VERSI : Mobile | Akhbar Digital
30 Julai 2014 / 3 Syawal 1435  
  Carian Arkib
SAINS & TEKNOLOGI

ARKIB : 14/05/2012

Sisa makanan jana pendapatan

N. Tamilnavan bersama Syahrir Mahmood mengutip produk akhir yang dihasilkan oleh mesin Compostech di Shah Alam, baru-baru ini.

Sisa makanan merupakan antara sampah organik yang menjadi cabaran untuk dilupuskan dengan betul tanpa mencemarkan alam sekitar. Premis seperti restoran, hospital, dan mungkin juga sekolah saban hari menghasilkan ratusan tan sisa tersebut yang perlu ditangani setiap hari.

Perhatikan tapak pelupusan sampah, longkang dan parit malah sungai sekalipun, ia dipenuhi sisa makanan yang menjijikkan dan mengotorkan persekitaran.

Kadang-kadang taman rekreasi juga tercemar dengan sisa makanan yang ditinggalkan oleh pengunjung.

Memang sisa makanan boleh mengurai secara semulajadi. Tetapi jika dibiarkan begitu sahaja atau dibuang sesuka hati sudah tentu ia mencacatkan pemandangan sementara menunggu masa ia terurai.

Disebabkan sisa makanan sama ada daripada industri mahupun domestik merupakan sisa pepejal atau solid waste, maka ia perlu diurus dengan baik supaya tidak menjadi beban kepada masyarakat.

Tetapi ramai yang tidak sedar, di sebalik sisa yang dilihat tidak berguna dan kadang-kadang menjijikkan, sebenarnya boleh dimanfaat untuk kehidupan seharian.

Satu daripadanya ialah memanfaatkan konsep waste to wealth (W2W) iaitu menukarkan sisa buangan kepada satu hasilan akhir yang menguntungkan. Malah menjana kekayaan.

Ramai mengetahui mengenai konsep umum tersebut. Malah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menjadikan konsep tersebut sebagai inisiatif yang perlu diberi perhatian serius oleh agensi-agensinya sejak beberapa tahun lepas.

Dalam konteks sisa makanan yang bersifat organik, teknologi W2W yang diamalkan ialah menukarkannya kepada bahan kompos sebagai hasilan akhir untuk digunakan sebagai baja atau makanan haiwan.

Satu daripada agensi di bawah MOSTI, Technology Park Malaysia (TPM) menerusi anak syarikatnya, TPM Engineering telah membangunkan mesin memproses sisa makanan kepada kompos.

Mesra pengguna

TPM dengan kerjasama usahawan bimbingannya telah berjaya menghasilkan sebuah mesin memproses sisa makanan menjadi bahan kompos yang di beri nama Compostech . Ia berupaya menghasilkan baja daripada sisa-sisa makanan.

Penyelidikan dan pembangunan mesin itu mengambil masa selama tiga tahun dengan bantuan jurutera-jurutera mahir TPM.

Menurut Ketua Jabatan Reka bentuk TPM Engineering, Syahrir Mahmood, pembangunan mesin tersebut bermula beberapa bulan lepas di peringkat lakaran jabatan berkenaan.

"Mana-mana pembangunan mesin atau sistem akan bermula di sini iaitu kita membuat reka bentuk terlebih dahulu," ujarnya ketika ditemui di TPM Bukit Jalil baru-baru ini.

Pembangunan mesin tersebut merupakan idea sebuah syarikat swasta iaitu Sumber Handal Sdn. Bhd., dibina sepenuhnya menggunakan keluli tahan karat.

Ia terbahagi kepada beberapa komponen penting iaitu bahagian badan, bahagian mencampur bahan mentah (mixer), kotak kawalan, blower dan juga sistem pemanasan.

Alat tersebut juga mesra pengguna dan mudah alih iaitu boleh dibawa ke mana saja mengikut keperluan.

"Kita hanya memasukkan sisa tanaman seperti terung timun dan kacang panjang atau sisa makanan ke dalam ruang khas dan suhu dikawal sekitar 70 darjah Celsius," katanya.

Pada masa sama, mikrob berguna (EM) juga dimasukkan ke dalam ruang mencampurkan bahan (mixer) bersama-sama kompos berkenaan.

Bahagian dalam ruang berkenaan mempunyai bilah-bilah yang berputar lawan jam dan ikut jam bagi tujuan mencampurkan kompos dan EM yang berfungsi mengurai dan menghadamkan bahan organik dalam kompos berkenaan.

"Dalam tempoh 24 jam, bahan kompos berubah kepada bahan menyerupai tanah dalam keadaan kering," ujarnya.

Keunikan Compostech, kata beliau, ialah ia mampu menghasilkan produk akhir dalam masa 24 jam sahaja iaitu antara mesin yang pantas melakukannya setakat ini.

Hasil analisis menunjukkan ia baik untuk makanan lembu atau baja organik.

Compostech yang direka bentuk ketika ini berkapasiti 250 kilogram dan pihaknya juga telah membangunkan mesin berkapasiti 50 kilogram.

Antara pelanggan mesin berkenaan setakat ini ialah pusar rehat dan rawat (R&R) di lebuh raya dan hospital.

"Kita (TPM Engineering) juga telah memasang alat untuk menghancurkan tulang lembu menjadi halus pada mesin berkenaan," ujarnya.

Dengan pembangunan mesin berkenaan, pihaknya telah menubuhkan pasukan khas yang bertindak sebagai penyelenggara bagi memantau perkembangan.

Pasukan itu juga berfungsi memberi penerangan kepada pengguna mesin berkenaan jika mereka menempahnya.

Mesin berkenaan kata beliau, boleh dimanfaatkan untuk mencari pendapatan sampingan dengan menukar sampah organik kepada bahan berguna di bawah konsep W2W.

Mesin berkenaan telah digunapakai dengan jayanya di PLUS Expressway Bhd. yang menggunakannya di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) kendaliannya selain yang digunakan oleh sebuah syarikat kitar semula bahan buangan Sri Puspham.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:51
Zohor 1:22
Asar 4:44
Maghrib 7:30
Isyak 8:43

 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.