VERSI : Mobile | Akhbar Digital
16 September 2014 / 21 Zulkaedah 1435  
  Carian Arkib
BICARA AGAMA

ARKIB : 27/06/2012

Kekurangan diri jadi pemangkin Sofea

KEBANGGAAN... Asmaniah Ibrahim mencium pipi Nor Sueie Sofea Abdullah, penerima Anugerah Kecemerlangan pada Majlis Penyampaian Anugerah Kecermerlangan Pelajar Baitumal 2012 di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

UMUM sedia mengetahui, menangani masalah keluarga bukan semudah yang disangka. Selain boleh menyebabkan tekanan perasaan, ia juga boleh mengakibatkan perubahan negatif kepada tingkah laku dan emosi seseorang, terutamanya anak-anak.

Namun, berbeza dengan gadis manis kelahiran Kuala Lumpur, Nor Sueie Sofea Abdullah. Beliau yang menjadi mangsa perceraian ibu bapanya sejak berusia tiga tahun tetap bersemangat walaupun kurang mendapat kasih sayang sejak kecil.

Sofea yang tinggal bersama neneknya yang tidak bekerja dan datuknya yang hanya mempunyai pendapatan sebagai pengawal keselamatan banyak mempelajari kesusahan yang dialami dan bernekad untuk mengubah masa depan keluarganya.

Menjadikan masalah yang dialami sebagai pendorong utama, anak sulung daripada tiga adik beradik itu berjaya membuktikan bahawa tiada penghalang untuk mengecapi kejayaan.

Sejak di sekolah rendah lagi, Sofea telah menunjukkan kebolehannya sama ada dalam kokurikulum mahupun kurikulum.

Selain pernah bergelar Ketua Pengawas di sekolah yang dipelajarinya iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Puteri Wilayah, Sofea juga membuktikan berjaya mengejar impiannya apabila menerima anugerah kecemerlangan akademik pelajar Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), baru-baru ini.

Baginya, segala dugaan yang menimpa adalah ujian tuhan untuk mematangkan fikirannya untuk menjadi dewasa dan insan berguna yang harus dihadapi dengan reda.

"Siapa yang tidak sedih melihat rakan-rakan lain gembira bersama ibu bapa mereka. Datang ke sekolah dihantar, pulang pula diambil. Segala keperluan pembelajaran diberikan dengan serba lengkap.

"Lebih menyedihkan lagi apabila tiba hari untuk mengambil kad rekod keputusan pelajaran pelajar. Sayu hati melihat reaksi ibubapa rakan-rakan yang datang semasa mengambil rekod anak masing-masing.

"Bagaimanapun, saya tetap bersyukur kerana mempunyai nenek yang banyak memberikan semangat dan tidak pernah putus asa menasihati saya untuk terus berusaha," katanya ketika ditemui selepas menerima anugerah tersebut.

Sofea berjaya memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan keputusan cemerlang 9A dan 1B.

Anugerah disampaikan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Datuk Othman Mustapha; Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Datuk Che Mat Che Ali dan Pegawai Eksekutif MAIWP, Dr. Muhammad Yamin Ismail.

Majlis Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Akademik Pelajar Baitulmal MAIWP itu diadakan bagi memberi anugerah dan penghargaan kepada pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang pada Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Ujian Penilaian Sekolah Rendah Agama, (UPSRA), Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Menengah Agama (SMA), SPM dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang menerima bantuan pelajaran oleh MAIWP.

Seramai 494 pelajar daripada semua peringkat peperiksaan tersebut menerima anugerah. Pelajar menerima sijil dan wang saguhati.

Sofea yang kini menyambungkan pelajaran di Universiti Institut Teknologi Mara (UiTM) dalam bidang Sains Asasi berkata, disiplin dan semangat tidak mudah berputus asa perlu ada dalam diri setiap pelajar bagi mengecapi kejayaan.

"Seperti orang kata, kegagalan sekali tidak bermakna akan gagal selamanya. Oleh itu kita sentiasa mempunyai peluang untuk berjaya jika benar-benar berusaha dan tidak pernah berputus asa menghadapi cabaran hidup.

"Kita juga perlu bijak dan tabah menghadapi segala dugaan dengan sebaiknya supaya tidak tersalah memilih langkah melakukan perkara negatif atau terpengaruh dengan pelbagai gejala sosial," katanya.

Berkongsi rahsia kejayaannya, Sofea berkata, selain memerlukan kesungguhan, kita juga perlu pandai membahagikan masa dengan sebaiknya supaya tidak ketinggalan untuk menceburkan diri dalam kokurikulum dan aktiviti luar.

Sementara itu, neneknya, Asmaniah Ibrahim berkata, sejak kecil lagi dia sudah dapat menghidu potensi dan kebolehan Sofea melalui setiap tingkah lakunya.

"Sofea tidak pernah membantah atau melawan apa disuruh. Apa yang disuruh pasti dilakukan dengan baik dan diselesaikan dengan segera.

"Selain itu, cara kehidupannya yang berbeza dengan kanak-kanak lain kerana tidak gemar bermain mainan yang dilakukan kanak-kanak pada usia tersebut. Antara permainan dia adalah main cikgu-cikgu.

"Saya berharap, kejayaan Sofea dalam mengubah hidup daripada kesusahan yang dia dan kami alami serta menjadikan manusia yang berguna pada suatu masa nanti," katanya.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:49
Zohor 1:11
Asar 4:12
Maghrib 7:14
Isyak 8:23



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.