Utusan Online
Untitled Document
 
  Kumpulan utusan        Hubungi Kami              Jom Iklan!              Arkib Berita


16/03/2008

Pemuda tekad perbaiki kelemahan parti

Pemuda tekad perbaiki kelemahan parti


HISHAMMUDDIN Tun Hussein (dua dari kiri) bersama barisan pemimpin Pergerakan Pemuda Barisan Nasional MCA, MIC dan Gerakan selepas sidang akhbar di Kuala Lumpur, semalam. – Gambar SIN CHEW.

KUALA LUMPUR 15 Mac – Pergerakan Pemuda Barisan Nasional (BN) bertekad untuk memperkukuhkan hubungan dan memperbaiki segala kelemahan bagi meyakinkan kembali rakyat terhadap perjuangan parti itu.

Ketua Pergerakan Pemuda BN, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, sayap Pemuda semua komponen bersetuju terdapat kelemahan yang perlu diperbaiki serta bersepakat meletakkan parti sebagai keutamaan.

“Kami berempat juga sepakat melihat ke depan dan tidak mahu merosakkan apa yang telah diwarisi di samping mahu secara proaktif membina semula parti bagi memenuhi aspirasi rakyat,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan tertutup dengan Ketua Pemuda MCA, MIC dan Gerakan di sini hari ini.

Ditanya apakah pendirian Pemuda itu seiring dengan kehendak rakyat di peringkat akar umbi, Hishammuddin menegaskan, majoriti rakyat jelas masih bersama BN.

Katanya, sehubungan itu, Pemuda BN perlu bergerak sebagai sayap sebuah parti yang masih memperoleh majoriti untuk memimpin.

“Kita tidak boleh mengecewakan majoriti rakyat kerana hendak melayan segelintir mereka yang mungkin hendak mengambil kesempatan dan yang mungkin ada kepentingan lain.

“Itu bukan merupakan tugas dan amanah yang diharapkan pemimpin tertinggi parti komponen,” ujarnya.

Hishammuddin turut memberi amaran kepada mereka yang masih ghairah dan terbelenggu dengan isu serta pertimbangan peribadi, bahawa sekarang bukan masanya untuk menuding jari.

Katanya, tenaga, masa dan pemikiran hendaklah hanya dijurus kepada pembinaan kekuatan parti dan merapatkan barisan.

“Kepimpinan Pemuda yang menang, saya seru lipat gandakan usaha dan bekerja kuat untuk menunaikan janji serta berbakti kepada rakyat.

“Sementara di negeri kalah, kita juga tidak terkecuali mempunyai tanggungjawab yang besar untuk berkhidmat kepada rakyat walaupun sebagai pembangkang demi memastikan parti terus relevan,’’ katanya.

Dalam pada itu, Hishammuddin berkata, Pemuda BN tidak akan membenarkan mana-mana pihak melagakan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

‘‘Kita Pemuda BN berdiri teguh di belakang kepimpinan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri serta ketua-ketua parti komponen.

‘‘Jadi sekiranya ada mana-mana pihak cuba melaga-lagakan kepimpinan kedua-dua mereka ini, kita tidak akan izinkan,’’ katanya.