ARKIB : 18/06/2012
Beto layak jadi askar
BETO Kusyairy antara pelakon pelapis yang sedang menonjol dalam dunia lakonan drama dan filem tempatan. Sejak serius berlakon pada tahun 2003, dia telah berlakon lebih 10 filem cereka selain lebih 20 drama televisyen. Gaya lakonannya menjadi dan dia antara pelakon yang mampu membawakan watak yang berbeza-beza dengan cukup berkesan dalam lakonan.
Terbaru Beto atau nama sebenarnya Nurkusyairy Zakuan Osman telah menghabiskan penggambaran filem berjudul Bravo 5 dengan melakonkan watak seorang komando bernama Karim. Ternyata filem arahan Yeop Hitler Zami itu memberikan kepuasan kepadanya.
Menurut pelakon berusia 32 tahun itu, Bravo 5 juga sedikit sebanyak menguji stamina termasuk ketahanan fizikal dan mentalnya apabila melakonkan watak tersebut. Malah, kesungguhannya melakonkan watak Karim turut mendapat pujian.
"Antaranya para pelatih yang terdiri daripada komando di Kem Sungai Udang, Melaka mengatakan saya layak menjadi askar selepas menjalani latihan di situ baru-baru ini. Saya telah lulus dalam sesi latihan dan ujian yang dijalankan dan layak menjadi askar tambahan.
"Ini kerana, sebelum penggambaran Bravo 5 saya telah menjalani latihan di sana selama beberapa minggu. Sewaktu di sana, saya dilatih cara-cara menjadi komando dan ia satu pengalaman baru buat saya," katanya kepada Hits baru-baru ini.
Beto ditemui selepas tamat menjalani penggambaran Bravo 5 di Tugu Negara, Kuala Lumpur yang antaranya turut dilakonkan oleh pelakon seperti Sofi Jikan, Shashitharan, Xavier Fong dan Normah Damanhuri. Ia dijangka ditayangkan pada Mac tahun depan.
Pelakon berasal dari Kepong, Kuala Lumpur itu begitu teruja sepanjang menjalani penggambaran filem itu kerana dia berpeluang merasai pengalaman sebagai seorang komando dalam filem yang sarat dengan elemen aksi dan patriotik.
"Saya memang sudah lama mengidamkan untuk berlakon dalam sebuah filem aksi seperti ini. Kebetulan pula saya mempunyai kemahiran dalam seni mempertahankan diri tomoi dan silat gayung. Ia dapat digunakan sewaktu berlakon dalam filem ini.
"Malah, sebelum menjadi pelakon sepenuh masa saya juga merupakan pelakon stunt (aksi ngeri) dalam filem seperti Cicak-Man dan Bilut. Semua pengalaman itu banyak membantu saya sebagai pelakon termasuklah dalam filem Bravo 5 yang sarat dengan adegan lasak," ujarnya.
Beto juga menganggap Bravo 5 yang merupakan filem kedua dia melakonkan watak utama selepas filem Istanbul Aku Datang yang akan ditayangkan tidak lama lagi sebagai penting kerana ia menyerlahkan lagi bakatnya sebagai pelakon selepas ini.
Sebelum ini nama Beto dikatakan kurang menonjol kerana lebih banyak melakonkan watak-watak sampingan terutamanya dalam filem-filem indie dan filem-filem pendek yang kurang menonjol di medium arus perdana.
"Selepas hampir 10 tahun berlakon barulah kini saya dapat melakonkan watak-watak utama. Bravo 5 adalah filem ke-10 lakonan saya termasuklah dua filem indie berjudul Hujan Panas arahan Nadiah Hamzah dan Sangkar arahan Sharifah Amani yang saya lakonkan sebelum itu.
"Sebelum ini, saya juga banyak berlakon dalam drama dan telemovie tetapi kebanyakkannya melakonkan watak-watak sampingan sahaja. Saya anggap ini sebagai suatu permulaan untuk terus diberi kepercayaan melakonkan pelbagai watak utama pada masa depan," katanya.
Justeru, anak ketiga daripada empat beradik itu berharap nama Beto Kusyairy akan terus mekar dalam dunia lakon. Dia juga berharap nama yang diambil daripada satu watak dalam filem Sepanyol berjudul Blood In Blood Out itu akan terus mempopularkan namanya dalam bidang lakonan.
Ternyata selepas hampir sedekad menggunakan nama Beto Kusyairy, dia bukan sahaja semakin dikenali penonton, malah ramai penerbit dan pengarah menawarkannya berlakon drama, telemovie ataupun filem sejak akhir-akhir ini.
"Saya tidak menduga nama Beto yang saya gunakan sejak zaman sekolah kekal sehingga kini. Rosyam Nor yang menyuruh saya menggunakan nama lain dan bukannya nama sebenar saya sebagai nama komersial sewaktu saya berlakon dengannya dalam filem Syaitan.
"Semasa berlakon dalam filem arahan Bade Azmi itulah saya mula menggunakan nama Beto. Sebab itu, saya memang berterima kasih kepada Rosyam kerana memberikan cadangan itu kerana ia juga berdasarkan pengalamannya sebagai pelakon," jelasnya.
Mula diberi kepercayaan
Beyonce berjaya
Nyonya & The Gang menggeletek cara nakal
Anugerah Blokbuster 2
Filem adaptasi novel tiada harapan
Penulis novel perlu dihargai
Teater minat, menyanyi hobi
Popularkan fesyen bertudung
Kisah cinta Hafiz
Sarimah kembali menyanyi
Oprah derma RM37.6 juta
Telefilem usahasama pertama Malaysia-Vietnam
Selepas 4 tahun, teater Putera Salang Ur akhirnya dipentaskan
Darah muda Heart-A-Tack berbisa
Kim Jae-won bakal kahwin
Wings, aktiviti skuba
Konsert Enjoy Jakarta malam ini
Kurang dikenali
Kecewa trend lagu cinta
Waktu Solat Kuala Lumpur |
||||
|
||||










