VERSI : Mobile | Akhbar Digital
19 April 2014 / 19 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
RENCANA

ARKIB : 06/05/2012

Pertahankan parti keramat

UMNO ditubuhkan pada 11 Mei 1946, dan Jumaat ini genap 66 tahun usianya. Kali ini sambutannya sangat signifikan kerana hampir dengan Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU-13) tahun ini. Pada masa yang sama PRU-13 dianggap penting untuk memperbaiki pencapaian pada PRU-12 tahun 2008.

Selepas 2008 UMNO telah membuat banyak perubahan dan penambahbaikan serta mengenalpasti kekurangan untuk memastikan kejayaan pada PRU-13. Kerana itu tahap siapsiaga UMNO di pelbagai lapisan adalah penting untuk pilihan raya kali ini.

Antara perubahan yang telah dilakukan ialah meminda perlembagaan parti supaya UMNO lebih telus, lebih demokratik dan inklusif. Pada masa yang sama UMNO akan terus menjadi tunggak kepada rakan-rakan lain dalam komponen Barisan Nasional.

Sempena ulang tahun UMNO kali ini, Ketua Pengarang UMNO Online, AHMAD KAMAL ZAILANI dan Editor Berita ROFIKAH AHMAD telah mewawancara Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Perdana Menteri mengenai persiapan UMNO menghadapi PRU-13.

UMNO Online: UMNO menyambut ulang tahunnya ketika seluruh negara memperkatakan tentang Pilihan Raya Umum ke-13, perayaan ulang tahun ini sangat signifikan kerana ia adalah yang terakhir sebelum Parlimen dibubarkan bagi membolehkan pilihan raya diadakan. Adakah parti daripada setiap peringkat sudah siap siaga berdepan dengan cabaran getir ini dan adakah Datuk Seri melihat ruang penambahbaikan sudah diperbaiki?

NAJIB: Pada umumnya parti UMNO dan rakan-rakan kita dalam Barisan Nasional sudah pun membuat persediaan yang diperlukan bagi menghadapi Pilihan Raya yang ke-13, namun seperti biasa kita tahu bahawa masih ada ruang yang boleh dilakukan oleh parti kita terutama sekali di peringkat akar umbi dan ini termasuk juga peranan yang boleh dimainkan oleh kepimpinan peringkat bahagian, peti undi dan terus ke peringkat cawangan, salah satu daripada perkara yang saya tekankan ialah betapa pentingnya kita ini merupakan satu pasukan, satu keluarga yang bukan saja mantap tetapi kukuh dan padu dalam apa jua keadaan dan kita mesti melihat bahawa ancaman kita, pesaing kita adalah parti pembangkang dan bukanlah sesama kita. Jadi dalam keadaan kita berhadapan dengan pilihan raya ini kita mestilah memastikan bahawa persengketaan antara kita atau persaingan antara kita dapat diketepikan dan kita menjurus kepada perhatian yang sepenuhnya kepada sebarang dan segala usaha yang kita boleh lakukan untuk memastikan bahawa jentera kita ini padu dan boleh bergerak, lancar dan penuh bersemangat untuk UMNO dan Barisan Nasional

Kita melihat Hari UMNO diadakan ketika mesyuarat-mesyuarat cawangan sedang berlangsung. Sudahkah parti di peringkat akar umbi menterjemah segala kudrat dan tenaga untuk memastikan jentera UMNO bergerak bagi memastikan UMNO dan BN terus menjadi pilihan rakyat?

NAJIB: Jentera-jentera kita telah pun diberi kursus, diberi panduan dan telah pun dibuat perjumpaan dan hampir semua negeri lancarkan jentera pilihan raya tapi sebab kita ini merupakan parti yang besar, 3.3 juta ahli kita semua sekali, oleh itu kita mesti meletakkan dalam fikiran dan juga mind set anggota-anggota parti kita ini supaya menumpu kepada sebarang usaha yang boleh dilakukan setiap daripada kita, tidak semestinya kita ini merupakan seorang pemimpin besar, atau pemimpin di peringkat bahagian tapi kita sebagai ahli biasa, sekurang-kurangnya nilai undi kita, sebab ada kalanya ada juga ahli UMNO yang tidak mengundi waktu pilihan raya, jadi kita mesti pastikan bahawa setiap daripada 3.3 juta ahli UMNO ada peranan masing-masing

Datuk Seri selalu menekankan pentingnya UMNO melakukan transformasi untuk terus kekal relevan. Adakah transformasi politik dalam UMNO sudah berlaku?

