16/10/2009
Najib tidak gentar pemansuhan kuota gugat kedudukannya
Najib tidak gentar pemansuhan kuota gugat kedudukannya
KUALA LUMPUR 16 Okt — Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau tidak gentar kedudukannya sebagai Presiden Umno akan tergugat berikutan pemansuhan sistem kuota pencalonan pada pemilihan parti.
Perdana Menteri berkata sebaliknya pemansuhan itu akan dijadikan dorongan untuk beliau bekerja lebih kuat dan seterusnya menyerahkan kepada anggota parti bagi menentukan ”untung nasib” beliau.
"Ada orang kata pada saya ”eh Datuk tak takut ke, Datuk tak ada perlindungan, Datuk tak ada perisai lagi,” saya kata perisai saya ialah anggota Umno semua sekali.
"Kalau saya seorang presiden yang bekerja dengan baik, yang dapat berkhidmat kepada parti, yang dapat membela dan menjadi juara kepada rakyat, yang dapat membangunkan negara kita, maka nasib saya, saya serah kepada anggota-anggota Umno untuk tentukan,” katanya semasa berucap menangguhkan Perhimpunan Agung Umno 2009, di sini.
Najib berkata pandangan itu juga dikongsi Timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin yang tidak mahu berlindung di sebalik sistem kuota itu.
- BERNAMA
|