut acuan kita sendiri.

Sidang perwakilan yang dihormati,

Gagasan baru perjuangan ini adalah hasrat luhur kita membawa pembaharuan kepada perjuangan Pemuda alaf ini. Pelan tindakan yang jitu akan diatur bersama-sama Jawatankuasa Pergerakan dan seluruh ahli Pemuda UMNO untuk merealisasikan gagasan ini. Sampaikanlah mesej kita ini ke setiap pelusuk negara agar ianya didokong dan disokong oleh setiap ahli di kalangan kita dalam mencipta era baru.  Ayat 159, surah Al-Imran memberi maksud,  

"... Apabila engkau benar-benar yakin dan tekad hendak melakukan sesuatu tindakan, maka lakukanlah dengan bertawakal kepada Allah..."

 

KEPEMIMPINAN PEMUDA

 Sidang perwakilan yang dihormati,

 41. Hampir kesemua rakan-rakan saya dalam barisan Jawatankuasa Pergerakan Pemuda UMNO mencecah usia empat puluh tahun dan akan meninggalkan Pergerakan ini.  Atas nama Pergerakan Pemuda saya merakamkan penghargaan di atas perkhidmatan mereka dalam tempoh mereka memenuhi tanggung jawab sebagai ahli-ahli Jawatankuasa Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia.  Saya sedar bahawa ramai Ketua Pemuda di peringkat Bahagian akan mencapai usia empat puluh tahun dan akan meninggalkan pimpinan pemuda.  Kepada mereka saya mengucapkan terima kasih di atas perkhidmatan yang  telah disumbangkan. Semoga peralihan pimpinan di peringkat Pemuda Bahagian akan berlangsung secara lancar tanpa menjejaskan perpaduan dan kekuatan parti. Saya turut berharap, nostalgia sewaktu bersama di dalam keluarga Pemuda tidak akan putus melalui jaringan persahabatan yang berkekalan.

Tahun ini Pergerakan Pemuda menghadapi proses pemilihan.  Gunakanlah kuasa undi yang ada di tangan saudara-saudara untuk memilih barisan jawatankuasa yang dapat membawa perubahan dan pembaharuan di dalam UMNO. Permudahkan tanggung jawab saya dengan memilih ahli-ahli jawatankuasa yang benar-benar berkeupayaan dan berkebolehan, yang dapat bekerjasama dan saling memahami.  Pilihlah mereka yang cekap bekerja dan sanggup  bekerja. Pilihlah mereka yang mempunyai rekod moral yang baik, yang sedia berkhidmat dan berkorban tanpa memikirkan imbuhan. 

Saya menyeru supaya kita bersikap tegas dan menentang sekeras-kerasnya semua jenis rasuah.  Perasuah politik adalah musuh bangsa. Sedarlah bahawa sekiranya mereka sanggup menjaja maruah diri, apatah lagi maruah parti dan bangsa? Saya yakin mereka yang mendapat jawatan melalui cara ini tidak akan teragak-agak menjual bangsa dan negaranya. Pemuda adalah pelapis kepimpinan akan datang. Sekiranya kita membenarkan diri kita dikotori oleh politik wang dari awal ini, maka selama-lamanya darah daging Parti akan tercemar. Tolaklah pengamal rasuah dan singkirkan mereka dari berada dalam barisan kepimpinan kita. Nama baik UMNO dan ahli-ahlinya perlulah dipelihara. Percayalah ketegasan kita hari ini bakal menjanjikan kejayaan di masa hadapan.

 Saya berdoa semoga Allah SWT memberikan pertunjuk dan hidayah dan memperkuatkan iman saudara-saudara dalam melaksanakan amanah bangsa.  Saya mohon semoga setelah selesai proses pemilihan, kita akan kekal bersatu dalam semangat persaudaraan yang luhur. Pemuda UMNO akan sentiasa berjuang untuk bangsa, negara dan agama, dan akan kekal berjuang selagi UMNO wujud di bumi yang bertuah ini. 

 

PENUTUP

 Ingatlah UMNO dilahirkan untuk bangsa, negara dan agama.  UMNO lahir untuk mempertahankan ketuanan Melayu, kedaulatan negara dan kesucian agama, DULU, KINI DAN SELAMANYA.  UMNO  adalah wadah tempat kita bernaung dalam menghadapi cabaran hidup getir, mengharungi ombak dan badai yang bergelora.  

Luka UMNO cederalah Melayu, 
Hancur UMNO berderailah Melayu,
Pecah UMNO berkecailah Melayu,
Mati UMNO berkuburlah Melayu.

Akhir kata, izinkan saya menyeru Perhimpunan ini supaya merenung kembali pesanan Yang Di Pertua UMNO pertama, Allahyarham Dato' Onn Jaafar, ketika berucap di Kongres Melayu pertama pada 1 Mac 1946:-

Petikan:
"Marilah kita tunjukkan iaitu dengan persatuan di antara kita maka kita berkehendakkan menzahirkan satu bangsa yang lebih tegap dan subur, boleh berdiri di atas tapak kaki kita sendiri dan mengambil tempat kita yang sebenar di sisi bangsa-bangsa lain yang tetap dan bersatu. Marilah kita mengaku akan diri kita tidak kurang sedikit pun dari lain-lain bangsa. Marilah kita bersatu dan berusaha bagi faedah bangsa kita dan marilah kita bekerjasama dan menyamakan perusahaan-perusahaan kita itu bagi melayakkan diri kita menjadi satu bangsa yang besar."

 Sekian, wabillahi taufik wal hidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.




© UTUSAN MELAYU (M) BHD, 46M Jalan Lima Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur.
E-mail: online@utusan.com.my