Teks Ucapan Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Hishamuddin Hussein
Ucapan Perasmian Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Hishamuddin Hussein
pada Persidangan Pemuda 2008
Assalamualaikum warah matullahi wabarakatuh,
1. Alhamdulillah, saya panjatkan rasa kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T kerana
memberi kelapangan dan keizinan untuk kita menghadiri Perhimpunan Agung
Pergerakan Pemuda Umno Malaysia 2008.
2. Saya dan seluruh barisan Ahli Jawatankuasa Pemuda mengalu-alukan kehadiran
saudara perwakilan sekalian. Setinggi-tinggi tahniah saya ucapkan kepada semua
perwakilan yang terpilih selepas mengharungi proses pemilihan parti. Saya berdoa
semoga dalam perhimpunan ini, hati dan jiwa nurani kita semua, seluruh warga
Pemuda dipertemukan bagi menentukan hala tuju perjuangan kita.
3.Perhimpunan hari ini adalah perhimpunan yang amat bermakna. Perhimpunan ini
berlangsung dalam suasana kepimpinan Melayu, kedudukan institusi bangsa Melayu,
kesucian agama Islam dan Institusi Raja-raja Melayu sedang dicabar. Perhimpunan
ini juga berlangsung pada masa parti melakukan pemilihan barisan kepimpinan di
semua peringkat yang selanjutnya akan mencorakkan hala tuju dan arah haluan
parti. Proses pemilihan telah melalui perjalanan yang panjang bermula dari
peringkat cawangan dan bahagian, membuktikan bahawa amalan demokrasi masih subur
di dalam UMNO. Pada masa yang sama perhimpunan ini juga memberikan ruang kepada
kita meneliti dan menghalusi keputusan Pilihan Raya Umum ke-12, bagi kita
merancang gerak kerja dan menyuntik semangat - bangun dengan dimensi, pendekatan
dan tenaga baru untuk terus mengukuhkan Umno.
Saudara perwakilan sekalian,
4.Ada pihak yang menganggap bahawa keputusan pilihan raya umum yang lalu
sebagai hukuman rakyat ke atas kita. Ada yang menyalahkan dasar, ada yang
menyalahkan pendekatan kerajaan yang gagal menyelesaikan masalah rakyat secara
berkesan. Ada yang mengambil sikap menyalahkan rakyat yang tersalah memilih. Ada
juga yang mengatakan pengundi mahu mengajar kita tetapi telah terlebih ajar.
5. Ada yang berpandangan bahawa prestasi buruk Barisan Nasional dalam Pilihan
Raya Umum ke-12 lalu sebagai petunjuk tentang terhakisnya sokongan rakyat
terhadap Umno. Ada pihak yang menganggap tarikh ini sebagai titik permulaan
kepada berakhirnya hayat sebuah parti yang selama ini begitu gah, kuat dan hebat.
Ada juga yang beranggapan bahawa Umno yang selama ini menjadi tunjang kepada
kekuatan politik orang Melayu dan umat Islam akan tinggal dalam lipatan sejarah
politik negara. Apa juga yang berlaku, kita wajib melihatnya sebagai satu
peringatan Allah s.w.t kepada hambanya untuk mengambil iktibar. Tentu ada hikmah
di sebalik peristiwa 8 Mac 2008. Hakikatnya, segala yang berlaku merupakan (dengan
izin) wake-up call bagi kita semua.
Saudara perwakilan sekalian,
6. Ahli-ahli Umno tidak perlu terlalu cepat bersifat pesimistik, sebaliknya
kemelesetan sokongan terhadap Umno dan Barisan Nasional dalam Pilihan Raya ke-12
harus kita jadikan pengajaran untuk melakukan bedah siasat yang disusuli dengan
langkah pembaikan. Sebelum ini, Umno juga pernah mengalami senario sedemikian
pada 1969 dan 1999. Dalam pilihan raya umum 1999, sebagai Pemangku Ketua Pemuda,
saya sendiri telah melalui pengalaman pahit ini.
