 |
SELEPAS percubaan pertama untuk mempertahankan gelaran juara bola sepak Piala Dunia berakhir di Asia, kini Perancis meneruskan misi mempertahankan gelaran kedua terbesar - Piala Eropah.Saingan Euro 2004 yang disertai 16 pasukan bermula Ahad ini dengan Perancis sekali lagi menjadi tumpuan.Selepas mencatat rekod kemenangan dalam 15 perlawanan berturut-turut, skuad bimbingan Jacques Santini menghadapi ujian getir apabila memulakan kempen menentang England.Eropah memang terkenal kaya dengan barisan pemain-pemain ternama.Sebut sahaja Eropah, nama-nama hebat seperti Zinedine Zidane (Perancis), David Beckham (England), Luis Figo (Portugal), Alessandro del Piero (Itali), Ruud van Nistelrooy (Belanda) atau Michael Ballack dari Jerman tentu tidak dapat dipisahkan daripada kejohanan ini.Ia antara bintang yang bakal menyinari kejohanan ini. Paling tidak, pasukan-pasukan yang mereka wakili, pastinya dianggap sebagai pilihan untuk bergelar
juara. |
Selepas gemilang menjulang Piala Dunia 1998 dan Kejuaraan Eropah pada 2000, Perancis menerima malu besar pada kempen Piala Dunia 2002 di Jepun dan Korea Selatan.Peristiwa hitam itu jelas meruntun jiwa penyokong Perancis kerana skuad itu hadir ke Asia dengan reputasi tinggi.Zidane sekali lagi menjadi sandaran Santini selain Thierry Henry, Robert Pires dan Patrick Viera.Begitupun, Perancis diberi saingan hebat oleh Belanda yang turut menjadi pilihan. Kegagalan ke Piala Dunia 2002 menjadikan Euro 2004 sebagai medan menebus maruah skuad yang digelar ÔOranjeÕ.Bersandarkan kepada barisan pemain ternama seperti penyerang Manchester United, Van Nistelrooy, Roy Makaay (Bayern Munich), Patrick Kluivert (Barcelona) selain pemain tengah kebal, Philip Cocu dan Edgar Davids (Barcelona), Belanda sememangnya memiliki barisan yang sama gagah dengan Perancis.England turut mengimpikan kejayaan. Sesudah mengucup Piala Dunia 1966, England sehingga kini gagal meraih sebarang penghormatan di pentas besar.Tetapi sejak England dikendalikan oleh jurulatih dari Sweden, Sven-Goran Erikkson, ramai peminat dan penyokong negara itu percaya England bakal menjulang kejuaraan Euro kali ini.Sandaran utama tentulah kelicikan Michael Owen dan Wayne Rooney, visi luas Beckham dan pertahanan kental Sol Campbell.Walaupun Perancis dan Belanda menjadi pilihan, usah pula lupakan Jerman dan tuan rumah, Portugal selain Itali dan Sepanyol.Juara tiga kali Euro, Jerman juga mahu menebus kecewa tewas kepada Brazil pada perlawanan akhir Piala Dunia 2002.Euro 2004 juga dijadikan pentas bagi Jerman untuk kembali memburu penghormatan besar bersandarkan kepada kegagahan Ballack, penjaga gol Oliver Kahn, Miroslav Klose dan muka baru di barisan serangan, Kevin Kuranyi.Portugal pula layak secara automatik selaku tuan rumah dan pastinya mengharapkan kejayaan di tempat sendiri. Luis Figo, Rui Costa dan Fernando Couto memimpin generasi baru Portugal, selain jurulatih Brazil yang membawa Piala Dunia 2002 ke negara Samba, Luiz Felipe Scolari.Namun, apakah Euro 2004 di Portugal akan menyaksikan kejutan besar seperti yang berlaku pada Piala Dunia 2002?Pasukan underdog seperti Greece, Rusia, Switzerland, Croatia, Sweden, Bulgaria, Republik Czech dan Latvia bermain tanpa tekanan dan tidak mustahil salah satu antara pasukan ini akan membuat kejutan besar.Apa pun, Euro 2004 menjadi satu lagi medan pertarungan bintang-bintang dan pasukan-pasukan Eropah yang mampu meningkatkan lagi sukan universal ini bukan sahaja di benua itu malah di serata dunia yang menyaksikannya. |