PIALA DUNIA JERMAN 2006
www.utusan.com.my
05/07/2006

Zizou diancam kad kuning

Zizou diancam kad kuning

Tonggak Perancis, (dari kiri) Franck Ribery, Sylvain Wiltord dan Zinedine Zidane berlatih menjelang perlawanan menentang Portugal di Wesrbergland-Stadion. Ribery dan Zidane masing-masing setakat ini telah menerima satu kad kuning. - AFP.

MUNICH - Zinedine Zidane akan bermain dengan disiplin yang ketat mencari kemenangan buat Perancis dalam perlawanan separuh akhir menentang Portugal hari ini.

Zidane atau Zizou merupakan salah seorang daripada enam pemain Perancis yang memiliki kad kuning, sekali gus mesti mengawal perasaannya untuk mengelak senarai panjang pemain bintang yang terlepas perlawanan akhir Piala Dunia kerana penggantungan.

Bintang tengah berusia 34 tahun itu, sudah mendapat tiga kad sepanjang Piala Dunia ini. Satu lagi kad dan sekiranya Perancis menang, akan menyertai rakan senegara, Laurent Blanc (1998) dan Michael Ballack dari Jerman (2002) sebagai pemain yang terpaksa menonton dari tepi padang.

Ramai pemain yang diancam penggantungan termasuk Willy Sagnol, Louis Saha, Lilian Thuram, Patrick Vieira dan Franck Ribery sehingga membimbangkan jurulatih Perancis, Raymond Domenech.

Portugal sudah membuktikan sepanjang kejohanan mereka mampu mendatangkan musibah kepada lawan seperti Belanda dan England kehilangan pemain dalam pusingan kedua dan suku akhir.

Kedua-dua pasukan mempunyai sejarah, yang menonjol ialah separuh akhir Euro 2000 apabila sepakan penalti gol emas menyaksikan Perancis menang perlawanan tegang itu 2-1 hingga mencetuskan pergaduhan pada wisel akhir.

Portugal layak ke pusingan akhir selepas penentuan penalti dalam satu perlawanan yang diingati kerana penyingkiran penyerang Perancis, Djibril Cisse yang menumbuk pemain lawan.

Cisse digantung lama dan terlepas Euro 2004 sementara pemain Portugal merayakan kemenangan dengan merosakkan bilik persalinan mereka.

Domenech yang melatih Bawah 21 Perancis ketika itu, kemudian menuduh pemain Portugal bertindak seperti ‘orang liar’.

‘‘Jangan panggil pasukan Portugal ini penipu. Kali ini semuanya berkaitan perlawanan lain, pasukan lain, hubungan lain,” kata Domenech.

Postiga dari Portugal bagaimanapun mengakui masih ada dendam antara dua negara itu yang turut bertemu dalam separuh akhir Kejohanan Eropah 1984, satu lagi perlawanan yang dimenangi Perancis.

‘‘Permusuhan antara Portugal dan Perancis sangat besar. Kami berhak menang malam itu tetapi saya tidak akan bercakap tentang apa yang berlaku selepasnya,” kata Postiga.

Sementara itu, jurulatih Portugal, Luiz Filipe Scolari yang bersemangat dengan kepulangan perancang tengah, Deco daripada penggantungan dan pemikirnya, Costinha, pasti menyedari bahawa begitu ramai pemain Perancis berada dalam bahaya.

Pengadil perlawanan itu, Jorge Larrionda dari Uruguay sudah mengeluarkan banyak kad pada Piala Dunia dan membuang padang tiga pemain ketika perlawanan Kumpulan E antara Itali dengan Amerika Syarikat.

Bagaimanapun, pakar motivasi, Scolari menggesa pasukannya mencipta sejarah dengan menjadi pasukan Portugal pertama mara ke perlawanan akhir dalam hanya penampilan keempat mereka.

‘‘Kami berpeluang mencipta secebis sejarah pada Kejohanan Eropah 2004 dan tidak menggunakannya,” kata Scolari.

– AFP

 
© UTUSAN MELAYU (M) BHD., 46M, Jalan Lima Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur.