VERSI : Mobile | Akhbar Digital
25 Julai 2014 / 27 Ramadan 1435  
  Carian Arkib
HIBURAN

ARKIB : 17/07/2012

Tiada masa depan?

Angie Lym (tiga dari kiri) optimis mampu pergi jauh dalam industri seni.

MUZIK underground (UG) atau muzik bawah tanah memang kurang popular berbanding muzik arus perdana seperti pop, rock, jazz, blues dan klasik. Dikategorikan sebagai muzik bebas (independent), ia merangkumi banyak cabang. Antaranya grunge, punk, hardcore, thrash metal dan grindcore yang sudah lama bertapak termasuk dalam persada muzik tempatan sejak pertengahan 1980-an.

Walaupun kurang popular, genre muzik itu mempunyai peminatnya yang tersendiri hingga ke hari ini. Antara kumpulan UG yang pernah aktif pada era tahun 1980-an seperti Blackfire, Rator, Silent Death, Nemesis, Punisher, Necrofist, Massacre dan Bacteria. Sayangnya, hampir 99 peratus daripada mereka kini tidak aktif lagi.

Biarpun kurang publisiti dan gaya lebih keras berbanding genre muzik-muzik arus perdana tetapi ia tetap menjadi pilihan ramai pemuzik. Pemuzik UG pula sanggup melupakan soal wang ringgit dan glamor semata-mata kerana tarikan muzik tersebut.

Justeru, tidak hairanlah ada yang beranggapan muzik-muzik UG terpinggir. Paling teruk ada tohmahan mengatakan genre ini tiada masa depan kerana ia tidak boleh menjamin pendapatan lumayan untuk para penggiatnya.

Tetapi bagi pejuang-pejuang muzik UG, mereka tidak setuju dengan tanggapan itu. Kata mereka ramai pemuzik aliran itu yang mampu bertahan lama.

Pemain drum kumpulan punk rock Subculture, Meor Muhammad Syafeeq Anas, 25, membuktikan mereka mampu bertahan selama hampir 20 tahun. Kumpulan itu telah ditubuhkan pada 1992.

"Sebagai anggota baru Subculture, saya dapat melihat kejayaan mereka yang mampu bertahan hingga kini selain mempunyai peminat tersendiri.

"Malah sokongan para peminat dapat dilihat apabila salah satu album Subculture yang berjudul Love and Hate dijual melebih 30,000 unit.

"Sehingga kini, Subculture masih aktif mengadakan persembahan dan merakamkan album baru," katanya kepada Mega.

Meor Muhammad Syafeeq ditemui pada KL Indie Music Festival di Laman Santai, Istana Budaya (IB), Kuala Lumpur baru-baru itu.

Subculture antara 17 kumpulan tempatan yang mengadakan persembahan anjuran Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) dan IB itu.

Selain Meor, Subculture yang turut dianggotai oleh Fao (gitar), Kabin (bass) dan Azreen (penyanyi, gitar) bakal tampil dengan enam lagu terbaru berjudul Mimpi Replika, 365, Direction, Understand, Monster Mind dan Meaningless Days yang mereka terbitkan sendiri.

Lagu-lagu Subculture bukan setakat diminati oleh para peminat muzik punk rock tetapi ia turut menarik perhatian penerbit sebuah filem animasi berjudul Re-Entry.

Animasi itu menggunakan lagu Subculture yang berjudul Ticket To The Moon sebagai lagu tema.

Re-Entry telah mendapat pengiktirafan sebagai muzik video pelancongan angkasa pertama di dunia pada tahun lalu melalui Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA), Agensi Angkasa Eropah dan Agensi Penerokaan Aero-Angkasa Jepun.

Meor yang kini sedang melanjutkan pengajian peringkat ijazah dalam bidang Produksi dan Pengurusan Muzik di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) menambah, para peminat yang semakin terbuka membuatkan dia yakin genre muzik UG akan diterima ramai pada masa depan.

"Muzik UG sama juga seperti muzik lain. Kalau ia diberi lebih banyak publisiti maka ramai peminat yang akan tahu dan meminatinya. Malah ia juga menampilkan pelbagai genre di mana para peminat mempunyai lebih banyak pilihan yang mampu menarik ramai peminat," ujarnya.

Kumpulan Republic of Brickfields dan Koffin Kanser pula adalah antara pemuzik UG veteran tanah air.

Penyanyi dan pemain gitar dua kumpulan itu, Piruzaman Azizan atau lebih dikenali Aru antara pemuzik UG yang masih bertahan sejak pembabitan awalnya lebih 20 tahun lalu.

Menurut pemuzik berusia 47 tahun itu, terdapat banyak rahsia mengapa dia masih bertahan sebagai pemuzik UG.