7. Sebelas tahun yang lalu, atas rasa tanggungjawab terhadap bangsa dan atas
rasa kasih kepada Umno yang telah diasaskan oleh nenda dan ayahanda saya bersama
barisan pejuang seangkatan mereka, saya memberanikan diri mengambil kepimpinan
Pergerakan Pemuda Umno. Pada ketika itu sebahagian ahli parti ibarat berada di
persimpangan, menghadapi dugaan untuk memilih; antara kesetiaan kepada parti
atau kesetiaan kepada individu. Takdir dan penentuan Ilahi meletakkan
tanggungjawab ini ke atas bahu saya untuk memimpin sayap penting kepada parti
dalam keadaan diri saya sendiri masih serba kekurangan seperti yang saya
ungkapkan melalui serangkap pantun Melayu dalam ucapan dasar yang saya sampaikan
pada tahun 1999;
Anak kumbang terayap-rayap
Mari ditangkap anak Turki
Hendak terbang tidak bersayap
Hendak hinggap tidak berkaki
Umno Wadah Sepanjang Zaman
Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda 1999
8. Beberapa pemimpin Pemuda telah membawa ahli keluar meninggalkan kita. Ada
yang berpendapat Pergerakan Pemuda sudah hilang tarikan, gagal menarik minat
generasi muda Melayu terutama di kalangan yang terpelajar. Ada yang menggembar
gemburkan bahawa Pemuda Umno berada dalam keadaan retak menanti belah. Ramai
yang meramalkan bahawa Pemuda akan jatuh tersungkur. Namun kita tidak tunduk
mengalah, sebaliknya, walaupun dalam keadaan yang begitu sukar, kita bertekad
dan berikrar untuk tidak menyerah kalah. Dalam ucapan yang sama pada tahun 1999
saya suarakan secara berpantun;
Sampan kotak mengapa dikayuh
Hendak belayar ke tanah seberang
Patah kepak bertongkatkan paruh
Pantang menyerah di tengah gelanggang
Umno Wadah Sepanjang Zaman
Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda 1999
9. Ketika itu kita sedar bahawa sokongan politik yang bergantung semata-mata
pada usaha-usaha pembangunan fizikal telah berlalu. Rakyat perlu didampingi,
diperlihatkan dan diyakinkan bahawa kita sentiasa membela nasib mereka. Lantas
kita bingkas bangun mengumpul kekuatan dan menghimpun kebijaksanaan bagi
mempelopori dan menggagaskan apa yang kita ungkapkan sebagai Perjuangan Politik
Nilai dan Makna.
10. Perjuangan Politik Nilai dan Makna yang saya gagaskan ketika itu lahir
dari kesedaran akan tanggungjawab untuk membela rakyat. Lebih 60 tahun Umno
telah berbakti kepada bangsa Melayu dan rakyat jelata. Malang sekali jasa dan
budi UMNO tidak mendapat pengiktirafan sewajarnya kerana fikiran rakyat telah
diracuni dengan fitnah dan hasutan.
11. Menerusi gagasan Perjuangan Politik Nilai dan Makna, Pemuda telah berjaya
mendekati masyarakat di peringkat akar umbi. Pada waktu yang sama perhatian dan
minat generasi muda terhadap Pergerakan Pemuda telah berjaya dipulihkan.
Kehadiran Pemuda dapat dirasai di mana-mana. Paling penting, Pemuda telah
kembali memenuhi peranan menjadi mata, telinga dan juru bicara rakyat.
12. Selepas mengharungi pelbagai rintangan dan cabaran, melalui pendekatan
yang teliti, tertib dan bijaksana akhirnya Pemuda kembali gagah dan perkasa,
tegap dan mantap, kukuh dan padu, kekal meneruskan wadah perjuangan bangsa dan
umat Melayu.
13. Alhamdulillah, keikhlasan dan kesungguhan Pemuda memperkukuh parti dan
mendekati rakyat telah mendapat perhatian pucuk pimpinan. Seramai 52 orang
anggota Pemuda Umno telah diberi kepercayaan dipilih menjadi calon Pilihan Raya
Umum ke-11. Lebih menggembirakan, daripada 52 orang calon Pemuda, 48 orang telah
berjaya memenangi kerusi masing-masing.
14. Sepanjang tempoh sepuluh tahun ini, ramai pemimpin Pemuda telah diberikan
kepercayaan dan amanah untuk memegang jawatan penting dalam kerajaan, baik di
peringkat pusat mahupun negeri. Terbaru, Datuk Dr Zambry Abd Kadir telah menjadi
pilihan pimpinan parti untuk mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri
Sultan Perak dilantik Menteri Besar Perak yang ke-11.
