VERSI : Mobile | Akhbar Digital
25 April 2014 / 25 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
BICARA AGAMA

ARKIB : 01/06/2012

Tokoh pencetus sistem gadaian Islam

(DARI kiri) Rustam Mohd. Idris, Nor Mohamed Yakcop, Md. Sabidi Abdullah dan Mohd. Ikram Ahmad yang merupakan empat tokoh yang mempelopori penubuhan pajak gadai Islam di Malaysia.

SERONOK melihat empat individu yang bertanggungjawab merancakkan sistem perbankan Islam di negara ini bertemu. Mereka berbincang, ketawa dan adakalanya serius mengimbau detik-detik yang disifatkan amat 'bersejarah' itu.

Pertemuan berlangsung di pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop iaitu salah seorang daripada empat individu terbabit. Tiga yang lain ialah Rustam Mohd. Idris, Md. Sabidi Abdullah dan Mohd. Ikram Ahmad.

Dalam suasana santai Nor Mohamed bertindak umpama moderator atau pengerusi pertemuan tersebut. Satu persatu sejarah ketika kumpulan istimewa itu bertugas di Bank Negara Malaysia dirungkai.

Hidangan kopi dan pisang goreng menghangatkan lagi perbualan empat banking scholar - bak kawan lama bertemu semula selepas sekian lama terpisah.

Ternyata sejarah 'mengikat' Nor Mohamed, Rustam, Md. Sabidi dan Mohd. Ikram. Mereka bernaung di bawah bumbung Bank Negara di Jalan Dato' Onn pada era 1980-an. Ketika perbankan Islam masih asing di kalangan rakyat negara ini.

Satu persamaan menyatukan empat jiwa itu iaitu masing-masing bimbang tentang amalan riba lantas mahu mencipta satu sistem yang dapat menyelamatkan umat Islam.

Menyorot sejarah perbankan Islam di negara ini, mukadimah Nor Mohamed tentunya nama Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menjadikan kewujudan sistem tersebut satu matlamat sebaik dilantik Perdana Menteri pada tahun 1981.

Biarpun telah lebih 30 tahun berlalu, namun ingatan beliau amat kuat. Malah sememangnya fakta itu tidak boleh diubah oleh sesiapa pun.

Mahu perbincangan ditumpukan kepada pajak gadai Islam yang menurut Nor Mohamed sejarahnya tidak diketahui ramai, mengundang rasa teruja terutamanya apabila melihat senyuman penuh makna terukir di wajah empat individu itu.

Dalam asyik bertukar cerita, terbongkar pengalaman-pengalaman menarik di kalangan mereka termasuk 'menumpang' di pajak gadai yang pemiliknya berketurunan Cina semata-mata untuk belajar mengenal emas.

"Kita nak sebut tentang Ar-rahnu iaitu macam mana kita nak wujudkan sistem itu, sejarah ini tidak pernah diceritakan sebagaimana hebatnya orang bercerita tentang perbankan Islam,'' kata Nor Mohamed.

Nor Mohamed ketika itu adalah Ketua Unit Perbankan Islam di Bank Negara. Uniknya unit tersebut, beliaulah ketua dan beliau juga menjadi staf. Maknanya, menggunakan otak yang satu itu beliau berfikir mahu mewujudkan produk perbankan Islam sebanyak mungkin.

"Masa itu ada pihak yang minta supaya dicadangkan kepada kerajaan agar lebih banyak Bank Islam ditubuhkan. Namun saya tidak setuju. Pada saya elok diwujudkan hanya satu saja pada peringkat permulaan tetapi kita buat banyak produk,'' katanya.

Antara yang menjadi perhatian Nor Mohamed ketika itu adalah untuk mewujudkan dwiperbankan iaitu satu bank menawarkan dua perkhidmatan iaitu konvensional dan Islam. Perancangan lain yang menjadi kenyataan adalah pengenalan Takaful pada tahun 1985.

Pada tahun 1986, Rustam menyertai Bank Negara dengan skop kerja tertumpu kepada pengurusan hutang. Mahu membuat perubahan lebih bermakna terhadap Bank Negara, Rustam 'lari' daripada bidang tugas sebenar, terutamanya apabila melihat kecenderungan Nor Mohamed untuk mengangkat sistem perbankan Islam.

"Rustam datang, nampak risau, sedih, saya tanya sedih kenapa, kerja susah? Dia jawab dia tak mahu terlibat dengan riba,'' imbau Nor Mohamed.

Menegaskan pendiriannya, Rustam mencelah sambil berkata, amalan riba secara terang-terangan dilarang dalam al-Quran dan adalah menjadi tanggungjawab Bank Negara untuk menggalakkan perbankan Islam yang sekali gus mengurangkan amalan riba.

Katanya, biarpun Bank Islam pertama diperkenalkan pada tahun 1983, namun ucapan bekas Gabenor Bank Negara, Allahyarham Tan Sri Jaffar Hussein di Universiti Sains Malaysia pada tahun 1990 menjadi pencetus kepada kesungguhan mahu melihat wujudnya sistem pajak gadai Islam di negara ini.

"Saya masih ingat ucapan itu, antara lain beliau mahu dalam usaha mewujudkan sistem kewangan Islam yang lengkap dan canggih, adalah penting institusi-institusi di pinggir sistem perbankan seperti syarikat pajak gadai juga 'diislamkan','' kata Rustam.

Sememangnya syarikat pajak gadai adalah 'bank' bagi golongan kurang berkemampuan. Malah bagi kebanyakan orang ia umpama talian hayat untuk memenuhi keperluan diri termasuk membeli makanan untuk keluarga.

Tentunya, sistem sistem pajak gadai konvensional bersifat eksploitasi, mengenakan kadar faedah yang tinggi selain menjadikan yang miskin bertambah miskin.

Md. Sabidi, lulusan ekonomi kumpulan pertama penuntut Universiti Islam Antarabangsa turut terpanggil menyertai Bank Negara atas niat mahu sistem perbankan Islam mengisi keperluan umat Islam di negara ini dalam setiap urusan mereka.

Mengetuai Meja Arab yang kemudian ditukar nama Meja Islam di bank pusat itu, Md. Sabidi bersama tiga rakannya yang lain mengerah tenaga dan usaha menjadikan impian satu kenyataan.

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:47
Zohor 1:14
Asar 4:29
Maghrib 7:20
Isyak 8:31
 
 



IKLAN@UTUSAN



IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.