VERSI : Mobile | Akhbar Digital
30 Ogos 2014 / 4 Zulkaedah 1435  
  Carian Arkib
BICARA AGAMA

ARKIB : 08/06/2012

Dilambai Kaabah dengan RM1

penulis (kiri) bersama mutawif, Ustaz Zubaidi (dari kanan) dan Omar Ravi Abdullah dan Abdul Samad Safei bergambar berlatarbelakangkan makam syuhadah Uhud.

DI dalam pesawat wajah mereka kelihatan tenang tetapi sudah ada riak ceria yang terkandung di dalamnya perasaan ingin segera sampai. Mungkin ini disebabkan pengalaman pertama terbang di udara, di samping keghairahan menuju destinasi yang bukan sembarangan.

Namun, sejurus pesawat yang dinaiki mendarat dan kaki mula melangkah di bumi asing, kedua-duanya tidak mampu menuturkan sebarang kata-kata sebaik menjejakkan kaki di Lapangan Terbang Raja Abdul Aziz, Jeddah, Arab Saudi. Hanya sedikit senyuman terukir di bibir sementara di kelopak mata mereka ada air mata yang bergenang.

Begitulah perasaan Omar Ravi Abdullah, 42, dari Tanjung Karang, Selangor dan Abdul Samad Safei, 52, dari Tanjung Selangor, Pekan, Pahang. Kedua-duanya adalah peserta Program Umrah Seringgit Sejuta Nilai (USSI) yang diterbangkan khas bagi menunaikan ibadat umrah bermula 12 hingga 24 Mei lalu.

Omar Ravi dan Abdul Samad bergelar Tetamu Allah hasil daripada derma korporat, swasta, selebriti tanah air dan orang ramai yang menyumbang sekurang-kurangnya RM1 menerusi Tabung USSI yang dilancarkan Februari lalu anjuran Karyawan Bestari Sdn. Bhd.

Sepanjang perjalanan yang merangkumi empat hari tiga malam di Madinah dan lapan hari tujuh malam di Mekah, pelbagai pengalaman pahit dan manis dilalui peserta rombongan khususnya peserta USSI yang tergolong dalam kelompok lapan asnaf.

Pada hari pertama berada di Madinah, Abdul Samad atau Pak Samad hilang di Masjid Nabawi. Kelibatnya tidak kelihatan di bilik sehingga ke pagi, katil dan beg pakaiannya tidak terusik malah sajian makannya juga tidak disentuh.

Saya dimaklumkan oleh Omar Ravi pada keesokkan harinya, sebelum dipanjangkan kepada mutawif bertanggungjawab. Mungkinkah ini ujian awal sebelum menyusul pelbagai lagi, memandangkan Tanah Suci sememangnya terkenal sebagai Kota Ujian.

Tanpa berlengah saya segera mencari Pak Samad di dalam Masjid Nabawi sementara Omar Ravi mencari di kawasan luar. Seluruh ruang masjid ditinjau termasuk kawasan Makam Rasulullah SAW. Rupa paras Pak Samad yang hampir serupa dengan lelaki Arab menyukarkan lagi usaha pencarian.

Tiba-tiba mata saya tertumpu ke Raudhah, tanpa membuang masa saya menadah tangan lantas berkata, "Ya Allah Ya Tuhanku...Kau Maha Melihat, Kau Maha Mendengar, Kau Maha Tinggi Belas Kasihnya, Aku merayu kepada engkau Ya Allah, Pak Samad sakit Ya Allah, Kau pertemukanlah aku dengannya Ya Allah."

Selepas itu saya bergegas balik ke hotel, tiba-tiba saya menjerit " Ya Allah, Pak Samad! Terima kasih Allah, terima kasih Allah." Begitulah jeritan hati saya sebaik melihat orang yang dicari duduk keletihan di luar hotel penginapan, saya terus memeluknya. Saya diberitahu Pak Samad yang dia melakukan solat Qiamullail dan tertidur di dalam Masjid Nabawi sepanjang malam.

