
![]()
Sukan senjata baru pelancongan
![]() |
Litar F1 Sepang...kewujudan mercu tanda sukan lumba kereta antarabangsa ini melebarkan skop pelancongan tempatan. |
Oleh: AKMAR HISHAM MOKHLES
PENGANJURAN temasya sukan bertaraf antarabangsa bukanlah perkara baru di negara kita. Sejak negara mencapai kemerdekaan, banyak pertandingan seumpama itu diadakan meliputi sukan seperti bola sepak, badminton, olahraga, ragbi dan golf.
Misalnya, temasya seperti Sukan SEA, Sukan Asia dan yang terbesar sekali ialah Sukan Komanwel yang diadakan di negara ini dengan membabitkan ribuan peserta.
Bagaimanapun penganjuran sukan tersebut sebelum ini tidak banyak dikaitkan dengan perkembangan industri pelancongan. Kini, pihak kerajaan semakin menyedari bahawa penganjuran sukan juga mampu menjadi senjata berkesan untuk menggalakkan industri pelancongan tempatan lebih-lebih lagi dengan kehadiran ramai pelancong asing sejak akhir-akhir ini.
Menyedari kepentingan yang sama jugalah kini kita dapati semakin banyak kejohanan atau pertandingan sukan bertaraf dunia yang diadakan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Kejohanan atau pertandingan yang biasanya diserikan dengan kehadiran bintang sukan terkenal dunia boleh menjadi tarikan kepada orang ramai untuk hadir sebagai penonton.
Selain pelancong asing, kehadiran penduduk tempatan dari seluruh negara biasanya didorong oleh keinginan tidak mahu melepaskan peluang melihat bintang sukan pujaan mereka dari dekat.
Keadaan ini, sebenarnya sedikit sebanyak berjaya merancakkan pelancongan tempatan seperti yang dapat disaksikan sewaktu temasya Kuala Lumpur '98 Sukan Komanwel XVI (KL '98) lalu apabila majoriti penonton adalah terdiri daripada rakyat Malaysia sendiri.
Sehubungan itu, adalah tidak menghairankan apabila Malaysia semakin ghairah sejak akhir-akhir ini untuk menjadi tuan rumah temasya sukan yang lebih besar seperti Sukan Asia 2006, Sukan FESPIC 2006 dan Sukan Olimpik selepas berjaya dengan gemilang menganjurkan KL '98.
Kini jelas sukan semakin sukar untuk dipisahkan dengan perkembangan industri pelancongan sehingga wujud apa yang dikenali sebagai Sukan Pelancongan.
![]() |
SUKAN luncur air yang menjadi kegilaan peminat sukan masa kini. |
Menurut Presiden Majlis Sukan Pelancongan Malaysia (STCM), Zainal Abu Zarin, sukan pelancongan sebenarnya mempunyai skop yang cukup luas iaitu melibatkan gandingan serta perseimbangan antara sukan dengan pelancongan.
Katanya, walaupun sukan pelancongan masih baru di negara ini kerana hanya diberikan perhatian serius sejak lima tahun lalu, namun perkembangan yang berlaku sekarang amat menggalakkan.
"Dulu kita anjurkan acara sukan untuk kepentingan sukan semata-mata tanpa mahu memikirkan sangat sumbangan terhadap ekonomi pelancongan," katanya.
Ujar beliau, senario tersebut mula berubah setelah pelbagai pertandingan antarabangsa dilihat mampu menarik ribuan pelancong termasuk pelawat tempatan yang boleh merancakkan aktiviti pelancongan domestik.
"Sebab itu sekarang ini banyak pihak yang berminat untuk menganjurkan kejohanan atau pertandingan yang benar-benar berprestij sahaja sejak kebelakangan ini.
"Penganjur juga sedar pengelolaan pertandingan itu nanti bersesuaian dengan keperluan pelancongan," kata beliau.
Jelas Zainal, sukan pelancongan boleh dipecahkan kepada beberapa kategori berdasarkan jenis sukar yang dipertandingkan. Pertama katanya, kategori penyertaan ramai iaitu sukan yang disertai oleh ribuan peserta dari luar negara.
Misalnya, kata beliau ialah penganjuran World Hash House Harriers oleh Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan baru-baru ini.
Selain itu jelas Zainal, langkah Persatuan Atlit Veteran Malaysia menganjurkan World Veteran Athletic Championship pada 2003 nanti yang melibatkan lebih 10,000 peserta dari seluruh dunia juga mampu mempromosikan negara ini secara berterusan di luar negara menjelang pertandingan berlangsung.
"Yang menjadi peserta larian ini terdiri daripada mereka yang stabil dalam kerjaya. Mereka ini biasanya datang bersama keluarga serta sahabat-handai dan ini pastinya akan banyak membantu industri pelancongan kita," katanya.
