ARKIB : 28/05/2012
Ladang kontrak tingkat hasil petani
LEMBAGA Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Selangor dan Wilayah Persekutuan menyasarkan tambahan 210 peserta yang menyertai ladang kontrak melibatkan keluasan 334 hektar di Selangor pada tahun ini.
Pengarahnya, Mansor Omar berkata, ia berikutan pencapaian memberangsangkan apabila sehingga 26 Februari lalu, seramai 765 peserta menyertai program tersebut melibatkan keluasan tanah 1,756 hektar.
Menurutnya, sasaran itu dibuat bagi membolehkan golongan terbabit meningkatkan hasil pertanian seterusnya menjual kepada FAMA untuk dipasarkan di dalam dan luar negara.
''Dengan sasaran itu, hasil pertanian pada tahun ini dijangka sebanyak 14,008 tan metrik dengan setiap peserta terbabit akan memperoleh pendapatan kasar sekitar RM2,000 sebulan," katanya kepada Mega baru-baru ini.
Mansor berkata, kebanyakan peserta yang menyertai program itu mengeluarkan buah-buahan dan sayur-sayuran seperti rock melon dan timun.
Mengulas lanjut mengenai program ladang kontrak, jelasnya, kesan yang diperoleh kepada pembeli adalah dapat menjamin bekalan yang tetap dan berkualiti dengan harga yang menarik. Manakala pembekal pula menjamin pasaran dan pulangan yang setimpal.
''Ladang Kontrak juga boleh memainkan peranan dalam menyumbang ke arah pengeluaran produk yang halal dan selamat di mana kebanyakan peserta menghantar hasil masing-masing terus kepada rangkaian pasar tani yang dikendalikan oleh FAMA untuk pasaran dalam dan luar negara," katanya.
Mengenai lambakan sayur-sayuran import di pasar tani pada masa kini, Mansor memberitahu, jumlahnya tidak begitu banyak.
Malah hasil kajian pihaknya menunjukkan sayur-sayuran itu diambil daripada pasar borong.
''Mungkin harga sayuran seperti lobak, kubis, kentang dan bawang import jauh lebih murah berbanding sayur tempatan dan penghantarannya yang konsisten tetapi kita tidak boleh memberi jaminan mengenai kesegaran dan kualitinya," katanya.
Mengenai matlamat ladang kontrak, Mansor berkata, ia untuk menjamin pasaran dan meningkatkan pendapatan pengusaha.
Tambahnya, secara tidak langsung ia mendorong pengeluaran dan pemasaran buah-buahan serta sayur-sayuran secara bersistematik.
''Ia sekali gus memastikan pengeluaran hasil pertanian yang berkualiti menepati kehendak pasaran dan juga meningkatkan pemindahan teknologi dalam rantaian bekalan," katanya.
Beliau berkata, pelaksanaan ladang kontrak menggunakan pendekatan bersepadu berkonsepkan perjanjian dimeterai bersama peserta yang mana jabatan dan agensi pertanian akan berganding bahu bermula daripada pengeluaran sehingga kepada pemasaran.
''Ini melibatkan perkhidmatan teknikal daripada Jabatan Pertanian dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), pembiayaan oleh pihak Agrobank dan pemasaran oleh FAMA dan agensi swasta.
''Peserta turut diberi latihan dan bimbingan di mana setiap peserta diperkenal konsep pertanian secara komersial melalui perancangan dan pelaksanaan yang sistematik," katanya.
Kajian kelestarian sawit
Jihad ekonomi
Ayam hibrid
Latihan kemahiran pertanian
Ternakan ayam tertutup
Agrochallenge rentas benua
Manisan penyeri majlis perkahwinan
Sokongan kerajaan tingkat kualiti IGrow
iGROW tawar SKM pertanian
Transformasi industri getah
Pengurus jadi penternak Lembu
Tinggalkan kerjaya sebagai kontraktor
Jaminan jadi usahawan
Menerajui sektor pertanian Kedah
Vitato ganti gandum
Pemuliharaan pokok nadir
Khasiat jambu batu
Nelayan jadi tauke
Makanan ikan daripada rumpai laut
Waktu Solat Kuala Lumpur |
||||
|
||||









