ARKIB : 26/06/2012
Malaysia perlu 43,000 pelaut tempatan
KLANG 25 Jun - Malaysia memerlukan penambahan sekurang-kurangnya 43,000 pelaut tempatan bagi menampung keperluan sektor perkhidmatan perkapalan di negara ini.
Ketua Pengarah Jabatan Laut, Datuk Ahmad Othman berkata, tenaga kerja tempatan dalam sektor itu amat penting kerana ketika ini negara masih lagi bergantung kepada perkhidmatan para pelaut warga asing bagi memastikan operasi perkapalan berjalan lancar.
Beliau memberitahu, perangkaan setakat ini menunjukkan seramai 43,000 pelaut asing yang berkhidmat di negara ini berdaftar dengan Jabatan Laut Malaysia, manakala 49,000 lagi merupakan warga tempatan.
''Oleh itu, kita memerlukan lebih ramai rakyat tempatan menjadikan bidang perkapalan sebagai kerjaya mereka. Pada masa sama, kita turut mengadakan kempen di sekolah-sekolah di seluruh negara bagi menarik minat para pelajar menyertai bidang tersebut," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Pelaut 2012 di Wisma Pelaut, Pelabuhan Klang di sini hari ini.
Terdahulu dalam ucapannya, Ahmad menegaskan peranan para pelaut amat signifikan dengan perkembangan ekonomi semasa me mandangkan sektor perkapalan menyumbangkan 90 peratus daripada jumlah pengangkutan dunia.
Beliau berkata, berdasarkan kajian terbaru, dianggarkan terdapat 1.5 juta orang belayar di atas kapal di seluruh dunia dan jumlah itu merupakan pemangkin kepada pembangunan sesebuah negara dalam menampung keperluan hampir tujuh bilion penduduk dunia.
''Jika mengikut nisbah, seorang pelaut adalah mewakili 4,500 penduduk dunia," katanya.
Ahmad yang juga Pengerusi Kumpulan Wang Pusat Perdagangan Laut (KWPPL) turut melancarkan skim perlindungan insurans dikenali sebagai 'Kad Kasih Rakyat' sebagai perlindungan kesihatan dan jaminan keselamatan sosial kepada para pelaut dalam menjalankan tugas mereka.
Katanya, penyediaan skim Kad Kasih Rakyat yang diuruskan Kumpulan MAA Takaful itu tidak bermakna syarikat perkapalan tidak perlu menyediakan skim insurans kepada para pekerja mereka.
Sebaliknya, kata beliau, ia sebagai perlindungan tambahan kepada para pelaut bagi memastikan jaminan masa depan golongan itu terbela.
Sempena majlis tersebut, Ahmad turut menyampaikan biasiswa KWPPL berjumlah RM300,000 bagi membiayai pengajian seramai 13 pelaut tempatan untuk meningkatkan kemahiran mereka dalam bidang perkapalan.
Beliau juga menyampaikan penghargaan kepada dua pelaut, Lau Kah Chong, 36, dan Yusseri Yusuf, 24, yang menjadi mangsa serangan lanun bersenjata ketika belayar dari Teluk Ewa, Langkawi ke Tawau, Sabah pada 17 April lalu.
Selain dihumbankan ke laut dan hanyut selama 10 hari, kedua-dua pelaut itu berjaya mengharungi cabaran bersama lima lagi anak kapal terdiri daripada warga asing sebelum diselamatkan nelayan Vietnam pada 30 April lalu.
Kajian kelestarian sawit
Jihad ekonomi
Ayam hibrid
Latihan kemahiran pertanian
Ternakan ayam tertutup
Agrochallenge rentas benua
Manisan penyeri majlis perkahwinan
Sokongan kerajaan tingkat kualiti IGrow
iGROW tawar SKM pertanian
Transformasi industri getah
Pengurus jadi penternak Lembu
Tinggalkan kerjaya sebagai kontraktor
Jaminan jadi usahawan
Menerajui sektor pertanian Kedah
Vitato ganti gandum
Pemuliharaan pokok nadir
Khasiat jambu batu
Nelayan jadi tauke
Makanan ikan daripada rumpai laut
Waktu Solat Kuala Lumpur |
||||
|
||||









