VERSI : Mobile | Akhbar Digital
19 April 2014 / 19 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
HIBURAN

ARKIB : 04/07/2012

Akreditasi tidak cukup

WALAUPUN umat Islam akan menyambut bulan Ramadan 17 hari lagi tetapi sudah banyak iklan berbuka puasa di hotel-hotel disiarkan di media massa. Selain juadah berbuka puasa, hotel-hotel juga menampilkan ramai penyanyi dan pemuzik bagi menghiburkan para pengunjung mereka.

Sayangnya, kebanyakan hotel tidak banyak mengambil penyanyi atau pemuzik tempatan bagi menghiburkan para pengunjung yang datang sambil berbuka puasa. Malah kebanyakan hotel terutama yang bertaraf lima bintang masih mengekalkan penyanyi dan pemuzik luar terutamanya dari Filipina.

Antara alasan yang sering diberikan pihak pengurusan hotel ialah para penyanyi dan pemuzik Filipina lebih berbakat. Bayaran mereka juga dikatakan lebih murah.

Ternyata kenyataan seperti itu mengundang kemarahan ramai penyanyi dan pemuzik tempatan. Menurut mereka, alasan-alasan itu menyebabkan ramai artis menganggur. Lagi pula, wajar ke guna khidmat penyanyi Filipina untuk hiburkan umat Islam yang datang berbuka puasa?

Secara keseluruhannya dianggarkan lebih separuh daripada penyanyi dan pemuzik yang menghiburkan para pengunjung hotel di negara ini terdiri daripada mereka yang dibawa dari luar negara terutama dari Filipina.

Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) misalnya, pernah memperkenalkan sistem akreditasi buat para penyanyi dan pemuzik yang ingin bekerja di hotel-hotel di negara ini. Kursus itu disokong oleh Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) di bawah menterinya, Datuk Seri Dr. Rais Yatim.

Malah beberapa tahun lalu siri pertama akreditasi itu telah dijalankan dengan hampir 25 penyanyi termasuk pemuzik tempatan yang berjaya mendapat sijil dari KPKK. Ramai yang telah diserapkan dan diterima bekerja di hotel-hotel kerana adanya inisiatif daripada Karyawan dan kementerian terbabit.

Dengan adanya akreditasi itu, pihak pengurusan hotel tiada alasan untuk menolak penyanyi atau pemuzik tempatan yang layak untuk menghiburkan para pengunjung mereka. Kelayakan itu bukan setakat mereka warganegara Malaysia tetapi juga dengan adanya bakat serta berpengalaman luas dalam bidang muzik.

Bagaimanapun, selepas siri pertama akreditasi itu dijalankan ia seakan-akan senyap begitu sahaja. Karyawan dan KPKK seharusnya meneruskan usaha itu bagi melatih serta mengeluarkan lebih banyak akreditasi buat para penyanyi dan pemuzik tempatan yang disisihkan oleh pihak hotel.

Kekurangan penyanyi dan pemuzik yang bakal mengisi ruang persembahan di lobi-lobi hotel atau mengadakan persembahan sewaktu sepanjang bulan Ramadan ini paling ketara. Adalah kurang sesuai penyanyi atau pemuzik Filipina yang menghiburkan para pengunjung berbuka puasa.

Selain bukan beragama Islam, para pemuzik dari luar negara juga tentunya kurang faham dengan budaya serta kesesuaian lagu yang akan mereka persembahkan sepanjang bulan puasa ini. Di sinilah perlunya lebih ramai penyanyi atau pemuzik tempatan yang sepatutnya mengambil alih peranan itu.

Bukan setakat itu sahaja, kebanyakan penyanyi atau pemuzik luar negara yang mengadakan persembahan lebih banyak menyanyikan lagu-lagu Barat. Sedangkan kebanyakan pengunjung hotel terutamanya warga asing lebih menghargai lagu-lagu yang berteraskan budaya tempatan.

Warga asing terutamanya dari Barat lebih teruja menyaksikan persembahan lagu-lagu tradisional Melayu ataupun yang mewakili masyarakat di negara ini. Ini kerana, apalah ertinya lagu-lagu malar segar dari Barat sedangkan hakikatnya ia sudah terlalu biasa dengan halwa telinga mereka.

Dalam hal ini, pujian seharusnya diberi kepada restoran seperti Restoran Seri Melayu di Jalan Conlay, Kuala Lumpur yang bukan sahaja mengambil penyanyi dan pemuzik tempatan malah setiap persembahan juga 100 peratus berteraskan seni budaya tempatan.

Namun masalah kekurangan penyanyi dan pemuzik tempatan sekali lagi dijadikan alasan. Dalam isu ini, sewajarnya program akreditasi yang pernah dijalankan oleh Karyawan dan KPKK itu diteruskan dari semasa ke semasa bagi mengatasi masalah tersebut.

Mana perginya Biro Pemuzik Hotel dan Kelab yang pernah aktif dalam Karyawan dulu? Mereka sepatutnya meneruskan usaha yang pernah dijalankan oleh Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez itu. Ini adalah salah satu cara bagi mengatasi kekurangan penyanyi dan pemuzik tempatan mengadakan persembahan di hotel-hotel di negara ini.

Jika dominasi persembahan penyanyi dan pemuzik dari luar negara di hotel-hotel di negara ini dapat dikurangkan maka ia boleh memberi pelbagai impak positif kepada para penyanyi dan pemuzik tanah air.

Selain para penyanyi dan pemuzik tempatan mendapat peluang pekerjaan, elemen-elemen budaya tempatan juga dapat diterapkan terutamanya melalui muzik bagi diperkenalkan kepada para pengunjung hotel yang kebanyakannya terdiri daripada warga asing.

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:49
Zohor 1:15
Asar 4:28
Maghrib 7:21
Isyak 8:31
 
 



IKLAN@UTUSAN



BANCIAN ONLINE
IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.