15. Dalam pemilihan kepimpinan parti kali ini, Pergerakan Pemuda Umno sekali
lagi telah membuktikan bahawa kita tidak ketandusan pemimpin berbakat. Kita
bersyukur kerana Pemuda telah berjaya melahirkan ramai pemimpin pelapis. Hari
ini Datuk Mukhriz Mahathir, Datuk Seri Mohd Khir Toyo, Khairy Jamaludin, Datuk
Razali Ibrahim dan Datuk Reezal Naina Merican, serta 64 orang lagi telah
menawarkan diri untuk mengisi jawatan Ketua, Naib Ketua dan Exco Pergerakan
Pemuda Umno Malaysia. Adat bertanding, ada yang terpilih, ada yang tidak. Apa
pun keputusan perwakilan hari ini, mereka tetap aset Umno yang kekal berharga.
Saudara perwakilan sekalian,
16. Siapa pun yang terpilih, saya berdoa semoga mereka akan terus berjaya
menyalakan obor perjuangan untuk melanjutkan tradisi kegemilangan kita.
Berasaskan pengalaman yang saya alami, tanggungjawab sebagai seorang Ketua
Pemuda penuh dengan dugaan dan cabaran yang berat. Jika sewaktu mengambil alih
dahulu cabaran yang saya hadapi sudah begitu berat, saya percaya, Ketua Pemuda
yang baru, akan berdepan dengan cabaran yang jauh lebih hebat berbanding apa
yang pernah saya alami sebelum ini.
17. Berbanding dahulu, senario politik, ekonomi, sosial dan keselamatan dunia
hari ini jauh lebih mencabar. Dunia sedang berdepan dengan kemelut ekonomi yang
paling dahsyat sejak Perang Dunia Kedua. Ekonomi Dunia pada 2009 diramalkan
menguncup, dengan jumlah perdagangan yang paling rendah dalam sejarah dunia.
Jutaan yang kehilangan kerja dan ramai lagi dijangka menganggur. Politik
antarabangsa juga tidak memberikan keyakinan akan berlakunya keadilan dan
keamanan sejagat. Sikap kuasa besar yang nyata berat sebelah dalam menangani
krisis politik di Asia Barat terutama dalam isu Palestin, Afghanistan, Iraq dan
Iran telah menjadi punca utama kepada ketidakstabilan politik dunia. Kezaliman
demi kezaliman terus berlaku. Serangan Israel ke atas Gaza adalah contoh
tindakan tanpa perikemanusiaan yang memperlihatkan berlakunya kezaliman dan
kekejaman di peringkat tertinggi. Dunia berterusan menghadapi ancaman terorisme
yang menambahkan keadaan tidak stabil serta menjejaskan urus tadbir dan
pembangunan ekonomi banyak negara.
18. Pada waktu sama, kerajaan kita tidak sepi daripada terus menghadapi
tohmahan, gangguan dan serangan anasir politik dalam negara. Negara kini mula
dilanda dengan politik jalanan tanpa tamadun. Parlimen sebagai dewan yang mulia
juga telah dicemarkan. Akhir-akhir ini kita menyaksikan usaha-usaha terancang
dan berterusan oleh pembangkang untuk meruntuhkan tiang-tiang seri negara yang
berperanan sebagai pendukung utama kedaulatan sebuah negara bangsa yang merdeka
lagi berdaulat.
19. Rakyat juga dihasut dengan kebencian terhadap anggota pasukan keselamatan.
Pasukan Polis dijadikan sasaran serangan. Nama baik pasukan polis dicalar dan
dicemarkan. Kesetiaan anggota polis terhadap raja dan negara, pengorbanan mereka,
bertugas siang dan malam, dibakar panas matahari, dibasahi hujan untuk menjaga
ketenteraman awam dan keselamatan negara, melindungi harta benda dan
mempertahankan kedaulatan sebuah negara merdeka sudah tidak dihargai lagi. Sudah
ada pihak yang begitu angkuh, sombong dan bongkak secara berterusan mencabar dan
memperolokkan keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.
