27/08/2008
Polis patah cubaan bunuh Obama
Polis patah cubaan bunuh Obama
DENVER, Amerika Syarikat (AS) 26 Ogos - Empat orang ditangkap di bandar ini kerana disyaki terlibat dalam komplot untuk membunuh calon Demokrat ke White House, Barack Obama.
Menurut laporan stesen televisyen tempatan CBS34 semalam, salah seorang daripada lelaki itu memberitahu pihak berkuasa mereka merancang "untuk menembak Obama dari satu kedudukan tinggi dengan menggunakan raifal pada jarak 750 meter."
Serangan itu sepatutnya berlaku pada Khamis ini apabila Obama dijadual menerima pencalonan sebagai calon Presiden AS daripada Parti Demokrat untuk pilihan raya November ini, lapor televisyen tersebut.
Acara kemuncak Konvensyen Kebangsaan Demokrat itu akan berlangsung di stadium Invesco yang boleh memuatkan 75,000 orang.
Seorang lelaki ditangkap kelmarin selepas polis menemui dua raifal berkuasa tinggi di dalam sebuah trak pikap yang dipandunya.
Seorang lagi lelaki dilaporkan memakai lambang swastika (simbol Nazi) dan dipercayai ada kaitan dengan kumpulan pelampau kulit putih.
Pejabat Pendakwa Raya di Denver menjadualkan satu sidang media hari ini untuk membincangkan insiden itu.
Bagaimanapun, Pendakwa Raya, Troy Eid memberitahu media tempatan, beliau tidak percaya terdapat ancaman terhadap Obama walaupun insiden itu sedang disiasat dengan rapi oleh Jabatan Polis Aurora di sini dengan kerjasama penguat kuasa undang-undang Persekutuan.