VERSI : Mobile | Akhbar Digital
19 April 2014 / 19 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
KELUARGA

ARKIB : 01/07/2012

Isteri pertama tak sedar diri

SETELAH membaca kisah minggu lalu tentang pengalaman pahit isteri kedua yang ditinggalkan suami kerana takutkan isteri pertamanya, saya terpanggil untuk menceritakan pengalaman hidup saya yang rasanya lebih pahit dan teruk lagi.

''Sudahlah saya diserang di rumah, di pejabat pun saya dikutuk oleh madu yang datang menyindir, mencerca dengan mereka-reka cerita memburukkan saya termasuk di kantin supaya semua orang tahu dan bencikan saya,'' cerita Wan Zee dalam e-melnya dan di telefon.

''Mula-mula bila rahsia perkahwinan saya terbongkar, madu saya datang menyerang di pejabat. Untung ada pengawal yang menahan, tetapi dia tak puas hati. Esok dia tunggu saya di kantin, kawasan terbuka ramai orang keluar masuk. Tanpa malu madu saya menyerang saya di khalayak ramai. Untung ada petugas lelaki yang sudi membantu, kalau tidak pasti saya terlantar di hospital.

''Bayangkan dia pukul saya dengan beg tangannya yang berat. Entah apa yang diisi di dalamnya. Mungkin makanan dalam tin atau batu. Dengan sekali hayun beg tangannya mengenai tubuh saya membuatkan saya tersandar di kereta. Kali kedua dia hayun kena kepala, saya terus jatuh tak sedar diri dan terpaksa dibawa ke klinik. Heboh satu pejabat. Itu yang dikehendakinya, memalukan saya.

''Mulanya dia datang mencari saya di kawasan tempat letak kereta berhampiran kantin, bila dia nampak kelibat saya dia terus menyerang. Memang tujuan pertamanya untuk memalukan saya di khayalak ramai, kedua, dia nak cederakan saya dan ketiga, mungkin nak ugut saya supaya bercerai.

''Sebenarnya dari awal lagi memang saya tak mahu kahwin dengan Karl, tetapi saya kalah dengan pujukannya. Tambah-tambah lagi dia memang kelihatan bertanggungjawab dan berani berdepan dengan lelaki lain yang cuba mendekati saya.

''Awalnya saya tolak sebab dia suami orang, tapi dia berjanji takkan sesiakan hidup saya walau apa pun terjadi. Dia tahu isterinya garang sebab itulah dia ingin kahwin lagi. Katanya dia ingin mencari ketenangan dan kebahagiaan dalam hidupnya.

''Katanya dia sudah tak tahan dengan sikap isterinya, namun dia tidak akan menceraikannya sebab mereka sudah ada tiga anak remaja. Dia tak mahu hidup anak-anaknya hancur.

''Katanya dia telah sediakan segala keperluan untuk isterinya, malahan berlebih. Jadi dia mahukan kebahagiaan untuk dirinya sendiri setelah berkorban segalanya untuk isteri dan anak-anaknya.. Hujahnya membuat saya amat yakin.

''Di sinilah saya terperangkap. Latar belakang saya sendiri yang tak ramai ahli keluarga menyebabkan saya mencari suami bagi menumpang kasih.

''Kami berkahwin di sempadan sebab saya tak mahu susahkan ayah dan adik beradik. Ibu sudah lama meninggal dunia, ayah pula dah kahwin baru. Abang saya memang baik tetapi kakak ipar tak 'mesra alam' dengan kami adik-beradik. Jadi biarlah saya uruskan hidup saya sendiri. Kerana ada kawan membantu, lepas nikah, perkahwinan kami didaftarkan di Malaysia. Semuanya berjalan lancar sehingga dapat anak, barulah rahsia kami terbongkar.

''Kami nikah tujuh tahun lalu, ketika saya berusia 30 tahun. Kini anak sulung berusia 6 tahun dan kedua 4 tahun. Rahsia kami terbongkar ketika anak sulung berusia 2 tahun. Waktu itu hidup saya sentiasa dalam ketakutan kerana sering diserang. Tambahan pula Karl jarang balik dan dia pun memang takutkan isterinya yang sentiasa mengugut minta diceraikan.

''Saya buat laporan polis walaupun Karl bantah. Katanya isterinya takkan berani aniaya saya. Tapi saya tak ada jalan lain kecuali dapatkan pertolongan pihak berkuasa. Mulanya polis memang tak mahu masuk campur urusan keluarga, tapi saya jumpa pihak atasannya dan serahkan surat dan salinan kepada mahkamah syariah, pegawai atasan saya, abang dan kawan baik saya.

''Saya tuliskan dalam surat itu jika saya atau anak saya hilang, saya tak datang ke pejabat, tiada di rumah atau di kampung, itu bermakna saya sudah mati dan orang yang sering mengugut saya ialah madu saya bernama..... Saya tak tahulah apa jadi pada madu saya tetapi yang jelas, Karl mengamuk marahkan saya kerana buat laporan polis itu.

''Sebenarnya saya tak hantar pun salinan surat itu kepada orang lain kecuali kepada polis dan kawan saya untuk simpanannya. Namun saya puas hati. Selepas itu hidup saya kembali tenang, tiada gangguan. Malangnya Karl tidak tepati janji.

''Ikutkan saya pun boleh bertindak kejam mengancam, mengawal atau mengikat Karl supaya tidak pulang ke rumah isteri pertamanya, tetapi untuk apa? Saya sedar diri ialah isteri kedua dan berkongsi kasih, bukan untuk membolot suami seperti yang dilakukan sesetengah isteri kedua.

''Sebenarnya bukan susah kalau nak jadi isteri seperti itu, tetapi saya masih sedar diri dan mahu menghormati isteri pertama.Malangnya isteri pertama tak sedar diri. Kadang kala perbuatan dan sikap mereka terlalu kejam dan tak bertimbang rasa. Ini membuatkan isteri kedua ingin membalas dendam dan suami jadi benci padanya.

''Untuk pengetahuan pembaca dan isteri pertama khasnya, bukan banyak yang mahu dikongsi oleh isteri kedua sekadar kasih sayang dan sedikit nafkah untuk anak-anak. Bukan banyak sangat terutama jika si isteri bekerja. Biasanya kami isteri kedua lebih banyak berkorban dengan menanggung diri sendiri dan anak-anak tanpa dibantu oleh suami.

''Rasanya lebih banyak duit yang dihamburkan oleh suami jika mereka simpan kekasih gelap. Bukan setakat membayar sewa rumah atau hadiahkan kereta bahkan belikan rumah sebab takut kekasihnya lari dengan lelaki lain.

''Sebagai isteri yang sah, saya tak buat seperti itu sebab saya tahu tanggungjawab Karl kepada keluarganya selain kami tiga beranak. Malangnya sebagai isteri kedua, kami difitnah dan dituduh perampas.

''Wahai isteri pertama tolonglah faham kedudukan kami." itu permintaan Wan Zee kepada semua isteri pertama.

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:49
Zohor 1:15
Asar 4:28
Maghrib 7:21
Isyak 8:31
 
 



IKLAN@UTUSAN



BANCIAN ONLINE
IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.