ARKIB : 21/06/2012
Rumah perlindungan anak Rohingya
Alunan bacaan ayat-ayat suci al-Quran menyambut kedatangan kami sebaik sampai di Madrasah Hashimiah, kediaman yang dihuni oleh 170 orang kanak-kanak pelarian Rohingya (Myanmar) itu.
Buat seketika hati menjadi sayu melihatkan keadaan bangunan yang kelihatan daif dan serba kekurangan.
Pelarian Muslim Rohingya ini telah didaftarkan dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian (UNHCR) di Malaysia.
Sejarah penubuhan Madrasah Hashimiah bermula daripada seorang Muslim yang merasakan dirinya bertanggunggjawab untuk berbuat demikian apabila melihat nasib anak-anak pelarian itu yang terbiar dan tiada tempat untuk berteduh.
Pengasas Madrasah Hashimiah, Ustaz al-Hafiz Hashim al-Hafiz Qassim, 42, berkata, madrasah itu ditubuhkan pada tahun 2001, bertujuan memberi kesedaran mengenai pentingnya pendidikan dalam kehidupan manusia, selepas merasai keperitan ekoran kemelut yang berlaku di negara asal.
"Di sini kami menempatkan anak-anak yatim dari golongan pelarian Myanmar disebabkan anak-anak pelarian ini tidak berpeluang mendapat pendidikan.
"Majoriti anak-anak di sini adalah yatim piatu, tetapi ada juga yang mempunyai keluarga menghantar anak-anak mereka untuk belajar di sini. Tetapi mereka ini akan dikenakan sedikit bayaran bagi keluarga yang berkemampuan.
"Madrasah ini pun bukanlah sempurna sebagaimana seperti sekolah lain dalam erti yang sebenarnya. Ia hanyalah rumah ruang kedai yang disewakan," jelasnya yang ditemui berdekatan Kompleks Pasar Borong Baru, Selayang, Selangor, baru-baru ini.
Antara pembelajaran yang diajar di sinilah adalah kelas menghafaz al-Quran, Iqra, hukum tajwid, Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu, Sains, Matematik juga bahasa ibunda, bahasa Myanmar. Kelas mereka bermula 8 pagi dan berakhir sebelah petangnya.
"Kami bernasib baik dan berterima kasih kerana bukan sahaja menerima bantuan mengajar daripada komuniti Myanmar sendiri tetapi ada guru Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu yang mengajar secara sukarela datang dua kali seminggu," cerita Hashim
Katanya, lebih 100 anak yatim dan miskin menginap di bangunan rumah kedai tiga tingkat itu yang dijadikan asrama bagi kanak-kanak berkenaan.
"Malah, kelas komputer juga turut disediakan supaya mereka tidak ketinggalan dalam bidang teknologi maklumat," katanya
Menurut Hashim, baru-baru ini dia telah menerima tauliah mengajar al-Quran dan Tajwid dari pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.
"Alhamdulillah, pengiktirafan ini cukup bermakna bagi saya kerana saya antara satu-satunya warga pelarian yang menerima pengiktirafan dari salah sebuah agensi kerajaan Malaysia,"katanya.
Selain itu, Hashim juga giat mengajar golongan dewasa kelas al-Quran sebagai sumber pendapatan untuk menampung pengurusan madrasah dan menampung anak-anak ini yang semakin bertambah.
Setakat ini, cabaran yang terpaksa dihadapi menurut Hashim ialah sumber kewangan yang terhad dengan hanya mengharapkan ihsan sumbangan daripada badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan orang-orang perseorangan.
"Bagaimanapun mereka di sini tidak pernah merungut malah lebih ceria kerana menerusi pendidikan itu mereka dapat merasai kehidupan seperti orang lain.
"Mereka tidak minta kemewahan. Apa yang mereka mahu adalah kehidupan dan itu yang mereka peroleh apabila belajar," ujarnya.
Tambah Hashim, harapannya kepada anak-anak ini, berbekalkan ilmu yang disediakan sekurang-kurangnya memudahkan perjalanan hidup mereka yang masih jauh.
"Untuk memastikan usaha murni kami ini berterusan kami amat mengharapkan bantuan sesama Islam di negara ini agar dapat menghulurkan sumbangan dalam apa bentuk sekalipun.
"Walaupun ada bantuan diterima dari NGO, Tzu Chi High School dari Taiwan, Dunia Herbs yang menampung 200 kilogram beras pada setiap bulan kepada kami tetapi itu masih belum mencukupi.
"Buat masa ini kami memang menghadapi kesukaran terutamanya kediaman kerana tempoh tamat sewaan bangunan ini berakhir pada Jun tahun depan. Saya tidak pasti selepas itu, di mana mahu menempatkan anak-anak ini kelak," ujar Hashim.
Menurut Hashim, dia sebenarnya tidak mahu meminta-minta, tetapi keadaan mereka yang kepayahan amat memerlukan bantuan bagi menampung kehidupan anak-kanak berkenaan.
'Bahtera' berantakan salah siapa?
Apabila benang, jarum bertemu
Nur Sarah lawan leukemia
Pakaian comel untuk bayi
Cabaran jadi suri rumah
Guna produk solekan halal
Tipu kerana nak kahwin
Percumakah kehidupan kita?
Innanie Ariffin, Gadis Analogi
Hidangan ala Barat
AKRAB sentiasa mekar
Herba paling berharga
Bayi sihat, aktif
Menangani anak bermasalah
Rungutan ibu beri ilham
Dugaan kasih ibu, anak
Finalis hadapi tugasan akhir
Solekan untuk ibu
Berkahwin atau menunjuk?
Waktu Solat Kuala Lumpur |
||||
|
||||









