VERSI : Mobile | Akhbar Digital
21 April 2014 / 21 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
BICARA AGAMA

ARKIB : 10/07/2012

Agihan zakat diseleweng?

peserta Zikra yang disertai oleh pembayar dan agen zakat bergambar bersama kanak-kanak Orang Asli di Perkampungan Desa Iman, Kuala Kerling, Hulu Selangor, baru-baru ini.

DAKWAAAN bahwawa umat Islam di negara ini yang dibelenggu kemiskinan lebih mudah memohon dan mendapatkan bantuan dari pihak bukan Islam amat menggemparkan.

Siapa lagi akan dipersalahkan kalau bukan institusi zakat kerana ia bertanggungjawab menguruskan kutipan zakat dan mengagihkannya kepada golongan yang memerlukan.

Sebahagian mereka yang tergolong dalam kalangan kumpulan asnaf tersebut mendakwa, bukan mereka tidak pernah memohon bantuan zakat, malah ada yang sudah berkali-kali tetapi tetap tidak diluluskan.

Menurut mereka, ia kerana permohonan yang agak sukar dan perlu melalui prosedur serta proses menunggu yang lama sebelum diberikan bantuan.

Mereka juga mendakwa bantuan zakat tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan harian. Lebih-lebih lagi dengan kos hidup yang kian meningkat di bandar.

Oleh itu, lebih mudah mengambil jalan pintas mengatasi masalah tersebut dengan memohon bantuan daripada pihak bukan Islam terutama dalam aspek kewangan dan perbelanjaan harian.

Bukan itu sahaja, pelbagai isu mengenai perihal zakat yang dipertanggungjawabkan kepada institusi terbabit juga tidak pernah lekang daripada menjadi perbahasan orang ramai dari hari ke hari.

Menjawab persoalan itu, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Mohamad Adzib Mohd. Isa berkata, menguruskan zakat bukan satu proses mudah kerana ia perlu diagihkan kepada lapan golongan asnaf yang telah ditetapkan sebaik-baiknya.

"Prosedur yang ditetapkan itu bukan bertujuan untuk menyusahkan atau menyekat pemohon mana pihak. Ia sebagaimana firman Allah SWT bermaksud: Sesungguhnya zakat-zakat itu, hanyalah untuk orang-orang fakir, orang-orang miskin, pengurus-pengurus zakat, para mualaf yang dibujuk hatinya, untuk (memerdekakan) budak, orang-orang yang berhutang, untuk jalan Allah dan untuk mereka yang sedang dalam perjalanan, sebagai suatu ketetapan yang diwajibkan Allah, dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. (at-Taubah: 60)

"Oleh itu, prosedur itu harus dititikberatkan bagi mengelakkan daripada tersalah mengagihkan kutipan zakat tersebut kepada orang yang tidak sepatutnya. Ini kerana amanah menguruskan agihan zakat adalah sangat berat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Ziarah Korporat dan Media bersama Asnaf (Zikra), baru-baru ini.

Ziarah tersebut merupakan program tahunan yang diadakan oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS) bertujuan menunjukkan hasil kutipan zakat yang diperoleh dengan mengagihkannya kepada asnaf dalam konteks yang lebih luas.

Seramai 45 peserta yang terdiri daripada pembayar zakat, ejen kutipan dan ahli kelab Facebook menyertai program selama sehari itu ke lapan lokasi di Selangor.

Tambah Mohamad Adzib, pihaknya sentiasa melakukan pelbagai langkah dalam memastikan tiada golongan asnaf di sekitar Selangor tercicir daripada agihan zakat.

"Sekiranya pemohon membuat permohonan mengikut kaedah yang telah ditetapkan dan menyediakan maklumat lengkap seperti yang diminta, tiada masalah untuk kita luluskan secepat mungkin atau serta merta," katanya.

Beliau berkata, dalam pada itu juga LZS sentiasa menambah baik perkhidmatan untuk mempermudahkan agihan dan sistem yang lebih sistematik.

"Pihak LZS menyediakan pelbagai perkhidmatan lain bagi orang ramai untuk berhubung dengan LZS seperti melalui sistem dalam talian, kaunter bergerak dan menubuhkan cawangan di setiap daerah.

"Dengan adanya semua perkhidmatan ini, kutipan dan agihan dapat dilakukan dengan sistematik serta memudahkan pihak LZS menjejaki golongan asnaf untuk memberikan bantuan semasa atau kecemasan secara terus," jelasnya.

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:48
Zohor 1:15
Asar 4:28
Maghrib 7:20
Isyak 8:31
 
 



IKLAN@UTUSAN



BANCIAN ONLINE
IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.