VERSI : Mobile | Akhbar Digital
20 April 2014 / 20 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
RENCANA

ARKIB : 16/05/2012

Zaharah, Haliza, Cyril, Lai, Azhar, Lingam, Pak Wee dan Tok Din...

LONDON, seperti biasa adalah kota raya kesayangan rata-rata rakyat Malaysia. Bukan kerana ia negara bekas tuan tanah jajahan kita, tapi kini ia dihuni oleh terlalu ramai rakyat dari seluruh dunia.

Semua bangsa ada di London ini. Silap-silap hari bulan muka orang putih Inggeris pun susah ditemui. Ia layak diberi nama kota kosmopolitan - kota yang dihuni pelbagai bangsa, etnik dan keturunan.

Rakyat Malaysia pun ramai. Ada sembilan restoran Malaysia, besar dan kecil di sekitar kawasan Paddington di London ini. Kedai makan Pak Wee atau Tok Din, bukan asing lagi kepada sesiapa yang sering berkunjung kota raya ini. Ia bukan saja dikunjungi oleh orang biasa, tapi sehinggalah kepada raja-raja Melayu. Sambal belacan di kota London ini, bukanlah asing jika kita ke kedai-kedai makan ini. Sebut saja nak makan apa yang ada di Malaysia semua ada di situ.

Ada satu seloroh berkata, kalau mahu melancong bersama teman wanita, jangan datang ke London, kerana jika nasib tak baik akan terserempak dengan rakan-rakan isteri mereka.

Menurut data Bank Dunia, terdapat 70,000 rakyat Malaysia menetap di merata United Kingdom ini. Mereka terdiri daripada perantau atau juga dipanggil sebagai diaspora Malaysia, para pelajar dan pekerja - sama ada profesional di firma-firma perakaunan, undang-undang atau juga pekerja biasa.

Sahabat saya Zaharah Othman sudah menetap di kota raya ini selama 33 tahun bersama suaminya Wan Hulaimi. Kedua-duanya berhijrah semasa masih muda pada tahun 1979. Kini Zaharah masih tetap menulis dan menjadi wartawan sambilan bagi pihak media di Malaysia. Tulisannya boleh dibaca dalam akhbar NST. Walaupun berada di tanah Inggeris, kehidupan Melayu mereka terlalu utuh. Anak-anak mereka boleh berbahasa Melayu dengan baik. Saya sangat teruja melihat Zaharah yang masih berjiwa kental sebagai seorang wartawan. Beliau ialah lulusan Masscomm ITM kumpulan tahun 1978 yang sangat gigih. Ternyata lulusan institusi itu dulu berjaya melahirkan wartawan berjiwa kental seperti Zaharah. Saya juga tumpang bangga menjadi alma mater sekolah kewartawanan itu.

Beliau kini sedang menulis bukunya mengenai kelasi-kelasi Melayu zaman British yang belayar dari Tanah Melayu dan kemudian terus menetap, berkahwin dengan orang tempatan di negara orang putih ini. Semua bahan-bahan, gambar lama dan interbiu telahpun dikumpulkan. ‘‘Dalam beratus-ratus mereka ini, kini hanya tinggal beberapa orang yang masih hidup, menjadi kewajipan saya untuk mendokumentasikan mereka ini," katanya. Kita tunggu kemunculan buku beliau yang akan diterbitkan kelak.

Sebagai wanita Melayu yang terlalu tebal kemelayuannya, beliau turut membuat pengajian sarjana di universiti di London mengenai syair, pantun, gurindam. Itulah antara suasana diaspora Malaysia yang tinggal di luar negara.

Selain Zaharah, seorang lagi rakan wartawan yang kini menetap di kota raya ini ialah Haliza Hashim, wakil TV3. ‘‘Tahun ini cukup 22 tahun saya di sini. Masa berlalu terlalu pantas. Orang ada bertanya saya, boleh lagikah bercakap Melayu, saya berkata kepada mereka, lihatlah Buletin Utama TV3," katanya sambil tertawa. Jiwanya tetap Malaysia. Dia hanya tinggal selama 11 bulan sahaja di London, sebulan lagi setiap kali raya dia akan berada di rumah keluarganya dekat Kuala Lumpur.

Semasa makan di Dewan Malaysia (Malaysia Hall) kelmarin, saya bertemu dengan Cyril, seorang India dari Malaysia yang berasal dari Bangsar. Saya melihat dia masuk ke kedai makan itu, dia melihat saya dan kami bertegur sapa. Setelah mengambil nasi campur, dia meletakkan pinggannya di sebelah kerusi saya. Dia menuju ke sinki mencuci tangan, duduk dan makan dengan tangan. Cyril makan dengan cukup berselera sekali.

‘‘Inilah makanan saya. Saya adalah orang Malaysia, masih lagi warganegara Malaysia walaupun sudah menjadi penduduk tetap. Jiwa saya tetap di sana," katanya yang telah menetap lebih 30 tahun ini kota raya ini. Saya akan pulang setiap tahun untuk bertemu adik beradik di Bangsar dan Bukit Pantai. Saya akan terbang dengan MAS, itulah penerbangan kebangsaan saya, katanya bangga.

‘‘No way saya akan serahkan taraf warganegara saya, Malaysia adalah negara yang baik dan inilah makanan saya," kata Cyril, masih bujang, tidak berhasrat untuk berkahwin dan kini memberi syarahan mengenai muzik di beberapa buah universiti.

