Utusan Online
Untitled Document
 
  Kumpulan utusan        Hubungi Kami              Jom Iklan!              Arkib Berita


26/02/2008

Cadangan DAP: Rakyat boleh menderita

Cadangan DAP: Rakyat boleh menderita


Nor Mohamed Yakcop diperkenalkan oleh Mohd. Shariff Omar kepada penduduk Kampung Paya Tasek Gelugor, Pulau Pinang selepas menziarahi salah seorang penduduk yang meninggal dunia di kampung tersebut, semalam.

PULAU PINANG 25 Feb. – Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop memberi amaran, cadangan DAP supaya setiap keluarga bergaji kurang RM6,000 sebulan diberikan bonus RM6,000 setahun, boleh mengakibatkan rakyat yang berpendapatan rendah menderita.

Katanya, cadangan manifesto DAP itu jika diteruskan boleh menyebabkan inflasi yang tidak menentu serta kadar pengangguran yang teruk berbanding tahap inflasi 3.3 peratus sekarang.

Beliau berkata, manifesto itu boleh menyebabkan apa yang diusahakan kerajaan dalam membangunkan negara sejak 50 tahun lalu musnah sekelip mata.

Menurutnya, golongan yang teruk menerima kesan negatif nanti ialah petani, peladang, pekerja industri dan pihak yang terlibat dalam sektor pengangkutan termasuk pemandu lori.

‘‘Cadangan DAP ini mungkin bersifat populisme tetapi amat tidak bertanggungjawab kerana ia akan membawa kesusahan kepada rakyat.

‘‘Bagi kerajaan, secara prinsip kita bukan tidak setuju dengan penetapan gaji minimum tetapi apa yang kita buat ialah pendekatan secara holistik menerusi penyediaan latihan dan pembangunan modal insan.

‘‘Dengan Perdana Menteri telah menggerakkan pelbagai polisi untuk sektor swasta berkembang, ia akan membolehkan rakyat menikmati gaji lumayan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Nor Mohamed mengulas cadangan yang diutarakan DAP dalam manifesto parti itu untuk Pilihan Raya Umum Ke-12 supaya ‘Bonus Malaysia’ sehingga RM6,000 setahun diberikan kepada keluarga yang berpendapatan bulanan RM6,000 ke bawah.

Cadangan itu terkandung dalam lapan perkara manifesto berkenaan yang dilancarkan oleh Setiausaha Agung parti, Lim Guan Eng yang kononnya dapat memastikan kualiti hidup rakyat yang lebih baik.

Beliau berkata, kenaikan harga barang keperluan secara mendadak juga tidak dapat dielak jika cadangan pemberian bonus RM6,000 setahun itu direalisasikan.

‘‘Pelabur asing dan tempatan juga kurang berminat untuk melabur dengan pelbagai perkembangan negatif ini.

‘‘Justeru, apa yang diingini kerajaan untuk memastikan negara kompetitif akan terbantut berbanding yang ditunjukkan oleh China dan negara maju lain,” katanya.

Beliau berkata, dengan negara tidak lagi kompetitif ia mengakibatkan eksport menurun dan pertumbuhan ekonomi terjejas.

Nor Mohamed yang berkempen di kawasan Parlimen Tasek Gelugor akan berdepan dengan calon Pas, Ismail Salleh pada pilihan raya umum 8 Mac ini.