VERSI : Mobile | Akhbar Digital
28 Ogos 2014 / 2 Zulkaedah 1435  
  Carian Arkib
BICARA AGAMA

ARKIB : 10/07/2012

Jasa Abdul Halim

SYEIKH Abdul Halim Mahmud bersama Anwar Saadat dalam satu ramah mesra.

SYEIKH al-Islam al-Imam al-Akbar Prof. Dr. Abdul Halim Mahmud dilahirkan pada 12 Mei 1910 bersamaan 2 Jamadilawal 1328 Hijrah di negeri Syarqiyyah, Mesir. Beliau membesar dalam keluarga yang agak senang, dihormati dan disegani oleh masyarakat setempat.

Bapanya seorang yang alim, warak, berakhlak mulia dan memiliki latar belakang agama yang kukuh. Ditambah cahaya kemuliaan nasab kedua ibu bapanya ini bersambung dengan Sayyiduna Husain bin Ali RA.

Beliau telah menghafaz al-Quran ketika usianya belum mencecah 10 tahun. Setelah menamatkan pengajian peringkat menengah Maahad al-Azhar, pada 1923, beliau terus melanjutkan pengajian ke Universiti al-Azhar.

Di sana, beliau menumpukan sepenuh perhatian terhadap pengajian Islam sehingga berjaya memperoleh ijazah Sarjana Muda dari Fakulti Usuluddin.

Pada tahun 1932, beliau mendaftarkan diri sebagai penuntut University Of Sorbonne Paris sehinggalah memperoleh Ijazah Kedoktoran mengenai Tasawuf Islam dari sudut pengkajian tokoh sufi dan salafussoleh yang masyhur, al-Harith bin Asad al-Muhasibi di bawah seliaan Prof. Louis Massignon. Tesis kajian dalam Bahasa Perancis itu dianugerahkan pangkat cemerlang dan diberi kelulusan untuk dicetak bagi sebaran umum.

Kerjaya terawalnya di Mesir ialah sebagai pensyarah Ilmu Psikologi di Fakulti Bahasa Arab al-Azhar. Kemudian ditukarkan ke Fakulti Usuluddin dan dianugerahkan gelaran profesor dalam ilmu falsafah. Disebabkan kesungguhan dan komitmen yang berterusan dalam bidang ilmu, pada 1951 beliau telah dilantik pula oleh pihak universiti bagi memikul amanah sebagai Dekan Fakulti Usuluddin al-Azhar Kaherah.

Pada 1969 beliau dipertanggungjawabkan memikul amanah sebagai Setiausaha Agung Majma' al-Buhuth al-Islamiyyah (Akademi Penyelidikan Islam Al-Azhar), kemudian sebagai Menteri Wakaf Mesir.

Dalam tempoh setahun dilantik sebagai Menteri Wakaf, beliau berjaya melaksanakan banyak perubahan dan usaha murni dengan mengurus Kementerian Wakaf sebagaimana fungsi Baitulmal di zaman Nabi SAW bagi membela nasib kaum muslimin di Mesir terutama golongan fakir miskin dan penuntut ilmu juga berkaitan dengan hal ehwal Islam yang lain.

Selepas kewafatan Syeikh al-Azhar al-Imam Muhammad al-Fahham, Presiden Anwar Saadat telah pergi menemui Syeikh Muhammad Khalil al-Khatib untuk melantiknya sebagai Syeikh al-Azhar. Akan tetapi Syeikh Muhammad Khalil telah menolaknya atas sebab-sebab tertentu yang menghalang beliau daripada menerima jawatan tersebut.

Maka Anwar Saadat pun meminta nasihat dan pandangan beliau mengenai siapakah yang seharus dilantik sebagai Syeikh al-Azhar. Melalui renungan mata hatinya, beliau telah mengusulkan agar melantik Syeikh Abdul Halim sebagai Syeikh al-Azhar yang baru. Maka Syeikh Abdul Halim secara rasminya telah dilantik dan diamanahkan memikul tanggungjawab sebagai Syeikh al-Azhar bermula pada 27 Mac 1973.

Syeikh Abdul Halim telah melakukan kunjungan rasmi dan tidak rasmi ke seluruh pelosok dunia termasuk Malaysia. Kehadirannya ke Malaysia merupakan hadiah terbesar dari al-Azhar buat umat Islam di negara ini.

Kali pertama beliau menjejakkan kaki ke Malaysia ialah ketika diamanahkan sebagai wakil al-Azhar. Pada 1973 setelah dilantik sebagai Syeikh al-Azhar, sekali lagi bumi Malaysia dimuliakan dengan kehadirannya apabila dijemput untuk menghadiri majlis pengisytiharan keislaman 400 keluarga di Sabah.

Beliau turut memainkan peranan dalam melaungkan seruan Islam dan meniup roh jihad ke dalam jiwa tentera Mesir menentang Israel pada 6 Oktober 1973. Beliau adalah antara ulama yang paling banyak memberikan sokongan dan dokongan terhadap perang Oktober 1973.

Beliau menziarahi kem-kem dan markas ketenteraan untuk menyampaikan ucapan dan khutbah meniup semangat jihad yang suci ke dalam jiwa tentera Mesir.

Pada masa yang sama beliau menziarahi tentera-tentera yang mengalami kecederaan dalam pertempuran ini dalam usaha memberi sedikit kekuatan untuk mereka menempuh ujian dengan tabah dan reda.

Sehinggalah pada suatu malam Syeikh Abdul Halim bermimpi melihat Rasulullah SAW mengibarkan bendera bertulis kalimah Allahu Akbar, yang menandakan bahawa kemenangan besar bakal menjadi milik tentera Mesir.

Mimpi itu akhirnya menjadi kenyataan apabila tentera Mesir berjaya menembusi serta menghancurkan kubu kuat Israel di Semenanjung Sinai yang telah dijajah oleh mereka.

Syeikh Abdul Halim kembali ke pangkuan Ilahi pada pagi Selasa 17 Oktober 1978 Masihi bersamaan 15 Zulkaedah 1397 Hijrah setelah meninggalkan jasa yang amat besar buat Islam dan kaum muslimin. Pemergiannya ditangisi oleh umat Islam di seluruh pelosok dunia sebagai satu kehilangan yang amat besar.

Jenazahnya disemadikan di Balbis, Zaqaziq Mesir dan makamnya diziarahi oleh yang jauh dan dekat. Semoga Allah SWT merahmati dan menjadikan pusaranya sebagai satu taman daripada taman-taman syurga, menghimpunkan beliau bersama nendanya yang mulia Sayyiduna Rasulullah SAW di Firdaus tertinggi pada kedudukan yang terpuji.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zohor 1:17
Asar 4:28
Maghrib 7:22
Isyak 8:32


 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.