20. Mereka begitu angkuh, sombong dan bongkak mempersoalkan kontrak sosial
dan mempertikai hak kedudukan orang Melayu dan kaum Bumiputera. Kontrak sosial
telah sengaja disalah tafsir dan dijadikan tajuk untuk menyemarakkan api
perkauman. Mereka sengaja tidak mahu membicarakan kontrak sosial dari perspektif
sejarah yang tepat; bahawa ia telah dipersetujui oleh pemimpin semua kaum.
Mereka sengaja menyembunyikan hakikat bahawa selain menjamin hak dan kedudukan
orang Melayu dan kaum Bumiputera, salah satu komponen yang penting dalam kontrak
sosial adalah jaminan akan hak dan perlindungan bukan Melayu di dalam sebuah
negara merdeka.
21. Ibarat cacing naik ke mata, sudah ada pihak yang begitu angkuh mencabar
dan memperolokkan keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan Undang-undang negara.
Malah mereka begitu biadab menghina Institusi Raja-raja Melayu sehingga ke
peringkat berani mencabar status agama Islam. Tanpa mengira tempat, tanpa
menghiraukan akibat, mereka menabur fitnah, melempar tuduhan tidak berasas dan
menghina sesiapa sahaja yang tidak sehaluan dengan mereka.
22. Kepada mereka yang tidak bertanggungjawab ini, janganlah mengambil
kesempatan menonjol keberanian, bermulut celupar berselindung di sebalik
kekebalan Dewan Rakyat yang mulia untuk melontarkan tuduhan liar tidak berasas.
Kebebasan bersuara jangan sama sekali disalah gunakan, lebih-lebih lagi untuk
menyalakan api perkauman hingga negara mahu dimusnahkan.
23. Ingatlah, hakikatnya, Barisan Nasional masih kekal diberi mandat oleh
rakyat; masih kekal menguasai majoriti di Parlimen selepas Pilihan Raya ke-12.
Kita kekal berjaya menubuhkan kerajaan. Keputusan pilihan raya berasaskan
prinsip demokrasi masih berpihak kepada kita. Namun ada Petualang yang secara
sumbang mengisytiharkan bahawa akan berlaku pertukaran kerajaan pada 16
September 2008. Lalu disemai benih keraguan di kalangan rakyat hingga
menjejaskan keyakinan dunia. Maha Kuasa Tuhan yang menentukan, realiti yang
terjadi adalah di sebaliknya; apabila peralihan kuasa telah berlaku di negeri
Perak. Demikian kebenaran ketentuan Ilahi menidakkan dakwaan orang yang bersifat
takabbur, bersifat riak, bersifat sombong. Demikian bidalan Melayu kepada ketam
yang cuba mengajar anaknya berjalan betul.
24. Ingatlah saudara, Si Petualang ini, oleh kerana gilakan kuasa, sanggup
berbuat apa sahaja. Si Petualang sanggup menyemai benih kebencian; sanggup
bersekongkol dengan musuh, tergamak menidakkan hak bangsa sendiri, menghina
tanah airnya sendiri di pelbagai forum di serata dunia, bersedia mempersenda
Institusi Raja dan sesiapa sahaja untuk memuaskan nafsu rakusnya. Biar apa pun
yang hendak beliau lakukan, setiap kata dan setiap perbuatan beliau akan
terpahat dalam sejarah bangsa - sejarah negara, sebagai manusia berbagai topeng
yang mengamalkan budaya hipokrasi, penuh kepura-puraan, melakukan pembohongan -
melakukan manipulasi; lain di depan, lain di belakang. Wahai Petualang bangsa,
pelanduk mungkin lupakan jerat, tetapi jerat janganlah sama sekali melupakan
pelanduk.
Siakap senohong gelama ikan duri
Cakap bohong lama-lama jual negeri
25. Pergerakan Pemuda Umno hari ini mengambil ketetapan untuk menentang
habis-habisan permainan politik kotor dan keji oleh Si Petualang ini. Pemuda
berikrar untuk mempertahankan setiap tiang seri yang telah menjadi asas
menegakkan kedaulatan negara bangsa selama ini. Pemuda akan mempertahankan
keluhuran Perlembagaan, menegakkan kedaulatan undang-undang, memastikan hak dan
kedudukan orang Melayu dan kaum Bumiputera, kesucian agama Islam serta Institusi
Raja-raja Melayu. Kita tidak akan membiarkan sama sekali, tiang-tiang seri di
dalam negara ini dicabut dari bumi negara tercinta .
