VERSI : Mobile | Akhbar Digital
24 April 2014 / 24 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
HIBURAN

ARKIB : 17/07/2012

Hampir kering idea

TAHUN ini genap sedekad Ice Age yang pertama ditayangkan. Sudah masuk filem keempat, francais ini masih mampu 'hidup' di sebalik kesukaran penulis dan pengarahnya mewujudkan cerita dengan latar belakang yang terhad iaitu era prasejarah.

Ice Age yang menumpukan tema kekeluargaan menerima saingan daripada francais seangkatan seperti Shrek (2001-2007) dan Madagascar (2005-2012). Seperti dua animasi itu, Ice Age juga tidak terlepas daripada kritikan atas jalan cerita yang semakin hambar, misalnya filem ketiga Dawn of the Dinosaurs (2009).

Filem keempat, Continental Drift dibuka dengan karakter tetap Ice Age, Scrat yang tidak berhenti mengejar sebiji buah oak. Kali ini, perbuatannya itu menyebabkan laut dan daratan terpisah, lalu mengubah bentuk muka bumi dan menjadi seperti seadanya hari ini.

Seperti tiga filem terdahulu, Scrat menjadi sebahagian daripada cerita tetapi tidak berkaitan dengan plot utama secara langsung. Kisah Scrat mampu berdiri sendiri tanpa dikaitkan dengan karakter-karakter lain. Inilah salah satu sebab mengapa Ice Age masih dikenang dan berupaya menawan hati penonton.

Continental Drift menyaksikan tiga watak asal, Manny (disuarakan Ray Romano), Sid (John Leguizamo) dan Diego (Denis Leary) terpisah daripada keluarga dan puak haiwan lain apabila bumi terbelah dan mewujudkan benua. Mereka mesti mencari jalan pulang dari lautan luas untuk ke daratan.

Turut serta dalam perjalanan pulang itu ialah karakter baru, Granny iaitu nenek Sid yang secara tidak sengaja mengikuti mereka. Penonton juga diperkenalkan dengan peranan antagonis seperti ketua lanun iaitu monyet Captain Gutt dan pembantunya, harimau Shira (yang menggunakan suara Jennifer Lopez).

Lalu apa yang terjadi seterusnya ialah mereka harus menyelamatkan diri dan menumpaskan penjahat ini untuk kembali ke pangkuan keluarga masing-masing.

Dengan jalan cerita yang ringkas, dialog dan jenaka yang mudah difahami, Ice Age sejak dulu lagi mengutamakan kanak-kanak sebagai sasaran. Kerana terlalu ringkas juga, plotnya sedikit membosankan kerana bergerak lurus tanpa ada kejutan dan tiada pembinaan yang ketara dari aspek perwatakan.

Terlalu banyak karakter yang ditampilkan membuatkan beberapa konflik yang direka tidak dikupas dengan mendalam. Misalnya, hubungan di antara Peaches dan Louis yang diibaratkan seperti 'antara dua darjat', menarik jika diberikan lebih emosi.

Begitu juga dengan hubungan benci-sayang antara Diego dan Shira yang berlaku sekadar di permukaan. Mungkin penulis, penerbit dan pengarah mahu 'menyimpan' cerita mereka untuk filem sambungan yang kelima.

Jika diingatkan kembali Ice Age yang pertama, filem ini boleh dikatakan lesu. Bukan kerana imejnya tetapi kerana kurangnya perasaan seronok atau teruja untuk mengikuti pengembaraan haiwan-haiwan tersebut.

Tidak dinafikan, terdapat usaha untuk 'membawa' watak-watak ini menikmati pengalaman yang berbeza dari senario sebelumnya tetapi segalanya mudah dijangka. Mereka seperti kekeringan idea untuk menjadikan Ice Age terus gah dan fenomena.

Bagaimanapun, Blue Sky Studios harus dipuji kerana keupayaannya menghasilkan animasi yang berkualiti. Walaupun saya tidak menonton dalam versi 3D, penonton masih dapat mengagumi visual yang dihasilkan.

Ketelitian boleh dilihat menerusi 'ketajaman' lukisan setiap karakter, misalnya bulu-bulu haiwan atau gerakan air laut dan glasier. Kelebihan mereka di sini ialah Ice Age tidak mahu menghasilkan visual realistik yang hampir menyerupai objek sebenar tetapi masih mempunyai perasaan dan rupa sesebuah kartun.

Filem keempat ini tidaklah teruk. Penonton masih boleh ketawa dan berhibur terutama sekali untuk tontonan seisi keluarga.

Peminat tegar akan turut menghargai sumbangan suara bintang-bintang popular, walaupun peranan mereka tidaklah sebesar mana; antaranya Nicki Minaj untuk watak Steffie, Simon Pegg (Buck), Sean William Scott (Crash) dan Patrick Stewart (Ariscratle).

Malah, watak-watak jahat dari kumpulan lanun itu sendiri agak menyeronokkan untuk ditonton, sehinggakan cukup untuk penerbit menghasilkan sebuah filem animasi lain jika mereka mahu.

Namun, untuk diingati sebagai filem animasi yang menakjubkan atau sekurang-kurangnya yang terbaik tahun ini, jawapannya tidak. Mungkin kerana itu, Blue Sky Studios memberikan bonus iaitu filem animasi pendek bertajuk The Longest Daycare sebelum Continental Drift bermula.

Justeru, penonton dinasihatkan masuk panggung tepat pada waktunya untuk menyaksikan filem yang dibintangi Maggie Simpson ini dari siri animasi televisyen popular, The Simpsons.

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:47
Zohor 1:14
Asar 4:29
Maghrib 7:20
Isyak 8:31
 
 



IKLAN@UTUSAN



BANCIAN ONLINE
IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.