NAJIB: Perjalanannya sudah pun bermula dan kita sudah pun melihat ada kesannya, antaranya kita telah pun meminda Perlembagaan parti supaya parti UMNO lebih telus, lebih demokratik dan inklusif. Kita dah mula menghayati Gagasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan dimana banyak program yang dilakukan oleh UMNO adalah berteraskan kepada falsafah dan Gagasan tersebut. Walau bagaimanapun, saya seorang yang bersikap realis bahawa melakukan transformasi secara menyeluruh mesti disertai dengan perubahan budaya dalam UMNO dan untuk mengubah sikap manusia dan sistem nilai dalam parti kita ini tentu sekali memakan masa tetapi saya rasa bahawa pencapaian atau pun perjalanan ini sudahpun bermula dan ada sedikit sebanyak perubahan tapi kita perlu meneruskan lagi sebab untuk mentransformasikan UMNO adalah satu cabaran yang tentu sekali akan memakan masa.

Jadi tempoh 65 tahun masih belum mencukupi untuk UMNO terus melakukan transformasi kepada parti dan rakyat?

NAJIB: UMNO sebenarnya sudah berjaya sebab kalau kita lihat pada peringkat awal semangat untuk menentang Malayan Union, semangat untuk memerdekakan negara kita, masa itu tidak ada sesiapa persoalkan tentang kelemahan UMNO ataupun permasalahan dalaman UMNO sebab perjuangan kita satu saja, kita nak bagaimanapun UMNO mesti merupakan pelopor kepada kemerdekaan negara kita dan dalam tempoh masa kita berjuang untuk mengisi kemerdekaan, peringkat awal tahun 60-an, 70-an kita lihat perjuangan kita memang berpandu kepada satu matlamat saja tapi bila sistem nilai kita telah dicampuraduk dengan soal kepentingan untuk merebut jawatan dan sedikit sebanyak soal politik wang melanda parti kita kerana persaingan bertambah sengit dan kita sebagai sebuah parti telah berjaya membangunkan negara kita dan bererti orang yang berada dalam negara kita ini sudah bertambah, jadi matlamat kita sudah pun dicampuraduk dengan soal kepentingan diri dan sebagainya. Inilah yang mesti kita hindari bahawa sebagai sebuah parti yang telah lama wujud, terlalu besar nilai dan jasa kita, tapi pengundi hari ini tidak akan melihat kepada kegemilangan dalam sejarah, dari segi sejarah. Mereka nak tahu apa perjuangan kita masa kini dan akan datang, oleh itu kita tak boleh bersandar kepada nilai sejarah sahaja tapi kita mesti melihat UMNO kepada konteks masa kini dan akan datang. Inilah yang saya nak tekankan supaya setiap pemimpin UMNO mesti menghayati dan mencerminkan nilai-nilai kepimpinan yang disenangi oleh rakyat, dengan itu rakyat akan memberi sokongan yang padu kepada UMNO dan Barisan Nasional

Tadi Datuk Seri ada menyebut tentang perubahan budaya dan sistem nilai yang perlu ada dalam UMNO, perubahan budaya untuk jangka masa ke arah Wawasan 2020, bagaimana Datuk Seri ingin terapkan dalam UMNO?

NAJIB: Sistem budaya kita ini sebenarnya tak perlu lari daripada yang asal cuma kita akan tekankan perkara-perkara yang perlu dalam konteks masa kini dan akan datang, umpamanya nilai untuk meletakkan kepentingan parti mengatasi segala kepentingan, nilai kesetiaan pada parti, disiplin, kerja dalam satu pasukan dan sebagainya. Ini merupakan nilai-nilai sejati yang kita telah bina selama ini, dan perlu dikekalkan, perlu dipertahankan. Dalam konteks hari ini nilai kita yang lama kita kekalkan, nilai yang baru yang meletakkan misalnya menguasai kemahiran dan keilmuan itu terutama sekali dalam konteks masa kini, kemahiran ICT umpamanya, kemahiran dalam menggunakan sosial media umpamanya, kemahiran untuk kita berkomunikasi umpamanya. Ini semua merupakan kemahiran yang perlu kita hayati, kita pelajari supaya peranan kita sebagai pemimpin berkesan pada setiap era. Jadi kalau era dulu, kalau era mencapai kemerdekaan kita berkesan, era kita untuk mengisi kemerdekaan kita amat berkesan, era kita untuk membawa perubahan daripada sebuah negara pertanian kepada sebuah negara perindustrian kita berkesan jadi era kita dalam abad ke-21 ini, dalam konteks dunia tanpa sempadan, dalam konteks ledakan maklumat kita juga perlu memperlihatkan keberkesanan kepimpinan UMNO.