26. Sama-samalah kita mengambil peringatan dari apa yang pernah dititah oleh
Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah semasa Majlis
Penyampaian Hadiah di Maktab Melayu Kuala Kangsar pada 21 Jun 2008, "bisikkan
kepada mereka akan petua orang tua-tua, bahawa kiambang adalah kiambang, biduk
berlalu bertautlah ia. Pesankan kepada mereka jangan terlalu cepat bermusuh
dengan kawan dan jangan terlalu ghairah bersahabat dengan musuh kerana sejak
zaman dulu lagi terlalu banyak musang yang berbulu ayam, terlalu banyak sokong
yang membawa rebah. Ingatkan mereka akan sejarah bangsanya bernegara,
berlandaskan adat rakyat bersultan, negeri beraja."
Saudara perwakilan sekalian,
27. Umno adalah parti keramat, ditubuhkan atas ketentuan, bukan kebetulan;
ketentuan dari segi matlamat dan ketentuan dari segi kepimpinan. Ingatlah bahawa
Umno ditubuhkan untuk agama, bangsa dan negara. Umno adalah payung tempat bangsa
dapat bernaung.
28. Bagi meneruskan kesinambungan perjuangan Umno ini, barisan kepemimpinan
Pergerakan Pemuda yang baru perlu terus berusaha menarik minat golongan muda
untuk menyertai Umno dan menyemarakkan semangat berkhidmat untuk parti.
Kepemimpinan Pemuda yang baru perlu memahami mereka; memahami aspirasi,
cita-cita dan kebimbangan mereka. Usaha berterusan perlu dilaksanakan bagi
mematangkan Pemuda Umno, menyediakan generasi pelapis yang boleh berjuang dan
setia berkhidmat untuk parti. Usaha ini hanya akan sempurna jika generasi
pelapis yang gigih ini diasuh, dididik dan dilatih dengan nilai murni dan hasrat
suci perjuangan Umno.
29. Saudara-saudara akan membuat pilihan barisan pemimpin Pemuda Umno yang
akan diamanahkan untuk menentukan masa depan dan haluan pergerakan, parti dan
bangsa. Kita semua telah melalui proses pemilihan parti yang agak panjang. Ia
membolehkan saudara mengenali dengan lebih dekat setiap calon; menilai hati budi,
bakat, kebolehan, kemampuan dan kesungguhan mereka. Faktor-faktor keikhlasan,
kejujuran dan integriti amat penting dijadikan asas penilaian. Berfikirlah
dengan berpandangan jauh demi masa hadapan bangsa dan negara. Survival bangsa,
survival negara, survival parti dan survival perjuangan akan ditentukan dan
dipengaruhi oleh setiap satu undi yang ada di tangan kita. Sedar dan insaflah
kejayaan parti dalam pilihan Raya Umum ke-13 nanti, sedikit sebanyak akan
dipengaruhi dari keputusan pemilihan pimpinan Umno dalam persidangan ini.
30. Insaflah bahawa kita semua tergolong dalam kalangan yang bertuah kerana
terpilih menjadi perwakilan di saat UMNO begitu memerlukan kita. Kita sampai ke
dewan ini membawa amanah dan harapan ahli-ahli dari peringkat cawangan.
