VERSI : Mobile | Akhbar Digital
21 April 2014 / 21 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
PELANCONGAN

ARKIB : 26/05/2012

Maldives syurga kepulauan dunia

JETI ikan di Maldives sentiasa sibuk dengan nelayan menjual hasil tangkapan masing-masing.

SESEKALI berada di tepi pantai, sambil menikmati makanan yang dijual di sekitarnya memang menyeronokkan. Apatah lagi apabila ditemani tiupan angin sepoi-sepoi bahasa sambil memandang ke arah panorama ciptaan tuhan yang agak sukar diterangkan dengan kata-kata.

Antara kepulauan yang kini menjadi perhatian ramai pelancong dan pengembara ialah Maldives yang merupakan sebuah negara kepulauan di tengah Lautan Hindi.

Lokasi itu bukanlah sebarangan tempat yang mudah untuk dikunjungi. Ini kerana, untuk ke sana pengunjung memerlukan belanja yang besar bagi membeli tiket penerbangan dan harga hotelnya juga cukup mengejutkan jika ia diumumkan.

Bagaimanapun jika dibandingkan dengan kepulauan lain, Maldives diibaratkan seperti syurga dunia.

Maldives sering dijadikan sebagai tempat idaman ramai pengunjung yang ingin menikmati ketenangan.

Selain itu, Maldives juga sering dikunjungi para selebriti ternama dunia memandangkan ia menyediakan pelbagai kemudahan bertaraf lima bintang.

Pulau Maldives dikelilingi ribuan pulau, namun hanya 200 daripadanya didiami manusia dengan kepadatan penduduk seramai 300,000 orang.

Namun menariknya, beribu-ribu pengunjung datang ke pulau tersebut setiap tahun biarpun negara tersebut hanya terkenal dengan industri perikanan sejak berkurun lamanya.

Walaupun nelayan masih memainkan peranan penting dalam kedudukan ekonomi negara tersebut, kini industri pelancongannya juga menjana pendapatan lumayan sejak beberapa tahun kebelakangan ini sehingga dijadikan sebagai hasil paling penting buat Maldives.

Rata-rata pengunjung memilih Maldives kerana kepulauan itu dikelilingi pantai yang amat cantik di samping menawarkan lokasi percutian yang bebas daripada perhatian awam.

Bagi mereka yang berpeluang berkunjung ke Maldives bolehlah mengunjungi destinasi menarik yang ditawarkannya.

Antaranya adalah pasar ikan Male. Pasar ikan itu merupakan tempat paling sibuk di bandar tersebut dan ia juga kawasan perniagaan utama penduduk tempatan pada waktu siang.

Waktu kemuncaknya adalah ketika para nelayan tempatan pulang membawa hasil tangkapan masing-masing.

Sebaik sahaja ikan-ikan tersebut diletakkan di atas lantai, orang ramai akan mengerumuni kawasan tersebut bagi mendapatkan ikan-ikan segar yang berkualiti tinggi.

Selain daripada ikan, barangan tempatan lain yang boleh dibeli adalah buah-buahan dan bunga segar.

ANTARA keindahan yang terdapat di Maldives.

Lokasi ini boleh dikatakan sebagai tempat paling popular untuk dikunjungi pelancong selain Masjid Huskuru Miskiiy.

Masjid itu dibina sekitar pertengahan tahun 1600 dan ia merupakan masjid terbesar di Maldives. Masjid tersebut mampu memuatkan jemaah seramai 5,000 orang dalam satu masa.

Selain itu, masjid tersebut juga berperanan sebagai Pusat Islam Maldives dan binaannya juga unik bak sebuah karya seni dengan pelbagai ukiran mewah berkubah emas.

Menerokai khazanah dasar laut juga menjadi alasan paling tepat mengapa ramai pelancong memilih Maldives sebagai destinasi idaman.

Terumbu karang di Maldives amat terkenal dengan kecantikannya yang tersendiri. Lautannya kaya dengan pelbagai hidupan marin sehinggakan ia digilai peminat aktiviti selam skuba.

Selepas penat berenang, pengunjung berpeluang melawat ke Fuamulaku yang terkenal dengan kesuburan tanahnya.

Kebanyakan masyarakat yang tinggal di kawasan tersebut merupakan golongan petani, tetapi kehadiran anda ke sana pastinya disambut meriah oleh penduduk tempatan.

Pelancong boleh mendapatkan pelbagai buah-buahan segar seperti oren, mangga dan nanas.

Memancing merupakan sebahagian daripada gaya hidup penting di Maldives, tetapi memancing pada waktu malam pastinya lebih menyeronokkan sambil ditemani sang purnama.

Bagi mereka yang ingin mencuba suasana memancing pada waktu malam bolehlah mendapatkan khidmat pemandu pelancong yang akan membawa anda ke lubuk rahsia.

Selain itu, sambil memancing pengunjung juga boleh mengadakan jamuan barbeku di atas kapal persiaran yang disewa secara khusus.

Situasi kepulauan Maldives yang sunyi tanpa bunyi hon kenderaan dan rimba pencakar langit di bandar elit seolah-olah membawa pengunjung ke sebuah pulau yang tidak berpenghuni.

Hampir 1,200 pulau terdapat di kepulauan Maldives maka tidak hairanlah mengapa ia begitu sunyi dan sesuai untuk mereka yang inginkan percutian tanpa gangguan orang awam.

Jika pengunjung suka mengembara, anda boleh menyewa bot dan mengunjungi setiap daripada pulau tersebut satu persatu.

Bagi mereka yang takut menyelam bolehlah mengunjungi Whale Submarine di Mali. Kapal selam tersebut merupakan kapal selam sebenar dan secara tidak langsung ia telah diiktiraf sebagai kapal selam penumpang terbesar di dunia.

Kapal selam tersebut juga boleh memuatkan 50 penumpang dan menjunam sehingga kedalaman 150 meter ke dasar laut.

Bagaimanapun, kanak-kanak berumur di bawah tiga tahun tidak dibenarkan memasuki kapal selam tersebut.

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:48
Zohor 1:15
Asar 4:28
Maghrib 7:20
Isyak 8:31
 
 



IKLAN@UTUSAN



BANCIAN ONLINE
IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.