23/02/2008
Pembangunan modal insan fokus Azeez
Pembangunan modal insan fokus Azeez
BALING 22 Feb. - Calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Baling, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim akan memberi tumpuan terhadap pembangunan modal insan sekiranya beliau berjaya memenangi kerusi itu pada pilihan raya umum 8 Mac ini.
Beliau yang menggantikan Datuk Dr. Mashitah Ibrahim berkata, aspek itu penting dalam membawa perubahan di daerah berkenaan yang satu ketika dulu begitu sinonim dengan isu kemiskinan dan kemunduran.
''Kerajaan telah menyediakan banyak peluang khususnya melalui pendidikan dan latihan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat dan ia perlu dimanfaatkan sebaik mungkin'' katanya ketika dihubungi hari ini.
Pengerusi Putera UMNO itu berkata, walaupun sering dilabelkan dengan isu mat rempit, beliau bertekad membangunkan modal insan kerana ia merupakan jalan untuk perubahan.
Pada pilihan raya umum kali ini, Abdul Azeez akan berhadapan dengan calon Pas, Taib Azamudden Md. Taib yang tewas pada pilihan raya umum 2004.
Azeez berkata, beliau juga akan memberi perhatian terhadap soal pendidikan bagi meningkatkan pencapaian akademik para pelajar di daerah berkenaan.
Sejak 1998 katanya, beliau telah menjadi Pengerusi Jawatankuasa Kecil Peningkatan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) UMNO Baling yang meletakkan sasaran cemerlang anak-anak Baling dalam pendidikan.
Ternyata impian beliau menjadi kenyataan apabila jumlah pelajar di Parlimen Baling yang memperoleh keputusan 5A dalam UPSR bertambah dari 70 kepada 400 pelajar.
Ekoran itu, Azeez mengadakan pula program khas untuk Penilaian Menengah Rendah (PMR) untuk melahirkan lebih ramai pelajar cemerlang dengan memilih 13 buah sekolah rendah dan menengah sebagai sekolah angkatnya.