Kebijaksanaan saudara semua amat diperlukan oleh rakyat jelata bagi memilih
pemimpin yang menepati harapan mereka; pemimpin yang mampu memperkukuhkan parti,
dan yang berupaya secara berkesan berperanan sebagai mata, telinga serta suara
hati rakyat. Kita sering dipesan jangan sampai;
"Menjadi pemimpin bagai bayang-bayang
tidak jelas dilihat orang
walaupun ada tidak dapat dipegang
bekerja selalu main belakang
bila dicari ia menghilang
akalnya licin fikiran panjang
salah-salah menjatuhkan orang
dijadikan pemimpin banyaklah malang
dijadikan tua ia di belakang
dijadikan induk tak nampak dipandang
dijadikan tiang tak dapat dipancang
dijadikan tudung tak dapat dibentang
salah-salah masuk pelubang
negeri rosak umat terbuntang"
31. Ingatlah, rakyat sedang memerhatikan kita. Belajarlah dari sejarah kerana
kata bijak pandai, "mereka yang tidak belajar dari sejarah akan didera dengan
mengulangi kesalahan berkali-kali." Kembalilah pada matlamat perjuangan kita,
Bersatu Bersetia Berkhidmat. Marilah kita perkukuhkan parti kita. Bulat air
kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat. Carik-carik bulu ayam
sepatutnya bercantum juga. Janganlah sekali-kali membenarkan kelemahan kita
menjadi sumber kekuatan musuh.
32. Atas kesedaran ini, saya berusaha untuk memastikan perpaduan dan kekuatan
Pergerakan Pemuda tetap kental biarpun terdapat pertandingan tiga penjuru bagi
jawatan Ketua Pergerakan Pemuda. Saya bersyukur kerana ketiga-tiga calon Ketua
Pemuda telah berjanji serta berikrar kepada saya dan kepada parti, bahawa biar
apa pun keputusannya, mereka tidak akan sekali-kali membenarkan Pemuda berpecah
belah, sebaliknya bersepakat untuk memastikan barisan Pemuda terus utuh, kukuh
bersatu - kekal berpadu. Mereka juga akan bersama-sama turun membantu
calon-calon Barisan Nasional menghadapi tiga pilihan raya kecil yang akan
berlangsung pada 7 April nanti.
33. Sesungguhnya, Pemuda mesti terus menjadi tiang kekuatan parti. Pemuda
alaf ke-21 perlu tuntas menghadapi cabaran yang semakin berat dan dunia yang
tidak menentu dekad ini. Pemuda mesti memiliki pengetahuan untuk menyerap
persekitaran dan perkembangan ilmu. Idealisme, gagasan dan pendekatan juga perlu
diberi nafas baru. Kita mesti jujur, ikhlas, beramanah dan bertanggungjawab
dengan tekad dan niat yang satu, Menjunjung agama, Memartabat bangsa.
Kebijaksanaan berpolitik adalah satu tuntutan utama pemimpin muda alaf baru yang
tidak boleh dipandang ringan. Saya berdoa semoga kita terus diberi petunjuk dan
hidayah, kekuatan dan kebijaksanaan oleh Allah S.W.T ketika menunaikan amanah
ini.
Saudara perwakilan sekalian,
34. Saya berterima kasih atas sokongan saudara-saudara selama 11 tahun saya
memegang amanah memimpin Pemuda. Pada pagi yang penuh berkat ini saya memohon
maaf kepada semua yang berada di dalam dewan ini dan setiap pejuang UMNO di
seluruh negara atas apa juga kekurangan dan kelemahan yang berlaku sepanjang
tempoh saya menerajui kepimpinan Pemuda. Saya telah berusaha melaksanakan segala
yang terdaya dan yang terbaik sebagai Ketua Pemuda. Saya insaf, sebagai insan,
saya tidak sempurna. Namun kita wajib bersyukur bahawa dalam tempoh sebelas
tahun yang lalu, Pergerakan Pemuda Umno telah sama-sama dapat kita gerakkan
sebagai sayap yang sangat penting kepada Umno dan terus berperanan sebagai tapak
semaian membolehkan tumbuhnya tunas-tunas muda untuk dijadikan barisan pelapis
meneruskan perjuangan parti.
35. Sesungguhnya saya amat bersyukur kerana diberi kepercayaan dan sokongan
oleh rakan seperjuangan dalam Jawatankuasa Pemuda. Saya tidak mungkin berupaya
melaksanakan gerak kerja memperkukuhkan Pergerakan Pemuda secara bersendirian.
Berkat usaha keras, komitmen, kesungguhan dan iltizam secara kolektif di semua
peringkat, peranan Pergerakan Pemuda dapat dirasai bukan sahaja oleh masyarakat
di dalam negara tetapi juga di luar negara dan kita kekal diberikan penghormatan
dan pengiktirafan oleh sayap-sayap Pemuda dalam parti komponen Barisan Nasional.