Adakah disebabkan era hari ini menyebabkan roh dan semangat perjuangan itu telah mula pudar di kalangan ahli-ahli UMNO. Apa sebabnya Datuk Seri?

NAJIB: Ya, ada sedikit sebanyak sebab unsur bahawa kita ini sudah berjaya, unsur bahawa UMNO ini sudah banyak jasanya jadi ramai orang yang mempunyai kemampuan ekonomi dan sebagainya. Mereka tidak melihat bahawa matlamat perjuangan itu besar lebih mengatasi segala-gala perhitungan yang lain. Jadi kalau ada sifat bahawa saya nak utamakan apa inspirasi saya sebagai individu lebih daripada parti, maka ini yang akan menimbulkan masalah dalam parti kita. Saya tak kata kita tak boleh ada cita-cita peribadi, tak boleh ada kepentingan diri tetapi mestilah tidak mengatasi apa yang penting dan lebih utama adalah parti kita, masa depan parti itu sendiri.

Datuk Seri menterjemahkan secara jelas idea-idea baru dan kreatif. Nampak keikhlasan dan kejujuran Datuk Seri sebagai pemimpin menangani kemelut keresahan rakyat, Tetapi ada pandangan, ia tidak diterjemah dan mendapat tindakan susulan yang agresif di peringkat kepimpinan di bawah?

NAJIB: Ini akan makan masa sebab jurang antara apa yang kita luahkan sebagai pemimpin dalam bentuk dasar dan juga dalam bentuk panduan yang kita berikan, terutama sekali agenda untuk negara dan unsur-unsur pembaharuan untuk mereka memahami dan menghayati, itu akan memakan masa tetapi saya teruja sebab sokongan kepada apa yang kita nak lakukan seperti Gagasan 1Malaysia dan Rakyat Didahulukan, dan kita punya GTP, ETP, PTP semuanya ini disokong oleh UMNO. UMNO tak ada membantah atau tidak mempersoalkan. UMNO menyokong sepenuhnya tetapi untuk diterjemahkan dalam bentuk peranan masing-masing dan untuk menghujahkan bagaimana apa-apa yang kita nak buat dalam bentuk agenda baru untuk negara itu dapat dilakukan dengan kaedah yang begitu baik sehingga rakyat umumnya yang di luar parti kita dapat menerima bahawa UMNO adalah merupakan tonggak kepada negara kita dan UMNO adalah merupakan sebuah parti yang benar-benar, satu-satu parti yang boleh membawa negara kita ini ke arah mencapai Wawasan 2020.

Adakah Datuk Seri cukup yakin bahawa rakyat menerima dengan baik segala yang dibuat sebagaimana Gagasan 1Malaysia, Bantuan Rakyat 1Malaysia dan lain-lain mendapat respons yang baik daripada rakyat atau sebaliknya?

NAJIB: Saya percaya rakyat menerimanya dengan baik, dengan positif sebab apabila saya turun padang berada dalam program berjumpa dengan rakyat, berjumpa dalam tinjauan mesra, saya melihat bahawa suasana, mood hari ini lebih baik. Saya melihat bahawa sambutan yang diberikan kepada saya, kepada Timbalan Presiden, kepada pemimpin-pemimpin lain lebih positif tetapi kita juga harus sedar bahawa pembangkang begitu aktif, mereka akan menyerang, menyelar kita dan mereka akan cuba mengalih pandangan kita dengan mempertikaikan apa saja program yang kita buat dan menimbulkan isu-isu yang tidak sepatutnya dijadikan isu. Jadi dengan keadaan yang sedemikian kita kena melakukan apa yang patut untuk meyakinkan kepada rakyat bahawa sebarang unsur negatif dari segi persepsi yang cuba dilontarkan itu tidak akan diterima oleh rakyat.

