VERSI : Mobile | Akhbar Digital
1 Ogos 2014 / 5 Syawal 1435  
  Carian Arkib
KELUARGA

ARKIB : 05/07/2012

Ladang orkid Sakilla

BEBUNGA orkid mekar menebarkan keindahannya. Di bawah keredupan jejaring yang memagari terik mentari, di pinggir sebuah jalan di Klang, di situlah dia menumpahkan minat dan bakat semahu hatinya.

Tidak sia-sia rupanya, kerana hari demi hari, semua itu mendatangkan hasil lumayan yang amat menguntungkan. Untuk itu, kali ini mari sama-sama kita singgah ke ladang orkid milik Sakilla Hanis Mohamed, 33, bagi menikmati sendiri sebuah kisah dalam Jejak Asnaf pada kali ini.

"Dahulu saya dan bekas suami memang sama-sama mengusahakan ladang orkid. Kami buat sungguh-sungguh, sehinggalah sampai ke tahap membekalkan bunga orkid bagi pasaran yang luas, sama ada untuk hotel, kedai bunga dan sebagainya lagi. Bahkan perniagaan kami kala itu semakin meningkat maju.

"Namun begitu, musibah melanda diri. Jodoh saya juga tidak kekal lama dengan bekas suami. Kami berpisah pada penghujung 2010. Perpisahan itu juga menyebabkan perniagaan yang saya bangunkan runtuh dalam sekelip mata. Ramai orang tidak percaya tetapi saya sendiri terpaksa tabah melaluinya."

Kenangan Sakilla terus menerawang menerobos hari-hari semalam.

"Tiga bulan lamanya saya terkapai-kapai tanpa mata pencarian. Kala itu, turut tergalas di bahu ini adalah tiga orang zuriat yang menjadi permata hati. Saya nekad, sesuatu harus dilakukan. Dan sememangnya, kemahiran saya adalah mengusahakan ladang orkid.

"Namun, untuk memulakan kembali perniagaan ladang orkid ini, saya memerlukan dana yang begitu besar. Alang-alang modal, tidak ke mana akhirnya. Masalahnya, saya sudah hilang segala-galanya. Pendek kata, saya mesti memulakan semuanya daripada kosong," tambah Sakilla.

"Alhamdulillah, pada Mei 2011 itulah saya dipertemukan dengan Lembaga Zakat Selangor (LZS). Saya masih ingat lagi, kala itu saya memang sedang mencari peluang untuk berniaga. Kehadiran saya di pejabat zakat Klang nampaknya tidak sia-sia, kerana pihak LZS memang nampak betapa saya memang mampu menjayakan cita-cita," ujar Sakilla yang juga merupakan anak didik di Jabatan Pertanian Selangor (JPS) ini.

Berkat kesungguhan dan ketekunannya selama ini serta asuhan pihak JPS, Sakilla pernah muncul sebagai peladang berjaya dan dianugerahi 'Petani Terbaik 2009' bagi peringkat negeri Selangor. Bahkan, JPS juga merancang membantu Sakilla mendapatkan tapak ladang orkid yang lebih baik agar perniagaannya terus berkembang.

"Apabila saya ajukan permohonan kepada pihak LZS, bimbang juga ditolak. Namun, tanpa saya sangka LZS sebaliknya menyambut baik hasrat tersebut. LZS telah berikan modal yang agak besar, iaitu RM20,000. Dengan modal itulah, ditokok dengan modal oleh JPS, maka saya pun berdikit-dikit mengusahakan kembali penanaman orkid di sini.

"Alhamdulillah, bermula Julai 2011, tertegaklah ladang orkid ini dan Julai 2012 ini, genaplah setahun usianya. Saya bersyukur, kerana perniagaan saya nampaknya tidak pernah malap. Buat masa ini pun, tidak menang tangan sebenarnya mengendalikan pasaran yang cukup luas.

"Setakat ini, saya hanya mampu membekalkan bunga-bunga orkid ini di sekitar bandar Klang sahaja. Masih tidak mampu untuk memasuki pasaran lain, misalnya hotel dan kedai-kedai bunga, kerana untuk memasuki pasaran tersebut, saya mestilah mempunyai bekalan bunga yang banyak. Buat masa ini, saya hanya ada kira-kira 20,000 pasu orkid dan ia masih jauh daripada mencukupi," akui Sakilla selanjutnya.

Apabila ditanya wawasan hari muka, Sakilla dengan tegas menyatakan. "Saya mahu berbakti kepada ibu bapa saya dan membesarkan anak-anak saya dengan hasil ladang orkid. Oleh itu, saya akan kembangkan lagi perniagaan ini dan akan saya warisi ia menjadi perniagaan keluarga.

"Semasa saya mahu bangunkan kembali perniagaan ini, seluruh keluarga saya mendokong. Bahkan ibu saya sanggup bergolok bergadai demi kejayaan saya dan memodalkan perniagaan. Hingga kini, masih ada saki-baki hutang yang kami belum mampu jelaskan. Itulah harga sebuah kejayaan yang tidak akan saya lupakan," tegasnya.

Menyingkap rasa hati sebelum menamatkan bicara, Sakilla berujar lembut: "Jika tiada bantuan zakat, agak susah sebenarnya bagi saya untuk kembali berdiri. Sedikit sebanyak, ia amat membantu. Itulah kekuatan zakat, saya dibantu oleh orang kaya yang menzakatkan harta mereka, sedangkan mereka tidak kenal siapa saya. Saya bertekad, insya-Allah, dalam sedikit waktu lagi, saya juga akan melunasi zakat pertama saya, insya-Allah."

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zohor 1:22
Asar 4:43
Maghrib 7:30
Isyak 8:42

 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.