ARKIB : 21/05/2012
Kajian DNA balak
DI Malaysia, terdapat lebih kurang 3,000 spesies kayu balak yang boleh dikategorikan dalam 90 kumpulan utama bagi komoditi bernilai tinggi.
Daripada jumlah tersebut, 480 spesies telah dikenalpasti oleh pihak Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) bagi tujuan pembangunan dan pengkomersialan.
Ia dilaksanakan menerusi inisiatif kajian kod bar balak yang mula diperkenalkan FRIM sejak tahun 2004.
Secara asasnya, penyelidikan tersebut melibatkan operasi pengenalpastian anatomi pokok serta identiti spesies balak di peringkat tertentu.
Selain bertujuan menyokong perkembangan industri balak, usaha tersebut turut memainkan peranan penting dalam membantu usaha mencegah aktiviti pembalakan haram.
Ini kerana, data-data komprehensif berkenaan boleh digunakan oleh pihak pelaksana undang-undang sebagai komponen forensik untuk menentukan kesahihan sesuatu aktiviti pembalakan.
Tidak cukup dengan itu, FRIM turut memperluas kaedah pengumpulan maklumat spesies balak menerusi pengenalan kajian pembangunan pangkalan data asid deoksiribonukleik (DNA) pada tahun 2009.
Menurut Ketua Pengarah FRIM, Datuk Dr. Abd. Latif Mohmod, kajian teknik diagnostik itu bakal melonjakkan industri balak negara ke peringkat antarabangsa.
''Pangkalan data DNA ini akan membantu menentukan ketulenan pengeluaran produk balak sekali gus dapat meningkatkan harganya di pasaran luar.
''Ia juga boleh digunakan bagi menentukan standard premium spesies kayu balak untuk pembangunan saintifik secara berterusan pada masa depan,'' katanya pada perasmian Bengkel Pengenalpastian Spesies Kayu dan Asalnya di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Bengkel anjuran FRIM itu merupakan kesinambungan daripada projek Pengenalpastian Spesies Kayu dan Asal-Usul (ITSO) yang dijalankan secara kerjasama dengan Kementerian, Makanan, Pertanian dan Pengguna Persekutuan Jerman sejak 2011.
Objektifnya adalah untuk menyediakan platform perkongsian pengetahuan dan maklumat antara ahli sains, penganalisis dasar serta pihak berkepentingan dalam bidang berkenaan.
Projek penyelidikan global itu telah disertai oleh seramai 40 orang pakar serta ahli badan bukan kerajaan (NGO) mewakili industri hutan serantau dan antarabangsa daripada 13 buah negara.
Mereka membincangkan tentang isu berkaitan penubuhan pangkalan data, pembangunan standard spesies balak, pengenalpastian kawasan asal secara geografi, prospek, cabaran serta hala tuju masa depan untuk industri berkenaan.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Bioteknologi Perhutanan FRIM, Dr. Norwati Muhammad memberitahu, setakat ini FRIM telah menubuhkan pangkalan data DNA menjejak empat jenis balak bernilai ekonomi tinggi di Semenanjung Malaysia, Sabah dan juga Sarawak.
''Dua spesies yang telah pun mempunyai data DNA lengkap adalah ramin dan cengal manakala untuk meranti dan kempas bukit pula, kita sedang dalam proses mengumpul maklumat mengenainya.
''FRIM mempunyai kepakaran dan teknologi. Jadi kita mahu berkongsi kelebihan ini bersama negara-negara serantau dalam mewujudkan kawalan pembangunan untuk spesies-spesies berkepentingan.
''Ini kerana pokok-pokok ini tumbuh mengikut taburan secara natural dan tidak mempunyai persempadanan seperti sempadan politik,'' jelasnya.
Menurutnya lagi, bagi mencapai matlamat yang sama, FRIM dan negara-negara seperti Jerman, Indonesia serta Jepun sedang dalam proses membangunkan metodologi pencarian sampel asli untuk setiap spesies balak sebagai melengkapkan maklumat pangkalan data.
Di Malaysia pula, FRIM menjalankan kerjasama rapat dengan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) bagi menguatkuasakan pembangunan industri balak di negara ini.
Sehingga April lalu, FRIM telah berjaya mengumpul sebanyak 204 DNA untuk spesies-spesies balak daripada 26 kumpulan utama.
Mesin penggoreng dua dalam satu
Mahkota berduri
Mesin penetasan telur
Arianespace lancarkan satelit
Gen tong sampah tangguh proses penuaan
Implan otak beri amaran sawan
Putter paling stabil
Transformasi kempen pilihan raya
Keberkesanan media sosial
Mesin IKS buat mi
Bangun laman web guna CMS
Masa depan
Carian
Konfigurasikan PC tanpa gangguan Internet
Mesin cabut bulu ayam
Rice bag rawat kecederaan sukan
Konservasi Orang Utan Bukit Merah
Monyet Belanda, orang utan di Kinabatangan
Mesin pelbagai guna
Tempoyak punya probiotik
Waktu Solat Kuala Lumpur |
||||
|
||||









