31/03/2008
Muhyiddin, Shahrir, Khaled setuju
Muhyiddin, Shahrir, Khaled setuju
BANGI 30 Mac – Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersetuju sistem kuota bagi melayakkan seseorang itu bertanding di semua peringkat pemilihan dihapus selaras usaha melakukan pembaharuan terhadap struktur parti itu.
Muhyiddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan dan Peraturan parti berkata, beliau sendiri pernah cadangkan perkara itu pada 2000 sebelum UMNO mengadakan Perhimpunan Agung Khas bagi membincangkan politik wang.
Bagaimanapun menurut beliau, cadangan itu tidak dipersetujui Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menjadi Presiden parti ketika itu.
Cadangan dibuat selepas beliau mengadakan lawatan ke negeri dan mendapati hampir semua pemimpin dan ahli UMNO mahu sistem kuota dihapus kerana tidak demokratik dan menggalakkan politik wang.
‘‘Bila saya sebut kita hapuskan sistem kuota, dia (Dr. Mahathir) kata biarlah begitu, tak apa. Jadi bila dia kata begitu, saya tidak bawa kepada perhimpunan agung, kekal sistem itu macam yang ada sekarang.
‘‘Sebab dia Presiden dan penyandang, jadi kalau buka mungkin memudahkan orang bertanding melawannya.
‘‘Jadi sekarang, dia kata hapuskan, baru dia nampak peraturan itu mengekang, tidak demokratik dan tidak menjadikan UMNO lebih bertenaga kerana ada pelbagai sekatan,” katanya.
Muhyiddin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Sukan Antara Agensi MITI 2008 di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Dr. Mahathir semalam mahu sistem kuota yang dilaksanakan selepas Tengku Razaleigh Hamzah mencabarnya pada 1987 dimansuhkan kerana telah disalah gunakan pemimpin yang berkuasa dengan menghalang bahagian UMNO mencalonkan orang lain dalam pemilihan parti.
Pindaan
Muhyiddin berkata, langkah menghapuskan sistem kuota boleh dibuat menggunakan dua cara, pertamanya, MT membuat keputusan mengarahkan beliau membuat pindaan pada perkara itu dan ia perlu diluluskan dalam perhimpunan agung khas parti.
Kaedah kedua melibatkan keputusan dibuat oleh lebih separuh daripada negeri atau bahagian UMNO supaya diadakan perhimpunan agung khas untuk meminda perlembagaan berkaitan sistem kuota.
‘‘Dulu pun saya sudah fikir begitu tapi saya tak ada mandat, saya tak boleh buat sesuka saya walaupun Pengerusi Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan dan Peraturan, saya perlu menerima arahan, kalau tak ada arahan dan tuntutan daripada ahli, maka tak boleh kita pinda,” jelasnya.
Tambah Muhyiddin, persetujuannya supaya sistem kuota dihapuskan tidak boleh dikaitkan dengan isu beliau bersetuju atau tidak bersetuju dengan kepimpinan parti sedia ada.
Beliau berkata, ia dibuat semata-mata untuk kepentingan UMNO dan mempertahankan kedudukan orang Melayu di negara ini.
‘‘Sistem kuota dilihat terlalu mengekang ahli sedangkan sepatutnya proses demokrasi dalam parti mesti sihat, boleh meningkatkan semangat perjuangan dan meremajakan UMNO supaya lebih bertenaga,” katanya.
Ujar beliau, wujud kes apabila bahagian mencadangkan nama pemimpin tertentu untuk bertanding dan kemudian tidak cukup kuota, maka bahagian itu disenaraihitamkan kerana dikatakan hendak menimbulkan masalah dan tidak menghormati pimpinan.
‘‘Ini menyebabkan orang takut hendak buat cadangan. Perkara ini berkembang biak dalam parti sehingga pernah pada satu ketika dulu banyak orang mengusulkan supaya jawatan penting dalam parti jangan dipertandingkan.
‘‘Usaha menghapuskan kuota ini membolehkan kita mengambil langkah yang perlu untuk memperbaiki kelemahan dan meninggalkan cara yang sudah usang supaya sesuai dengan perkembangan zaman,” katanya.
Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pemansuhan itu membolehkan pertandingan dilakukan secara terbuka seperti sebelum sistem itu diperkenalkan.
Kelebihan
Bagaimanapun, beliau berkata, satu Mesyuarat Agung Khas perlu diadakan jika hendak memansuhkan peraturan dan meminda Perlembagaan UMNO berkaitan sistem kuota.
“Bagaimanapun kalau kita pinda perlembagaan itu sekarang, ia tidak boleh diguna pakai untuk pemilihan parti pada Disember ini, '' katanya.
Menteri Pengajian Tinggi itu bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Sekolah Kebangsaan Pasir Gudang 4, di Pasir Gudang, dekat sini hari ini.
Khaled berkata, sistem kuota itu mempunyai kelebihan dan kekurangannya kepada ahli dan parti itu.
“Baik, jika ada sokongan baru boleh bertanding, tidak baiknya, ia akan jadi bahan mainan yang mengaibkan pemimpin terbabit, '' katanya.
Seorang lagi Ahli MT UMNO, Datuk Shahrir Abdul Samad turut berpendapat penghapusan sistem kuota itu wajar kerana ia dituntut dalam semua parti politik malah pernah diamalkan UMNO sebelum ini.
Beliau berkata, perpecahan dan perbalahan yang berlaku selama ini disebabkan kegagalan UMNO menangani masalah dalaman yang telah dikenal pasti sekian lama.
‘‘Pertandingan adalah amalan demokrasi dan menjadi asas fundamentalis kepada politik negara,” katanya selepas merasmikan penubuhan Kelab Nelayan Kampung Bakar Batu, di Johor, hari ini.
Sehubungan itu, beliau menyokong saranan itu kerana ia selaras dengan pendiriannya sejak mula berkecimpung dalam UMNO 30 tahun lalu.