Malah dua kumpulan yang disertainya itu juga masih mempunyai ramai peminat yang sentiasa membeli album dan menyaksikan persembahannya.

"Saya adalah pemuzik UG sejak pertengahan tahun 1980-an. Walaupun muzik-muzik UG kurang dikenali tetapi ia tetap hidup dan mendapat sambutan yang luar biasa. Sayangnya, ramai orang yang tidak tahu. Mungkin kerana kurang publisiti atau sikap low-profile pemuziknya.

"Dalam hal ini, saya tidak anggap peminat sebagai peminat tetapi sebagai kawan.

"Saya sentiasa turun padang bercampur gaul dengan mereka. Hubungan antara dua kumpulan saya itu dan peminat yang kami anggap kawan sangat rapat.

"Sebab itu, setiap kali keluar album baru kami mempunyai kalangan peminat setia yang akan membelinya. Ini termasuk sewaktu kami mengadakan persembahan di mana mereka pasti akan memberi sokongan. Itu antara rahsia mengapa kami masih bertahan," jelasnya.

Dengan berambut fesyen simpul mati (dreadlock) ala reggae, Aru boleh berbangga kerana biarpun mengambil sikap tidak terlalu mengejar glamor dan populariti tetapi lagu-lagu nyanyiannya menarik perhatian banyak pihak termasuklah syarikat rakaman EMI.

Republic of Brickfields misalnya, pernah menghasilkan album berjudul Ganjaran di bawah edaran EMI dan dijual lebih 5,000 unit beberapa tahun lalu. Jumlah itu boleh dikatakan agak besar bagi kumpulan seperti mereka yang jarang mendapat liputan media massa.

Ekoran sokongan yang tidak berbelah bahagi itu, Aru boleh berbangga kerana biarpun belum berada di landasan muzik arus perdana tetapi persembahan mereka jarang mengecewakan. Kumpulannya tidak putus-putus menerima tawaran mengadakan persembahan.

"Antara yang paling mendapat sambutan ialah sewaktu saya mengadakan Konsert Rock The World V. Hampir 25,000 peminat menyaksikan konsert itu beberapa tahun yang lepas. Itu membuktikan pemuzik UG seperti kami juga mempunyai peminat tersendiri," ujarnya.

Kumpulan Once Upon A Time There Was A Sausage Named Bob (OUATTWASNB) pula membuktikan bakat mereka selepas menjuarai pertandingan Volkswagen Polo Rock pada tahun lalu. Biarpun bergelar juara tetapi kumpulan lima anggota itu bergerak dalam muzik secara UG.

Penyanyi OUATTWASNB, Esty Richards, 21, berkata, mereka lebih selesa mengembangkan konsep muzik alternatif rock mereka dengan cara mengadakan persembahan secara kecil-kecilan. Ia antara lain bertujuan mendekatkan lagi mereka dengan para peminat pada persembahan itu.

"Tetapi itu tidak bermakna kami tiada peminat ataupun belum layak mengadakan konsert di pentas besar dan bertaraf antarabangsa.

"Kami pernah mengadakan konsert di Dewan Esplanade, Singapura pada Mac tahun lalu dengan mendapat liputan meluas media massa di sana.

"Bagaimanapun, kami lebih selesa dengan cara sekarang. Apa yang paling utama ialah peminat setia. Malah kami juga lebih mementingkan kualiti muzik daripada publisiti yang tiada kena mengena dengan kerja kami," katanya semasa ditemui di festival tersebut.

OUATTWASNB yang turut dijemput mengadakan konsert di KL Indie Music Festival kini sedang merancang mengadakan konsert di Thailand dan Filipina.

Kumpulan yang popular dengan lagu berjudul Truth Be Told itu yakin mereka mampu pergi lebih jauh berbekalkan muzik UG.

Esty yang merupakan pelajar di Institute Advertising College di Petaling Jaya, Selangor dalam bidang Komunikasi Massa peringkat diploma sanggup memberi sepenuh tumpuan jika kumpulan yang ditubuhkan tiga tahun lalu itu diterima di arena muzik arus perdana.

"Bagi saya, semua muzik bermula secara UG tidak kira genre muzik apa pun. Apabila ia semakin popular maka ia dikategorikan dalam arena arus perdana.

" Cuma bezanya sama ada para penggiatnya mahu ataupun tidak. Terpulanglah kepada diri masing-masing," ujarnya.

Ungkapan Esty itu memang ada kebenarannya kerana sebelum ini persada muzik UG mempunyai ramai kumpulan seperti OAG, Butterfingers dan The Times yang pada mulanya bergiat secara UG tetapi selepas sekian lama mereka kini menukar haluan ke landasan muzik arus perdana.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:50
Zohor 1:23
Asar 4:45
Maghrib 7:30
Isyak 8:44

 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.