36. Semua saudara telah membantu saya dalam pelbagai cara. Sepanjang tempoh
saya menjadi Ketua Pemuda, wajar saya rekodkan penghargaan secara khusus kepada
rakan-rakan yang telah diberi tanggungjawab menjadi Penolong Setiausaha
Pergerakan Pemuda UMNO terdiri dari Datuk Zulkifly Alwi (yang turut memainkan
peranan sebagai sekretariat dalam program Aman Malaysia); Datuk Ab Raof Yusoh (turut
berperanan dalam program Ehsan Afghanistan); dan Datuk Rahman Dahlan (yang
memainkan peranan secara berkesan melebarkan peranan Pemuda di negeri Sabah).
Tanpa usaha mereka semua dan seluruh ahli Pemuda, tidak mungkin Pergerakan
Pemuda mendapat pengiktirafan dari pemimpin tertinggi parti dan majoriti rakyat
jelata.
37. Pada waktu kita berhimpun di Dewan ini, ingatan saya tidak dapat
melupakan rakan-rakan Exco Pergerakan Pemuda Umno semasa era kepimpinan saya
yang telah meninggalkan kita kerana menyahut panggilan Ilahi. Mat Mazlan Abu (Ketua
Pemuda Pasir Gudang, Johor; 2004-2008), Ezani Abdullah (Ketua Pemuda Peringat,
Kelantan; 1996-2000) dan Datuk Abd. Kadir Daud (Ketua Pemuda Selandar, Melaka
1996-2000) telah pun kembali ke Rahmatullah. Menghargai dan mengenang jasa bakti
dan pengorbanan mereka, begitu juga kepada para pejuang parti yang telah sampai
hukum menyahut panggilan Ilahi, sama-samalah kita membacakan suratul Al-Fatihah,
dengan doa semoga roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan para
solehin. Al-Fatihah.
Saudara perwakilan sekelian
38. Saya amat menghargai kepercayaan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi
memberikan amanah dan tanggungjawab kepada saya di dalam kerajaan pimpinannya
dengan melantik saya sebagai Menteri Pelajaran. Mudah-mudahan segala hajat dan
harapan beliau telah dapat saya penuhi. Pergerakan Pemuda juga merakamkan
setinggi-tinggi penghargaan atas jasa bakti dan khidmat beliau kepada parti dan
negara. Pemuda Umno akan menjadikan contoh teladan akan sifat kenegaraan beliau
yang tinggi, bersedia memberikan laluan menyerahkan kepimpinan parti kepada
barisan pelapis.
39. Seluruh warga Pergerakan Pemuda Umno, sebulat suara berikrar untuk
memberi sokongan padu dan kerjasama erat kepada Timbalan Presiden, Datuk Seri
Najib Razak yang bakal menerajui kepemimpinan parti. Pemuda sedar Datuk Seri
Najib mengambil alih kepemimpinan parti dan kepemimpinan negara dalam suasana
dan persekitaran politik dan ekonomi yang sungguh mencabar. Untuk itu sewajarnya
kita meningkatkan azam, bersama dengan sayap Wanita dan Puteri memastikan Umno
terus kukuh bersatu - bekerja dan bekerja, berusaha dan berusaha meneruskan
kegemilangan parti.
Saudara perwakilan sekalian,
40. Bagi diri saya, perhimpunan ini mempunyai ertinya tersendiri. Tanpa saya
sedari, sudah 18 tahun saya menghadiri Persidangan Agung, bermula dengan
mewakili Ledang dan Tenggara sebagai perwakilan, dipilih menganggotai barisan
Exco, sebelum menjadi Naib Ketua Pemuda dan akhirnya diberi mandat untuk
mengemudi Pergerakan ini selama sebelas tahun. Jangka masa 18 tahun ini
menghampiri satu pertiga usia pergerakan kita. Selepas pengalaman suka duka,
pahit manis dan pelbagai cabaran jatuh bangun di dalam pergerakan ini, saya
mengambil keputusan melepaskan jawatan Ketua Pergerakan Pemuda.
