VERSI : Mobile | Akhbar Digital
24 April 2014 / 24 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
RENCANA

ARKIB : 13/07/2012

Kesan 54 kali Tilawah Al-Quran

SERI Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Ahmad Shah bersalaman dengan peserta Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa pada tahun 1981 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.

MALAM ini berakhir majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa Ke-54 yang diadakan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur sejak Jumaat lalu.

Seramai 60 qari dan qariah dari 76 negara memperdengarkan bacaan masing-masing pada majlis bertemakan Al-Quran: Pemacu Transformasi Ummah Wasatiyyah yang berlangsung selama lapan hari.

Sebenarnya, Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ialah individu yang bertanggungjawab mengasaskan majlis tilawah itu pada 9 Mac 1961. Peringkat awalnya dikenali sebagai Majlis Musabaqah Al-Quran Peringkat Antarabangsa.

Kali pertama ia diadakan di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur sebelum diubah lokasi ke Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sejak 1985.

Jika pertama kalinya ia hanya disertai tujuh negara dengan 13 peserta, kini jumlahnya telah meningkat berkali-kali ganda.

Mengikut rekod, qari Malaysia telah menjadi johan sebanyak 28 kali manakala qariah kita sebanyak 35 kali.

Negara-negara lain yang pernah memenangi tilawah berkenaan ialah Iran, Indonesia, Thailand, Libya, Mesir, Filipina, Brunei, Kuwait, Iraq dan Pakistan.

Walaupun kita belum tahu sama ada qari dan qariah Malaysia kali ini yang diwakili Muhammad Anuar Ghazali dan Che Aminah Che Awang akan menjadi johan atau tidak, kemenangan itu bukan sesuatu yang utama kerana yang paling penting adalah kejayaan kita untuk mengadakan majlis itu saban tahun.

Beberapa negara cuba mencontohi kita untuk menganjurkan tilawah tetapi setakat ini hanya Malaysia sahaja yang berjaya mengadakannya saban tahun iaitu sebanyak 54 kali termasuk dua kali dalam satu tahun pada 1966 dan 1995.

Apa yang dilakukan negara ini membuktikan kita adalah negara yang menghormati al-Quran dan dalam masa sama berusaha untuk memastikan mutu bacaan al-Quran terus dipertingkatkan di seluruh dunia.

Rata-rata para hakim luar negara yang pernah ditemu ramah pihak media turut mengakui Malaysia cukup unggul dalam pengendalian dan pengurusan tilawah.

Sememangnya kejayaan itu bukan mudah dicapai. Ia adalah hasil usaha dan kerjasama mantap semua pihak terutama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang dipertanggungjawab mengendalikan acara itu.

Menghimpunkan para peserta dari puluhan negara dengan bahasa dan budaya yang berbeza sememangnya rumit.

Namun, berkat ketekunan, kesabaran dan kecekalan, semuanya berjaya dilaksanakan dengan cemerlang.

Satu hakikat yang perlu disedari adalah tilawah ini telah merintis jalan kepada pembudayaan membaca al-Quran sehingga wujudnya beberapa institusi formal yang kekal sehingga kini.

Di Malaysia manfaat ini dapat dilihat dengan penubuhan Kelas Tahfiz al-Quran di Masjid Negara pada 1 Mac 1966.

Ia kemudian berkembang dan dikenali sebagai Institut Tahfiz al-Quran wa al-Qiraat yang seterusnya dikenali sebagai Darul Quran di Kuala Kubu Bharu, Selangor.

Manfaat lain daripada penganjuran tilawah ini adalah dapat memperkembangkan seni Islam melalui persembahan nasyid dan pantomin sebagai acara selingan.

Walaupun tilawah adalah aktiviti rutin saban tahun, sambutan yang diberikan oleh penonton tempatan boleh dikatakan menggalakkan.

Tinjauan yang dibuat mendapati hadirin memenuhi separuh daripada keseluruhan Dewan Merdeka di PWTC yang boleh memuatkan 8,000 orang. Orang ramai juga boleh menonton program itu melalui siaran secara langsung di TV1.

Kepada ibu bapa, ambillah peluang siaran langsung tilawah ini untuk mengajak anak-anak memperbaiki bacaan al-Quran dan seterusnya membudayakan membaca kitab suci itu di rumah.

Mengulas mengenai perkara itu, Ketua Pengarah Jakim, Datuk Othman Mustapa berkata, penganjuran tilawah itu masih lagi relevan.

Beliau berkata, tilawah itu akan mengingatkan umat Islam bahawa dengan menjadikan al-Quran sebagai sumber panduan, ia mampu menjana ketamadunan ummah yang lebih unggul serta modal insan yang berperibadi mulia dan berkualiti.

"Peribadi mulia yang wujud di kalangan umat Islam akan membantu mewujudkan sebuah negara yang aman, damai, sejahtera dan adil," katanya.

Othman menambah, penganjuran majlis itu menunjukkan komitmen kerajaan dalam menerapkan budaya membaca al-Quran dan memahami intipatinya bagi membolehkan rakyat mengaplikasikan tuntutan yang dinyatakan dalam kitab suci itu dan meninggalkan segala larangannya.

Sementara itu, seorang peserta, Mohamad Samir Zeidan, 22, dari Lebanon berkata, kejayaan tilawah itu bukan sahaja perlu diukur dari segi kehadiran penonton dan publisiti pihak media, sebaliknya ia juga perlu dilihat dari sudut keberkesanannya dalam mengubah pemikiran peserta-peserta dari luar negara.

"Banyak peserta tilawah kagum dengan suasana aman di Malaysia walaupun wujud pelbagai kaum dan agama.

"Situasi itu berbeza dengan negara-negara Islam lain yang berlaku pertumpahan darah akibat peperangan antara agama dan kami mahu suasana sama wujud di negara kami," ujarnya.

Sehubungan itu, adalah menjadi tugas kita untuk memeriahkan lagi majlis ini dengan menghadirkan diri ke PWTC setiap kali acara tilawah berlangsung. Jika mampu, hadirlah setiap malam bersama isteri dan anak-anak.

Sepatutnya kita amat teruja untuk hadir pada majlis sebegini. Janganlah kita hanya bersemangat membawa anak-anak menonton perlawanan bola sepak atau ke panggung wayang tetapi tidak berdaya untuk ke tilawah al-Quran.

Barangkali ada baiknya jika tilawah turut melalui proses transformasi dengan diadakan di tempat terbuka seperti di Stadium Merdeka semasa pertama kali ia dianjurkan pada 1961.

Mungkin juga penganjurannya boleh dibuat di Dataran Merdeka. Ini secara tidak langsung boleh menarik minat mereka yang jauh daripada Islam dan juga golongan bukan Islam mendengar ayat-ayat Allah dan terjemahannya.

Mudah-mudahan, dengan yang demikian, hati mereka tertarik untuk mendalami Islam. Ia seperti kisah Saidina Umar al-Khattab yang memeluk Islam selepas mendengar ayat al-Quran yang dibacakan adiknya, Fatimah.

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:47
Zohor 1:14
Asar 4:29
Maghrib 7:20
Isyak 8:31
 
 



IKLAN@UTUSAN



BANCIAN ONLINE
IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.