ARKIB : 11/07/2012
Promosi sendiri
MIG Production boleh dikatakan sebagai syarikat produksi tempatan yang paling aktif menerbitkan filem cereka tempatan. Setakat ini tidak kurang 60 filem Melayu telah diterbitkan oleh produksi terbabit sejak ditubuhkan pada tahun 2001.
Biarpun aktif menerbitkan filem tetapi MIG tidak pernah lupa mengadakan sesi pratonton setiap filem terbitan mereka untuk wakil-wakil media cetak dan elektronik. Bagaimanapun, trend MIG itu seakan berubah akhir-akhir ini.
Syarikat yang diterajui David Teo itu kini dilihat adakalanya tidak mengadakan sesi pratonton untuk filem terbitannnya termasuklah berjudul 8 Jam arahan Ahmad Idham Ahmad Nadzri yang sedang ditayangkan di pawagam seluruh negara.
Pendekatan itu bukan baru. Sebelum ini MIG pernah menjemput hanya beberapa wakil media massa yang terpilih pada pratonton filem-filem terbitan mereka bersama para pelayar laman sesawang MIG Online yang terpilih.
Difahamkan David tiada masalah untuk mempromosikan filem-filem terbitannya di kalangan para pelayar laman sesawang MIG Online yang kini mencecah 40,800 pengunjung pada satu-satu masa.
Bagaimanapun, selaku pengarah filem ke-50 terbitan MIG itu Ahmad Idham merasakan pratonton filem untuk wakil media massa masih diperlukan bagi mendapatkan komen dan maklum balas daripada golongan tersebut.
Namun dia tidak mempertikaikan tindakan David yang tidak menjemputnya pada pratonton filem 8 Jam. Sebaliknya, dia beranggapan itu adalah hak David sebagai penerbit sama ada mahu menjemputnya ataupun tidak pada majlis itu.
"Tetapi sebagai pengarah saya tidak mahu mengetepikan peranan sebagai pembikin filem. Saya mahu memastikan agar setiap filem arahan saya mendapat respons daripada para wartawan dan juga penonton tidak kiralah sama ada ia positif ataupun negatif," komennya.
Lantaran itu, Idham mengambil inisiatif dengan menjemput sendiri para wartawan media cetak dan elektronik bagi menonton 8 Jam di pawagam Cathay di Mutiara Damansara, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini. Ternyata usahanya itu menarik perhatian media massa.
Ramai juga wartawan yang terkejut apabila dijemput oleh pengarah terbabit pada majlis pratonton tidak rasmi yang diadakan pada tarikh dan waktu yang sama dengan pratonton filem tersebut yang dianjurkan oleh David di Subang Jaya, Selangor kepada para pelayarnya.
"Saya telah membeli sendiri 30 tiket yang berharga RM12 setiap satu untuk para wartawan, pelakon dan beberapa jemputan lain bagi menonton filem ini. Nampaknya ramai wartawan yang datang dan memberi sokongan kepada filem arahan saya ini.
"Sebagai pembikin filem, saya sentiasa mahu mengetahui bagaimanakah komen para wartawan tentang filem-filem arahan saya termasuklah 8 Jam. Tidak kiralah sama ada mereka memuji atau mengkritiknya. Sebab itulah saya adakan majlis pratonton sendiri untuk tujuan tersebut.
"Dari situlah saya dapat memperbaiki lagi mutu arahan saya pada masa akan datang. Apatah lagi, belum pernah lagi filem-filem arahan saya yang tidak diadakan pratonton untuk tonton wakil-wakil media massa. Ini adalah kali pertama berlaku ke atas saya," katanya.
Tradisi
Menurut Idham, mengadakan pratonton untuk filem-filem arahannya merupakan suatu tradisi sejak dulu lagi. Ia bertujuan mempertingkatkan lagi mutu filem-filem arahannya daripada maklum balas itu.
Apatah lagi katanya, 8 Jam merupakan sebuah filem aksi arahannya yang lain daripada lain. Sebagai sebuah filem yang cukup berbeza berbanding filem arahannya sebelum itu, komen daripada wartawan amat diperlukannya.
"Bukan setakat filem ini sahaja malah selepas ini ada banyak lagi filem arahan saya yang akan ditayangkan di pawagam. Sebab itu, saya amat memerlukan apa juga komen yang jujur daripada para wartawan untuk filem 8 Jam ini.
"Saya akur dengan apa juga komen para wartawan kerana saya sedar itu adalah tugasan mereka. Walaupun kontrak saya dengan MIG telah tamat tetapi saya juga berhak ke atas 8 Jam kerana ia adalah filem arahan saya," jelasnya.
Filem 8 Jam yang antaranya dilakonkan oleh Shaheizy Sam, Yana Samsudin dan Datuk Eizlan Yusof yang mula ditayangkan di pawagam-pawagam seluruh negara sejak 5 Julai lalu mendapat sambutan hangat daripada para penonton.
Tambah menguatkan lagi filem dalam genre aksi itu apabila sebuah lagi filem tempatan berjudul Ngorat yang sepatutnya ditayangkan pada tarikh sama menarik diri.
Filem 8 Jam mengisahkan Alang yang dibesarkan di kawasan lorong seperti di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur terpaksa tinggal di rumah anak-anak yatim selepas ibunya meninggal dunia kerana cedera parah dibelasah oleh konco-konco ceti haram.
Selepas dewasa Alang keluar dari situ dan dalam suatu insiden dia dengan sengaja telah membunuh teman wanitanya kerana sebab-sebab tertentu.
Saldana lebih selesa ramai rakan lelaki
Konsert 'Apo Kono Eh Jang' dibanjiri peminat
Ayu Raudhah sedia kembali
Tidak kisah bawa watak komedi
Bukan sebab tak laku
Marsha buang keluarga?
Berhabis setengah juta demi P. Ramlee
Cinta & dakwah Aeril Zafrel
Hidup jangan ada tekanan - Umie Aida
Stubborn kekal ‘degil’ demi muzik
Ainul Aishah sibuk berniaga
Carbon Unplugged himpun band muda
Jaguh Olahraga
Teen Top sibuk konsert
Masih perlu belajar
DJ sekarang mesti lebih bagus
Mira Filzah tumpu pelajaran
Holly mahu kahwini Pasquale
Luna Maya masih berhubungan dengan Ariel
Waktu Solat Kuala Lumpur |
||||
|
||||