Di Madinah kami berziarah ke Perkuburan Baqi, Makam Syuhada di Bukit Uhud, Masjid Quba dan Masjid Qiblatain, Masjid 7 serta melawat Ladang Kurma. Program ziarah kami berjalan ringkas kerana Pak Samad tidak mampu berjalan jauh, setiap dua minit berjalan, beliau terpaksa duduk melepas lelah. Cuaca panas sekitar 40 Darjah membuatkan situasi menjadi lebih sukar.

Berbeza dengan Pak Samad, Omar Ravi seorang yang sangat berdikari, dia cepat menyesuaikan diri, sama ada semasa beribadat mahupun ketika ziarah.

Empat hari berlalu di Madinah, rombongan berangkat ke Mekah. Selepas lebih empat jam perjalanan, lebih kurang jam 8 malam, kami sampai ke Kota Mekah, kami terpaku memandang Menara Abraj Al Bait yang tersergam besar dan indah.

Selepas mendaftar di hotel yang terletak kira-kira 250 kilometer dari Masjidil Haram, kira-kira jam 10.00 malam, saya, Omar Ravi, Zarina Jan dan Safi (ahli rombongan Muslimat) bersama-sama mutawif Ustaz Zubaidi bergerak menuju Masjidil Haram yang sudah sedia sesak dengan jemaah.

Pak Samad terpaksa berpisah dengan kami. Beliau dibawa menggunakan kerusi roda bagi menyempurnakan rukun umrah seterusnya.

Sebaik memasuki Masjidil Haram dan melihat Kaabah, diri menjadi sebak, air mata mengalir perlahan, Omar Ravi yang pertama kali menatapnya tunduk diam sambil mulutnya kumat-kamit membaca sesuatu.

Tertunailah hajat untuk merealisasikan hajat Omar Ravi dan Abdul Samad untuk menunaikan umrah, sekali gus melengkapkan impian dan ehsan para penderma Tabung USSI, di dalam doa kami terpahat nama dan wajah sebahagian daripada mereka, terima kasih semua!

Selepas itu kebanyakan masa dipenuhi dengan beribadat di Masjidil Haram selain dibawa ziarah ke Padang Arafah, Muzdalifah, Mina, Jabal Nur, Jabal Rahmah serta kawasan sekitar Mekah yang ketika itu cuacanya panas sekitar 40 hingga 46 darjah Celcius.

Di Mekah, banyak juga peristiwa menarik menimpa kami terutamanya Pak Samad yang sudah kembali berselera makan sehingga lain pula yang berlaku. Bagaimanapun ini tidak sama sekali melunturkan semangatnya untuk beribadat di Masjidil Haram.

Omar Ravi seperti biasa, sangat berdikari. Beliau mengetahui banyak tempat di sekitar Masjidil Haram kerana suka berjalan dan meninjau lokasi baru.

Pengalaman dilalui kedua-dua insan istimewa ini di Tanah Suci membuatkan air mata saya mengalir, ucapan terima kasih saya panjatkan kepada semua penderma terdiri daripada ahli korporat, tokoh politik, ahli sukan, artis, selebriti dan orang biasa. Jasa baik andalah membolehkan mereka mengecap semua saat manis ini. Di Hijr Ismail, di bawah Pancur Emas, di hadapan Multazam, di depan Kaabah, saya panjatkan doa agar kalian diberi rezeki yang melimpah ruah sebagai balasan atas kebaikan yang dihulurkan, selain doa agar diberi lebih banyak peluang untuk membawa lebih ramai golongan kurang bernasib baik ke Tanah Suci pada masa depan.

"Saya minta Allah beri Nur kepada ibu dan adik-beradik saya yang belum Islam agar memeluk Islam, kepada penderma yang baik hati, saya berdoa demi keselamatan, kesejahteraan dan rezeki yang melimpah ruah," kata Omar Ravi antara doanya di Tanah Suci.

"Saya minta agar mereka yang menderma dijemput juga ke sini oleh Allah, dipanjangkan umur, dimurahkan rezeki dan kebahagiaan hidup dunia akhirat, " kata Pak Samad pula.

Karyawan Bestari Sdn Bhd akan meneruskan usaha murni Umrah Seringgit Sejuta Nilai tanpa melibatkan mana-mana pihak lain mulai Jun 2012.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zohor 1:17
Asar 4:26
Maghrib 7:21
Isyak 8:31


 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.