ARKIB : 17/07/2012
Pokok cinta di Taman Seribu Bunga
MELAKA 16 Julai - Pelbagai cara dilakukan bagi meluahkan rasa kasih dan sayang terhadap pasangan masing-masing dan tidak kurang juga yang menghasilkan sesuatu yang unik sebagai bukti cinta yang boleh memahat kenangan manis dalam diri seseorang.
Seperti di beberapa negara antaranya Perancis, Jerman, Korea Selatan dan beberapa buah lagi, budaya bagi pasangan bercinta menguncikan mangga yang terukir nama mereka di pagar, pintu gerbang, jambatan, monumen, tiang dan seumpamanya juga merupakan budaya yang cukup terkenal sehingga kini.
Budaya yang dikenali sebagai mangga cinta atau 'love padlocks' itu adalah simbolik kepada percintaan pasangan dan juga sebagai lambang keutuhan cinta mereka agar berkekalan selamanya.
Namun lain pula ceritanya bagi Melaka yang turut mengetengahkan budaya baru kepada pasangan bercinta khususnya pengantin baru bagi membuktikan cinta mereka terhadap pasangan masing-masing.
Budaya unik itu ialah setiap pasangan pengantin baru perlu menanam sekurang-kurangnya dua batang pokok di mana-mana taman rekreasi di negeri ini.
Biarpun budaya itu akan membuatkan ramai yang geli hati tetapi impak daripadanya bakal meninggalkan kesan yang mendalam dalam diri pasangan berkenaan dan merupakan salah satu terapi dalam mengukuhkan hubungan suami isteri.
Walaupun ia tidak sehebat fenomena mangga cinta yang melanda dunia, ia dilihat sangat positif untuk diketengahkan kerana jelas memberikan manfaat bukan hanya kepada pasangan pengantin malah kepada masyarakat dan juga negeri.
Sejajar dengan matlamat kerajaan negeri ke arah negeri bandar teknologi hijau, budaya baru itu dialu-alukan kerana selain membantu kerajaan negeri mengindahkan bandar raya Melaka ia juga menyumbang ke arah merancakkan lagi industri pelancongan.
Jika di Korea Selatan, ribuan pelancong tidak putus-putus membanjiri Menara Seoul setiap hari bagi melihat keunikan mangga cinta, pastinya budaya pokok pengantin baru juga mampu menarik pelancong jika dipromosikan secara meluas.
Sebagai permulaan dalam memperkenalkan cara baru meluahkan kasih sayang kepada pasangan suami isteri itu, Taman Seribu Bunga yang terletak di Ayer Keroh menjadi pilihan bagi Program Penanaman Pokok Pengantin Baru yang disertai enam pasangan pengantin, baru-baru ini.
Kesemua pengantin daripada pelbagai kaum itu diberi peluang menanam dua batang pokok jenis kelat paya di taman rekreasi yang terkenal dengan kecantikan dan kepelbagaian spesies pokok dan bunganya.
Taman seluas 5.3 hektar yang mempunyai sebanyak 4,202 batang pokok dengan lebih 1,000 spesies bunga itu merupakan antara taman rekreasi yang sering mendapat kunjungan pelancong dalam dan luar negara serta dilihat sangat berpotensi menjadi 'pembuka jalan' ke arah mengetengahkan budaya baru itu.
Dalam membudayakan amalan tersebut, pasangan pengantin baru tidak perlu mengeluarkan sebarang modal atau perlu mengikuti syarat tertentu melainkan perlu memaklumkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) yang terlibat untuk mendapatkan bekalan pokok dan peralatan untuk menanamnya.
Setiap pokok yang ditanam itu akan dijaga oleh pihak pengurusan taman rekreasi dan akan diletakkan tanda nama pasangan pengantin dan tarikh pokok tersebut ditanam yang pastinya akan menjadi kenangan manis buat pasangan berkenaan.
Sesungguhnya pasangan pengantin baru yang terlibat akan berasa teruja untuk melihat pokok yang ditanam itu tumbuh subur dan akan menjadi sesuatu yang teristimewa untuk ditunjukkan kepada anak dan cucu mereka kelak.
Selain menjadi detik manis dalam hubungan rumahtangga, mengikut kajian yang dijalankan oleh Dr. Virginia Lohr dari Universiti Washington, kekerapan melihat tanaman hijau juga dapat meningkatkan produktiviti seseorang dan mampu mengurangkan tekanan.
Justeru itu, melihat kepada keistimewaan budaya tersebut, kerajaan negeri telah menyarankan agar setiap pengantin baru yang berdaftar di negeri ini untuk tidak melepaskan peluang membudayakan amalan sihat itu yang sekali gus dapat menyokong usaha pengindahan dan penghijauan negeri ini.
Diharap usaha mempromosikan budaya ini secara berterusan dengan mendapat sokongan daripada pengantin baru dari pelbagai kaum sama ada dari dalam dan luar negara bakal menambahkan satu lagi produk pelancongan negeri ini dan tidak mustahil akan mencetuskan fenomena pokok pengantin baru pada masa akan datang.
RM4.9j wujud klinik pakar di Nilai
MAINS teruskan usaha lonjak kecemerlangan pendidikan ke peringkat tertinggi
ADUN bantu selesai masalah bekalan air
Melaka, Indonesia cadang wujud konsep TKI - Idris
Menghijau alam, melestari bumi
Semakin ramai sedar kepentingan hutan
Generasi kedua perlu rumah
Melaka tumpu bangun industri pelancongan golf
Penjawat awam dekati masyarakat setempat
Wujudkan subjek Tata Rakyat
Jangan terpedaya individu mengaku pegawai JKR
Orang Asli: Guru diminta lebih komited
Penghargaan tertinggi pesara guru
Tugas guru adalah jihad ilmu
Naik taraf bekalan elektrik
Mohd. Razi guna pengalaman sebagai guru curah bakti kepada rakyat
Abu Bakar janji majukan negara dalam bidang sains, teknologi
Hasan Rahman dapat jolokan ADUN Jagung 1Malaysia
Ayuh 'serbu' Festival Hari Guru di Paroi
Waktu Solat Kuala Lumpur |
||||
|
||||