Saya cukup tertarik berhubung soal persepsi. Persepsi palsu yang dibina oleh pembangkang yang berlawan dengan politik realis BN. Setiap kali BN mengutarakan program untuk rakyat akan diputar belitkan. Macam mana peranan kita dalam UMNO dan kerajaan untuk menangani persepsi palsu?

NAJIB: Kita kena sedar bahawa perkara ini sedang dilakukan dengan begitu hebat oleh pembangkang. Mereka akan cuba putar apa-apa isu kita, mereka akan cuba buat negative spinning, malah pembohongan akan mereka lakukan untuk menghilangkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan. Umpamanya apabila kita buat BR1M yang begitu popular, maka mereka kata ‘duit ini kita gunakan wang yang dipinjam dari luar negara’, itu satu dakwaan yang tidak bertanggungjawab sama sekali. Sebab itu merupakan satu dakwaan palsu sama sekali. Kejayaan kita melaksanakan BR1M adalah kerana kita berjaya menambahkan hasil negara sebanyak RM26 bilion dalam masa setahun saja yang merupakan pencapaian tertinggi oleh kerajaan tapi pencapaian itu tidak diberi kredit, tidak diberi penghargaan oleh mereka tetapi sebaliknya mereka menuduh kita membuat sesuatu yang berdasarkan kononnya kita ini kerajaan yang tak bertanggungjawab. Sebenarnya kita tidak begitu. Merekalah yang menjanjikan sesuatu yang bersifat populis, begitu juga apabila ada apa-apa mereka cuba bangkitkan misalnya ada pemimpin tuduh kononnya saya ada mesyuarat dengan ketua-ketua angkatan tentera nak melakukan sesuatu di luar Perlembagaan seandainya UMNO dan Barisan Nasional kalah. Itu merupakan satu fitnah yang amat dahsyat tapi mereka sanggup lakukan dakwaan seperti ini semata-mata kalau mereka tak dapat meyakinkan rakyat sekurang-kurangnya mengelirukan rakyat. Ini taktik yang digunakan oleh parti pembangkang.

Tapi sebenarnya pembangkang mengelirukan rakyat dan membuat fitnah, maka rakyat menjadi keliru kerana melihat tidak ada tindakan tegas dan berani untuk memastikan perkara ini tidak berulang?

NAJIB: Kita ambil tindakan dalam skop undang-undang yang sedia ada sebab dalam zaman sekarang ini kita tak boleh nak bertindak dengan tahan orang tanpa ada alasan yang kukuh malah menahan orang tanpa perbicaraan di mahkamah,. Itu tak boleh kita lakukan dalam zaman sekarang. Jadi apa-apa yang didakwa oleh mereka itu, kita kena cari bukti yang cukup dan kita kena sabit di mahkamah. Ini yang jadi kesulitan pada kita sebab kadang-kadang ia dilemparkan dalam online, apa ayat yang dia susun itu ialah dengan cara yang kadang-kadang sukar nak ambil tindakan. Walau bagaimanapun jika ada cukup bukti kerajaan akan ambil tindakan dan siasatan yang rapi perlu dilakukan terlebih dahulu.

Kurang daripada empat tahun pakatan pembangkang memerintah sudah banyak kesilapan dan banyak berlaku permasalahan. Tetapi masih ada yang terpedaya dan tidak ambil peduli tentang landskap politik bahaya ini. Apa nasihat Datuk Seri kepada rakyat?

NAJIB: Ya, mereka dah janji begitu banyak untuk meraih sokongan dalam pilihan raya yang lalu. Saya pun dah katakan macam di Selangor, saya pun dah huraikan banyak perkara yang mereka janji dan apa yang mereka tak buat dan kita mesti ulang perkara-perkara ini sebab kalau kita sebut sekali dua, maka ia tak akan masuk dalam kepala orang ramai tapi kalau kita tekan dan ulang banyak kali maka rakyat akan sedar bahawa mereka telah ditipu dalam pilihan raya yang lalu da mereka tak seharusnya ditipu lagi.

Mereka menggunakan fitnah, tipu helah, ancaman kepada kerajaan dan UMNO sepanjang mereka berkerajaan di beberapa buah negeri . Adakah UMNO telah berjaya menangkis tipu helah pembangkang ini?

