ARKIB : 15/06/2012
Muslim Kemboja contohi Malaysia
UMAT Islam di negara ini patut bersyukur kerana diberi nikmat hidup lebih sempurna dibandingkan masyarakat Islam di negara lain.
Mereka bukan sahaja menikmati makanan lazat, keperluan asas yang mencukupi, malah tidak pernah tersisih daripada arus pemodenan seiring arus pembangunan negara.
Keadaan ini jauh berbeza dengan masyarakat Islam Kemboja yang tidak berpeluang menikmati, khasnya orang Melayu Islam di negara ini.
Atas kesedaran inilah ramai tokoh korporat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Malaysia sentiasa mengingati nasib saudara seagama di luar negara, sebagai tanda mensyukuri nikmat kurniaan Allah SWT.
Kenyataan ini diakui Mufti Kemboja, Kamaruddin Yusuf, 63, yang menganggap bahawa umat Islam di Malaysia jauh lebih maju berbanding penduduk di Wilayah Kampung Cham, Kemboja.
Menurutnya, umat Islam Kemboja sememangnya mahu hidup sempurna seperti orang Melayu Islam di Malaysia walaupun sukar menuju ke arah itu.
"Kami sentiasa menjadikan umat Islam Malaysia sebagai idola dan rujukan apabila memotivasikan penduduk setempat terutamanya generasi muda," kata Kamaruddin kepada wartawan Malaysia selepas menerima bantuan kemanusiaan di Kampung Rakapram, Wilayah Kampung Cham kira-kira 300 kilometer dari Phnom Penh.
Sumbangan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Yayasan Taqwa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Hospital Pusrawi MAIWP dan beberapa NGO Malaysia itu disampaikan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi serta isteri, Datin Seri Hamidah Khamis.
Bantuan 432 kotak itu antaranya membekalkan 600 telekung, 600 kain sarung, 400 sejadah, 1,200 naskhah buku tulis untuk 600 murid, 260 naskah buku Iqra' sumbangan Yayasan Taqwa, pakaian terpakai wanita, lelaki dan kanak-kanak untuk 600 keluarga di kampung berkenaan.
Kamaruddin berkata, pada tahun 1975 penduduk Islam Kemboja berjumlah 700,000 berbanding tujuh juta jumlah keseluruhan penduduk negara berkenaan.
Bagaimanapun katanya, kira-kira 400,000 penduduk Islam di negara itu dibunuh dengan kejam ketika Rejim Khmer pimpinan Pol Pot memerintah negara berkenaan.
Menurutnya lagi, 40,000 keluarga di Wilayah Kampung Cham yang mempunyai 200,000 umat Islam mendiami 160 kampung di situ.
Katanya, sepanjang pemerintahan Rejim Khmer, banyak buku agama dan kitab al-Quran dibakar sehingga sukar generasi muda masa kini mendalami pengajian agama Islam.
Wakil penduduk Kampung Rakapram, Romsa Sulaiman, 40, berkata kebanyakan penduduk Islam di kampung itu tinggal di kawasan luar bandar dan bergantung hidup kepada tanaman padi, buah-buahan dan menangkap ikan sungai.
Katanya, pendapatan mereka terlalu kecil sehingga tidak mampu membiayai pengajian anak-anak ke peringkat lebih tinggi.
"Kebanyakan kanak-kanak di kampung ini belajar di madrasah sumbangan umat Islam sedunia dengan mempelajari Bahasa Melayu dan Pengetahuan Islam dengan bimbingan guru yang dibayar elaun.
"Penduduk Islam Kemboja berterima kasih kerana kerajaan dan NGO Malaysia sudi membiayai pelajar melanjutkan pengajian di institusi pengajian luar negara termasuk dalam bidang kemahiran tertentu," katanya.
Sementara itu, Dr. Ahmad Zahid berkata, misi kali ini membantu umat Islam Kemboja dalam bentuk pendidikan membabitkan sekolah, guru agama dan bahasa kerana melalui medium ini, ia boleh merubah kehidupan yang lebih baik masyarakat Islam di situ.
Katanya lagi, umat Islam di Kampung Rakapram, Wilayah Kampung Cham, Kemboja dibantu melalui sumbangan kewangan untuk menguruskan madrasah dan masjid.
"Yadim dan Yayasan Restu ditugaskan mendidik jawatankuasa masjid mencari dana melalui sistem wakaf yang kian berkembang dan mendapat perhatian di kalangan masyarakat Islam.
"Meningkatkan taraf pendidikan awal bagi anak-anak Kemboja dan membantu pelajar yang layak untuk menyambung pelajaran ke Malaysia adalah salah satu usaha menaiktaraf kehidupan mereka pada masa hadapan," katanya.
Dr. Ahmad Zahid berkata, sukarelawan Malaysia turut berusaha memberi peluang pekerjaan seperti pembantu rumah, pembantu bengkel, pembantu restoran dan lain-lain sebagai sumber alternatif, di samping menaik taraf pendapatan memandangkan bahasa dan agama adalah penyatuan kedua-dua negara.
Selain mendapatkan pekerjaan, umat Islam Kemboja turut diberi peluang melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi di Malaysia supaya mereka boleh menjadi tenaga profesional negara mereka suatu masa nanti.
Sehubungan itu, Dr. Ahmad Zahid meminta ahli teknokrat dan NGO tampil menghulurkan bantuan kewangan membiayai pengajian mereka.
Katanya, pendekatan meningkatkan pendidikan adalah langkah jangka panjang yang boleh mengubah kehidupan masyarakat Islam di Kemboja.
Misteri langit
Seni guaman syarie
Memacu ekonomi ummah
Membangun keluarga bahagia
Jejak Prihatin ke Thailand
Zulkarnain raja yang adil
Zakat insurans dan takaful anak
Lebur hasrat beribadat
Masjid mesra OKU
Berkat zakat mudahkan perniagaan
Peninggalan alatan perang
Natijah di sebalik perjuangan palsu
Al-Qaradawi ke Gaza
Berhati-hati keluarkan fatwa
Melahirkan modal insan berkualiti
Capai persetujuan
Mulakan lembaran baru kehidupan
Amalan di bulan Rejab
Bahasa tertua di dunia Islam
Waktu Solat Kuala Lumpur |
||||
|
||||









