VERSI : Mobile | Akhbar Digital
20 April 2014 / 20 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
KAMPUS

ARKIB : 09/07/2012

Empat beradik dalami Mandarin

ZULFAKAR Arif Zulkarnain (kiri) dan adik-adiknya melihat skrol keputusan cemerlang bahasa Mandarin di Institut Kong Zi Universiti Malaya.

BAHASA Mandarin yang kini menjadi bahasa antarabangsa kedua selepas bahasa Inggeris perlu dikuasai rakyat Malaysia terutama mahasiswa universiti jika berhasrat mengembangkan diri ke persada antarabangsa terutama di negara yang memiliki monumen Tembok Besar diiktiraf sebagai tujuh keajaiban di dunia.

Kepesatan ekonomi negara China dengan penduduknya lebih 1.3 bilion menyebabkan masyarakat dunia semakin berminat mempelajari bahasa Mandarin sebagai bahasa berkomunikasi.

Peluang untuk menguasai pelbagai bahasa terutama Mandarin berikutan ia semakin penting di pasaran pekerjaan pada masa ini.

Kemahiran menguasai bahasa Mandarin kini menjadi aset kepada mahasiswa bumiputera ekoran kepentingan bahasa itu dalam urusan perniagaan, keamanan dan kemajuan sejagat.

Lantaran pelopor ekonomi di negara ini juga terdiri daripada masyarakat Cina yang berjaya di setiap lapangan perniagaan selain menyerlahkan kepentingan bahasa itu sebagai bahasa komunikasi harian.

Ekoran kepentingan bahasa itu, empat adik-beradik dari Kuala Lumpur terpanggil untuk mengikuti kelas bahasa Mandarin di Institut Kong Zi, Universiti Malaya (UM).

Mereka terdiri daripada pelajar Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan(MBBS) UM, Zulfakar Arif Zulkarnain, 21, adiknya, pelajar Pusat Asasi UM, Zainatul Fadhilah Zulkarnain, 19, dan bersepakat dengan dua adiknya yang masih bersekolah, Zulfa 'Izzah Zulkarnain, 14, dan Zaidatul Nabilah, 11. untuk mengikuti pembelajaran di institut berkenaan.

Zulfakar Arif berkata, beliau dan adik-adiknya nekad untuk mendalami bahasa Mandarin kerana bahasa itu dapat meningkatkan keyakinan diri serta mengeratkan lagi perhubungan sesama kaum.

Katanya, kemahiran menguasai pelbagai bahasa dapat meningkatkan keupayaan komunikasi selain membantu meningkatkan jati diri berkomunikasi dengan masyarakat Cina di negara ini.

"Kami telah mengikuti kursus bahasa Mandarin di UM, Saya dan adik-adik saya telah mendapat keputusan cemerlang, dua daripada kami memperoleh keputusan 100 peratus bagi peperiksaan akhir penulisan dan pertuturan.

"Kejayaan kami hasil daripada usaha dan tunjuk ajar daripada tenaga pensyarah Institut Kong Zi dari Universiti Beijing," katanya.

Sementara itu, adiknya Zainatul Fadhilah berkata, kejayaan cemerlang beliau yang diperolehi di Institut Kong Zi UM disebabkan faktor minat untuk mendalami bidang perubatan dan bahasa Mandarin.

"Selepas menamatkan pengajian di Pusat Asasi Sains UM nanti, saya berhasrat untuk menyambung pengajian di Fakulti Pergigian dan Pembedahan UM supaya dapat meneruskan pembelajaran bahasa Mandarin selain memberi sumbangan kepada fakulti dan UM dengan kemahiran dan kejayaan yang diperolehi," katanya.

Zainatul menambah, usaha untuk mempelajari bahasa Mandarin itu juga demi menyahut cabaran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya rakyat di negara ini menguasai pelbagai bahasa.

"Kami juga berterima kasih kepada Perdana Menteri ekoran jalinan kerjasama yang baik antara China dan Malaysia sehingga tertubuhnya Institut Kong Zi di UM," katanya.

Sementara itu, Pengarah Institut Kong Zi UM, Prof. Madya Datuk Dr. Azarae Idris berkata, kejayaan yang diperoleh oleh empat beradik ini menunjukkan satu pencapaian institut ini dalam melahirkan pelajar yang boleh bertutur dalam bahasa Mandarin.

"Mereka bukan sahaja cemerlang di dalam akademik tetapi berjaya dalam menguasai bahasa Mandarin dengan baik.

"Ini membuktikan usaha Perdana Menteri dalam mewujudkan jalinan kerjasama akademik serta tenaga dua negara antara Malaysia dan China terbukti keberkesanannya.

"Penubuhan Institut Kong Zi adalah lanjutan daripada termeterainya perjanjian kerjasama Malaysia-China sebelum ini," katanya.

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh
Zohor
Asar
Maghrib
Isyak
 
 



IKLAN@UTUSAN



BANCIAN ONLINE
IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.