Semasa saya ke satu majlis di House of Lords atau bangunan Parlimen Britain semalam, saya tiba-tiba bertemu pula dengan seorang lelaki berwajah Melayu. Dia berpakaian seorang chef. Benar, dia ialah tukang masak di dalam bangunan Parlimen Britain itu. Anak muda berwajah segak bernama Megat Azhar bekerja di situ. Itu tidak terkira lagi anak-anak Malaysia yang bekerja dalam firma-firma penting di sini.

Pendek kata, rakyat Malaysia kini sudah global. Tapi jiwa mereka tetap glokal, satu istilah yang pernah dipopularkan oleh Perdana Menteri, Najib iaitu bermaksud global dan lokal.

Itu adalah antara contoh rakyat Malaysia di sini. Ada juga yang terlalu low-profile, tapi memiliki rangkaian restoran yang besar dan kini jutawan. Pemandu kami Winson Lai, Cina dari Batu Pahat bercerita sambil memandu, ada seorang Cina Malaysia ini terlalu low-profile tetapi pernah memiliki 18 buah rangkaian restoran yang kemudian disenaraikan di bursa London. Dia kemudian menjual syarikatnya dengan memperolehi keuntungan sebanyak 18 juta pound dan beralih pula kepada perniagaan hartanah.

Semalam buat pertama kalinya, kira-kira 1,500 rakyat Malaysia berkumpul dalam satu majlis yang dikenali sebagai Sepetang Bersama YAB Perdana Menteri, Najib Tun Razak dan isteri. Menurut seorang rakyat Malaysia yang menetap lebih tiga dekad di kota raya ini, inilah pertama kali beliau melihat satu perhimpunan paling besar membabitkan rakyat Malaysia dalam satu masa, di satu tempat.

Saya cukup teruja. Nak menitis air mata pun ada, kata seorang hadirin yang saya tidak sempat bertanyakan namanya apabila melihat sambutan ke atas kunjungan Najib itu cukup hebat.

Jika bukan hari kerja (Isnin), dijangkakan lebih ramai yang hadir. Ada yang datang membawa kereta tolak anak-anak kecil masing-masing. Wajah-wajah tua dan muda -- wajah majmuk Malaysia memenuhi Dewan Indigo, Arena O2 yang terkenal dengan konsert-konsert terhebat dunia. Ia terletak di Greenwich, kira-kira 21 kilometer di timur London. Walaupun jauh, mereka tetap datang beramai-ramai.

Semua teruja. Namun rancangan Bersih Yang Kotor untuk membuat kacau tidak berjaya. Mereka telah menyebarkan email kepada penduduk Malaysia London untuk berdemonstrasi semasa majlis itu, namun ia tidak mendapat sambutan. Ia gagal. Hanya dua tiga orang lelaki yang menjerit-jerit semasa PM mula-mula mahu berucap.

Salah seorang lelaki itu tidak berhenti menjerit-jerit, Bersih! Bersih! Najib kemudian berkata kepadanya, berhenti menjerit, jumpa saya selepas ini. Bercakap dengan saya. Para hadirin yang mungkin sudah menjangka ada orang seperti itu, tidak menunjukkan sebarang reaksi. Semua tidak respons kepada jeritan lelaki itu. Dia bersikap seperti kera sumbang. Dia kemudian diminta keluar dari dewan itu dan majlis bermula dengan lancar sehingga habis.

Lelaki itu ialah aktivis yang sering kelihatan dalam demo anti kerajaan Malaysia di London. Orang Malaysia London sudah tidak hairan dengan dia.

Najib dan isteri kemudian turun dari pentas dalam suasana yang cukup santai, ceria, untuk beramah mesra dengan rakyat Malaysia. Melanggar protokol dan SOP keselamatan yang menjaga dirinya. Najib bergambar dengan mereka, bertanya khabar. Masing-masing mahu bergambar dengan PM dan kemudian menghantar dalam facebook atau twitter - memberitahu sahabat-sahabat yang lain, termasuk memberitahu ibu bapa di tanah air yang mereka telah bergambar dengan Perdana Menteri Malaysia.

Itulah caranya untuk mereka melepaskan rindu kepada tanah air tercinta. Walaupun sambal belacan Pak Wee atau Tok Din boleh dimakan bagi melepaskan rindu, namun peluang untuk menyentuh, berjabat tangan, bergambar, bertanya khabar dengan Perdana Menteri Malaysia tidak boleh sama sekali dilepaskan.

Selagi kita orang Malaysia, selagi itulah Malaysia tidak boleh dipisahkan, walaupun hujan batu di sana, hujan emas di sini. Ternyata rata-rata rakyat Malaysia di perantauan ini amat menyayangi tanah tumpah darah mereka, Malaysia.

SK Lingam, Naib Presiden Sahabat Barisan Nasional United Kingdom (FBNUK) yang dilancarkan Najib kelmarin dan telah lama berada, kerja di negara ini, berkata kepada saya, beliau sanggup melakukan apa sahaja demi Malaysia.

‘‘Walaupun saya di sini, saya akan berjuang mengikut cara saya di sini bagi mempertahankan Malaysia," kata beliau dalam nada tegas dan bersemangat.

Namun, melihatkan sambutan yang cukup mesra oleh rakyat Malaysia di London ini, mungkin Najib sudah mempunyai sedikit ilham untuk menentukan bila tarikh pilihan raya ke-13 akan diadakan?

Tapi, kata Najib kepada pemberita banyak lagi faktor perlu diambil kira - itu adalah salah satu daripadanya.

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:49
Zohor 1:15
Asar 4:28
Maghrib 7:20
Isyak 8:31
 
 



IKLAN@UTUSAN



BANCIAN ONLINE
IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.