NAJIB: Saya lihat memang ada angin perubahan yang bertiup di negeri-negeri yang mereka kuasai, soalnya sama ada sudah pun sampai ke peringkat dimana rakyat bersedia menukar dan kembali kepada Barisan Nasional dan inilah yang mesti kita lipat gandakan usaha kita untuk kita menerangkan kepada rakyat bahawa mereka sebenarnya tak ada kemampuan untuk mentadbir negara dan negeri seperti mana yang mereka dakwa. Janji-janji yang telah mereka buat tidak ditepati. Ini yang mereka patut tekankan kepada rakyat supaya rakyat pada kesudahannya akan mengadili siapa yang benar atau sebaliknya.

Adakah Datuk Seri melihat sambutan ulang tahun UMNO ke-66 kali ini sebagai kekuatan parti untuk menghadapi PRU akan datang. Bolehkan UMNO dan BN meraih majoriti besar dan menawan negeri-negeri yang kalah?

NAJIB: Inilah yang saya tekankan kita tak boleh ada sikap urusan seperti biasa, business as usual, kita mesti sedar lebih-lebih lagi di negeri yang kita dah kalah. Bahawa kita mesti buat sesuatu yang luar biasa dari segi strategi kita, kesungguhan kita, perancangan kita, dari segi program yang kita laksanakan dan juga peranan kita dalam sosial media online. Semua itu menampakkan bahawa kita ini berada sebuah negeri yang kita kalah itu, negeri yang kalah dan ditawan pembangkang mesti buat sesuatu yang lebih daripada biasa. Jangan kita nak buat tahap sumbangan kita ataupun tahap yang kita buat itu mendatar atau biasa. Kalau kita nak menumbangkan kerajaan yang dikuasai oleh pembangkang di negeri-negeri tertentu, kita mesti berusaha lebih daripada biasa. Ini mesej saya. Kita mesti bersatu lebih daripada biasa, jadi barulah kita ada peluang yang baik.

Adakah Datuk Seri melihat kita telah melakukan kerja yang lebih daripada biasa dan bersatu lebih daripada biasa?

NAJIB: Kita dah berusaha dengan gigih tapi saya harap kena tambah lagi. Saya merupakan seorang manusia yang tak puas hati. Bukan bererti bahawa kita tak melakukan, dah melakukan, mungkin lebih daripada biasa tapi kita tak pernah berdepan dengan senario dimana kita tewas lima buah negeri, sekarang tinggal empat dalam tangan pembangkang. Jadi apa yang kita lakukan mesti ditingkatkan lagi.

Untuk Hari UMNO, bagaimana Datuk Seri melihat tema Hari UMNO itu sendiri iaitu ‘UMNO Pembela Rakyat’.

NAJIB: Sesuai dengan falsafah Gagasan Rakyat Didahulukan, maknanya kita nak ketengahkan dan kita ingatkan bahawa UMNO adalah parti yang membela rakyat selama ini dan jasa kita terlalu besar. Ini yang kita nak tekankan dan terapkan dan di samping itu mengingatkan kepada ahli kita bahawa apa yang kita nak lakukan itu mesti kita konsisten, istiqamah supaya dengan kedudukan kita itu, rakyat akan lebih yakin kepada UMNO dan Barisan Nasional.

Sudah tentu tidak boleh dinafikan sumbangan rakan-rakan komponen Barisan Nasional sempena ulang tahun UMNO yang ke 66. Bagaimana kita nak pastikan bahawa hubungan ini terjalin dengan ikhlas dan jujur jika di bandingkan dengan parti-parti pembangkang?

NAJIB: Hubungan kita berdasarkan kepada falsafah dalam Barisan Nasional dan amalan dalam Barisan Nasional. Kita memang serasi dalam hubungan antara parti-parti komponen dalam Barisan Nasional. Kita ini merupakan satu pakatan yang berpaksi kepada realiti dan hakikat. Kita tidak bersandiwara kepada rakyat, salah satu daripada sandiwara yang besar yang dilakukan oleh pembangkang ialah bahawa sehingga ke hari ini walaupun empat tahun sudah berlalu tetapi mereka tak dapat lagi membentuk shadow cabinet

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:49
Zohor 1:15
Asar 4:28
Maghrib 7:21
Isyak 8:31
 
 



IKLAN@UTUSAN



BANCIAN ONLINE
IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.