VERSI : Mobile | Akhbar Digital
22 September 2014 / 27 Zulkaedah 1435  
  Carian Arkib
RENCANA

ARKIB : 12/05/2012

Kutip biji getah sumber pendapatan baru

POKOK dan biji getah mungkin begitu sinonim dengan kehidupan seharian bagi mereka yang pernah membesar atau bersekolah berdekatan ladang getah.

Di kalangan kanak-kanak yang membesar di bawah rendangan pokok getah, biji getah yang mudah didapati sering digunakan dalam pelbagai bentuk permainan.

Orang dewasa bagaimanapun tidak melihat biji getah itu mempunyai sebarang nilai berbanding pokok getah yang memberi pulangan setiap kali ditoreh.

Namun, berjuta-juta biji getah yang bertaburan itu sebenarnya penting dalam urusan perladangan dan penanaman getah di samping mempunyai nilai pendapatan sampingan tersendiri.

Menurut Ketua Pengarah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Datuk Wan Mohamad Zuki Mohamad, dari satu biji getah itu juga bermulanya sumber besar kepada ekonomi negara hari ini.

Jelasnya, tahun ini RISDA diberikan 50,000 hektar tanah ladang untuk program penanaman semula dengan 40,000 hektar untuk benih pokok getah dan selebihnya untuk benih sawit.

"Amat penting benih pokok getah disediakan secukupnya untuk program tanam semula ini kerana jika lambat, kos bertambah termasuk kos membersihkan tapak dari lalang sementara menunggu benih ditanam. Untuk itu, perlu ada bekalan berterusan biji getah yang cukup dan berkualiti agar dapat sediakan benih ikut keperluan dan permintaan," katanya.

Tambahnya, penyediaan benih merupakan antara amalan baik yang ditekankan RISDA melalui proses mengumpul biji getah, menyimpan, menyemai dan mengahwinkannya dengan klon yang baik sebelum boleh ditanam.

Untuk itu, katanya, RISDA tahun ini akan meneruskan program mengutip dan mengumpul biji getah yang dimulakan pada 2011 bagi mengatasi kekurangan benih secara tetap, konsisten dan berkekalan.

"Ops biji getah fasa kedua ini adalah untuk menyediakan benih yang cukup serta berkualiti, dan akan dijadikan satu agenda tahunan RISDA kelak. Mulanya, kami bercadang mahu membeli biji getah dari luar tetapi negara tertentu tiada bekalan sementara yang lain tidak berkualiti," jelasnya.

Menurutnya lagi, RISDA kini mendapatkan bekalan dari dalam negara untuk memenuhi keperluan program penanaman semula, bukan sahaja kerana kualiti tempatan lebih bagus malahan proses pengutipan biji getah boleh dilakukan sesiapa sahaja termasuk murid sekolah.

Beliau memaklumkan, RISDA memerlukan sekitar 26 juta benih pokok getah bagi program penanaman semula untuk keluasan 40,000 hektar tahun ini dan jumlah sama dijangka perlu disediakan tahun depan.

"Untuk menyemai 26 juta anak pokok getah, kita memerlukan 300 tan metrik biji getah atau kira-kira 45 juta biji getah.

"RISDA akan membayar RM3 bagi setiap kilogram biji getah yang dikumpul dan dihantar ke tapak semaian kami di seluruh negara dengan anggaran agihan dana RM900,000 untuk mendapatkan jumlah 300 tan metrik tersebut," ujarnya.

Wan Mohamad Zuki menjelaskan, pihaknya akan membeli biji getah daripada individu, koperasi atau sesiapa sahaja yang boleh menghantarnya ke mana-mana tapak semaian RISDA bagi menangani masalah bekalan benih yang tidak cukup atau tidak berkualiti.

Tambahnya, sasaran untuk tahun ini semakin hampir dicapai sementara bekalan untuk tahun hadapan akan cuba dikumpulkan lebih awal termasuk untuk penyimpanan.

"Biji getah boleh dikutip mengikut musim pada Mac hingga April dan Julai hingga Oktober tetapi selagi ada yang menghantarnya ke tapak semaian RISDA, kami tetap membelinya termasuk di Sabah dan Sarawak," katanya.

Tambahnya, biji getah itu boleh dihantar ke tapak semaian di Pahang (Kampung Awah dan Sungai Belat); Perak (Kampung Changkat Sulaiman dan gunung Tunggal); Johor (Kampung Sekijang); Terengganu (Batu 17, Tok Dor dan Terengganu Tengah 2); Kedah (Bukit Perak); Kelantan (Gading Galoh dan Bukit Sireh); atau di Melaka (Kesang Pajak).

Jelasnya lagi, proses pengutipan biji getah secara berterusan penting kerana proses semaian anak pokok getah yang mengambil masa sehingga lapan bulan sebelum boleh ditanam.

Kata beliau, untuk permulaan program penyimpanan biji getah, empat bilik sejuk akan ditempatkan secara berpusat mengikut zon tengah, utara, timur dan selatan.

Tambahnya, bilik sejuk itu akan mengawal suhu dan kelembapan tempat penyimpanan biji getah bagi mengelakkannya rosak, kering atau tumbuh terlalu awal.

"Kita mahu sediakan bilik sejuk untuk menyimpan biji getah berkenaan dan hanya dikeluarkan bila mahu digunakan atau menerima tempahan,''jelasnya.

Maklumat lanjut dan terkini mengenai program dan skim RISDA melibatkan pekebun kecil boleh diperolehi melalui laman web www.risda.gov.my.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:47
Zohor 1:09
Asar 4:14
Maghrib 7:11
Isyak 8:20



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.