Tegas beliau, kumpulan ini biasanya tinggal lama di negara tempat pertandingan diadakan sekali gus menyebabkan mereka berbelanja dengan lebih banyak.
Kategori kedua, kata Zainal ialah penganjuran pertandingan peringkat antarabangsa seperti badminton, boling, lumba basikal, skuasy, golf dan pingpong yang tidak membabitkan penyertaan yang ramai.
Bagaimanapun, acara sebegini tidak boleh dipandang ringan oleh mana-mana pihak kerana publisiti ke atasnya oleh media tempatan dan antarabangsa sebenarnya banyak membantu mempromosikan Malaysia di peringkat antarabangsa.
Mengenai langkah Malaysia mengadakan perlumbaan Grand Prix Formula Satu, Kejuaraan Grand Prix Motosikal Dunia, Le Tour De Langkawi serta Kejohanan Golf Piala Dunia, Zainal memberitahu, sukan berprestij dan elit se-umpama itu semakin menjadi rebutan banyak negara untuk meng-anjurkannya.
"Kita beruntung dapat mengadakannya. Ia memang hebat di samping melibatkan perbelanjaan yang tinggi.
"Bagaimanapun pulangannya juga amat lumayan selain publisiti meluas yang akan diterima oleh Malaysia daripada media seluruh dunia," katanya.
Beliau memberitahu, negara ini mempunyai banyak kemudahan sukan untuk menganjurkan pelbagai pertandingan peringkat dunia dan ini sedikit sebanyak akan memudahkan sukan pelancongan terus berkembang pesat.
Selain itu jelas Zainal, Malaysia turut mempunyai alam semula jadi seperti tasik, laut, sungai, empangan, gunung dan kawasan hutan yang boleh dijadikan tempat pelbagai acara sukan bertaraf antarabangsa diadakan.
Antaranya, larian gunung, meredah cabaran di kawasan berjeram melalui acara berkayak dan bot getah, lumba basikal gunung, per-tandingan jet ski serta pelbagai sukan lasak lain.
Acara sukan sebegini, menurut Zainal boleh disatukan dengan kegiatan rekreasi supaya ia menjadi lebih menarik.
Sehubungan itu katanya, acara sukan pelancongan perlu dikembangkan dengan lebih giat kepada rakyat supaya pelancongan domestik menjadi lebih rancak.
Beliau percaya, banyak pertubuhan atau syarikat yang berminat mengadakan acara sukan seumpama itu sekiranya diberikan peluang.
"Sebab itulah STCM sebagai badan sukarela sejak 1994 bersedia membantu mana-mana pihak untuk menjayakan penganjuran sukan sebegini," katanya.
![]() |
AKTIVITI lasak dan mencabar yang mampu menarik kehadiran pelancong. |
Beliau memberitahu, ramai rakyat tempatan mempunyai kemahiran teknikal dan pengurusan pertandingan secara profesional.
"Kemahiran teknikal kita setaraf dengan negara yang telah lama mempelopori sukan pelancongan ini," katanya sambil menjadikan KL '98 sebagai bukti terbaik kebolehan rakyat tempatan.
Berkenaan kempen menggalakkan pelancongan dalam negeri yang akan dilancarkan oleh Kementerian Kebudayaan dan Kesenian pada 11 September ini, Zainal mencadangkan agar acara sukan pelancongan diperbanyakkan lagi.
"Rakyat Malaysia ramai yang minat sukan. Bila ada acara sukan besar orang ramai dari seluruh negara akan datang ke tempat pertandingan dan ini sebenarnya boleh beri impak besar pada sektor pelancongan domestik.
Bagaimanapun, sebagai persatuan induk untuk kegiatan seumpama itu, pihaknya juga ingin mencadangkan beberapa perkara demi masa depan yang lebih gemilang untuk kegiatan berkenaan.
Sebagai permulaan, kata Zainal Kementerian Kebudayaan Kesenian dan Pelancongan perlu menubuhkan satu unit khas untuk memantau kesan ke atas pelancongan hasil pengelolaan sukan sedemikian.
Di samping itu, katanya, unit itu boleh berperanan untuk mengkaji serta meninjau pelbagai jenis sukan di dunia yang boleh di bawa ke Malaysia dengan negara ini menjadi tuan rumah.
"Kita perlu tawarkan diri menjadi tuan rumah sebanyak mungkin bagi acara sukan popular di dunia kerana dengan cara inilah baru ramai pelancong berminat untuk datang ke sini," katanya.
Dalam pada itu, beliau berharap unit terbabit juga akan cuba mengenal pasti acara sukan dan rekreasi tempatan termasuk yang bersifat tradisi seperti perlumbaan perahu tradisional dan naga yang boleh diketengahkan serta dipakej kepada pelancong asing dan tempatan.