41. Sepanjang 11 tahun menerajui kepemimpinan, saya tidak pernah mengkhianati
orang Melayu. Saya tidak mengamalkan sifat gunting di dalam lipatan. Saya cekal
meneruskan amanat dan warisan perjuangan yang telah saya warisi dari nenda saya
dan ayahanda saya. Saya sedar banyak sistem pesanan ringkas (SMS) dan surat
layang yang disebarkan menyerang peribadi saya. Saya menyerahkan kepada
penilaian Ilahi yang Maha Mengetahui. Bahawa dalam diri cucunda Datuk Onn ini,
mengalir darah perjuangan Melayu yang sejati, berpaksikan kepada keluhuran nilai
dan idealisme murni. Saya sama sekali tidak akan menderhakai wadah perjuangan
yang saya warisi daripada nenda dan ayahanda saya. Saya sama sekali tidak akan
mengkhianati perjuangan Melayu.
Saudara Perwakilan Sekalian,
42. Dengan restu saudara sekalian, berbekal pengalaman, keyakinan dan
semangat juang, saya telah menawarkan diri bertanding jawatan Naib Presiden Umno
Malaysia dalam perhimpunan kali ini. Sekiranya saya diberikan sokongan padu oleh
para perwakilan terutamanya dari para Pemuda, sekiranya hajat saya dimakbulkan
Ilahi, adalah menjadi hasrat saya untuk membantu meningkatkan peranan Pergerakan
Pemuda secara lebih ketara dan efektif.
43. Saya disemai, bertunas, tumbuh dan dewasa dalam tapak semaian Pergerakan
Pemuda. Saya adalah hasil dan produk dari Pergerakan Pemuda. Saya mendapat
pengalaman dan kematangan politik melalui Pergerakan Pemuda. Saya diuji dengan
tanggungjawab dan menghadapi cabaran politik melalui Pergerakan Pemuda. Begitu
banyak jasa Pergerakan Pemuda terhadap saya yang akan saya jadikan kenangan
penuh nostalgia. Budi dan jasa Pergerakan Pemuda akan dikenang selagi hayat di
kandung badan. Saya telah mendapat sokongan Pemuda sejak 11 tahun yang lalu dan
pada hari ini saya memohon sokongan padu yang berterusan dari Pemuda. Semoga
dengan sokongan padu saudara-saudara, saya dapat mengambil tanggungjawab pada
peringkat yang lebih tinggi di dalam parti.
44. Perhimpunan kita hari ini akan menjadi saksi kepada peristiwa besar dalam
Pergerakan Pemuda kerana proses Menyerah Amanah akan berlangsung. Pemimpin
mungkin bersilih ganti dan peranan kepimpinan mungkin berbeza tetapi
tanggungjawab kekal dan perlu dipenuhi secara amanah oleh setiap pemimpin dan
kepemimpinan. Pemimpin datang dan pergi di semua peringkat sementara
tanggungjawab tetap menanti untuk dilaksanakan secara beramanah.
45. Dalam majlis ini saya Menyerah Amanah kepada Ketua Pemuda yang baru untuk
menjaga amanah bangsa yang saya pikul selama 11 tahun dengan pesanan, jagalah
Pergerakan yang kita sayangi ini dengan baik, dengan sempurna dan dengan tertib.
Dalam majlis ini juga, pendirian para perwakilan untuk Menyerah Amanah kepada
saya bagi meneruskan peranan kepimpinan mewakili Pemuda di peringkat yang lebih
tinggi akan saya laksanakan dengan sebaik mungkin, dengan sempurna dan dengan
tertib. Marilah kita berdoa ke Hadrat Allah S.W.T agar terus diberikan taufik
dan hidayah, kebijaksanaan dan petunjuk untuk kita tunaikan Amanah ini demi
menjunjung agama, memartabat bangsa.
46. Atas rasa penuh kesyukuran, maka, dengan rasa khusyuk dan tawaduk, saya
dengan lafaz 'Bismillahir Rahmanir Rahim', dengan ini melepaskan jawatan sebagai
Ketua Pemuda Umno Malaysia serta bersumpah dan berikrar dengan berbekal
pengalaman dan semangat saudara semua untuk terus menjulang obor perjuangan
Pemuda di peringkat tertinggi.
BERSATU, BERSETIA, BERKHIDMAT
Hidup UMNO!
Hidup Melayu!
Daulat Tuanku!
Allahuakbar!
Selamat Bersidang.